Pembahagian Daging Korban
Soalan: Bagaimanakah cara pembahagian daging korban dan siapakah yang berhak menerimanya?
Jawapan: Korban merupakan ibadat sunat yang dilakukan pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari Tasyrik oleh orang yang mampu. Telah diketahui bahawa hukum berkorban itu sunat mu’akkadah tetapi ia boleh menjadi wajib jika korban itu dinazarkan. (Mughnî al-Muhtâj: 4/355-356)
Pembahagian daging korban kepada orang yang berhak menerimanya tertakluk kepada niat orang yang mengerjakan ibadat korban itu, kerana hukum daging korban akan berbeza jika niat korban itu berlainan. Perbezaan tersebut ialah dari segi memakan, pengagihan dan penerimaannya.
Hukum korban terbahagi kepada dua iaitu korban wajib dan korban sunat.
Pembahagian Dan Penerima Daging Korban Wajib
Menurut as-Sayyid al-Bakri dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: “Haram ke atas orang yang berkorban wajib dan orang-orang yang di bawah tanggunggannya memakan daging korbannya walaupun sedikit. Jika dimakannya juga daging tersebut, maka wajiblah dia mengganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib menyembelih binatang lain sebagai ganti.
Daging korban wajib hendaklah disedekahkan kesemuanya termasuk kulit, tanduk dan kuku kepada fakir atau miskin sahaja. Menurut ulama, adalah memadai atau mencukupi bersedekah itu kepada seorang fakir atau miskin sahaja.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/521)
Jika korban yang dilakukan itu disebabkan wasiat daripada orang yang meninggal dunia, maka hukum daging korban tersebut sama seperti korban wajib iaitu hendaklah disedekahkan kesemuanya (daging dan anggota binatang korban) itu kepada fakir atau miskin. Haram bagi orang yang diwasiatkan memakan daging korban, serta juga haram diberikan kepada orang kaya, kecuali dengan izin orang yang berwasiat. (Hawâsyi Syarwani Ibnu Qasim ‘ala Syarh Tuhfah: 9/363)
Pembahagian Daging Korban Sunat
Menurut kitab Mughnî al-Muhtâj, adalah harus bagi orang yang berkorban sunat itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian, iaitu:
i. Satu bahagian untuk dimakan oleh orang yang berkorban itu sendiri.
ii. Satu bahagian untuk disedekahkan kepada fakir atau miskin.
iii. Satu bahagian untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Bahagian bagi fakir atau miskin yang disebutkan di atas itu adalah wajib disedekahkan dalam keadaan mentah lagi basah sekalipun hanya kepada seorang fakir atau miskin sahaja kerana hak orang fakir atau miskin pada daging korban itu adalah untuk memilikinya dalam keadaan daging itu mentah dan bukannya dalam keadaan sudah dimasak untuk dimakan. Dalam erti kata lain, bagi setiap orang yang melakukan korban sunat, wajib menyediakan satu bahagian daripada korbannya itu untuk disedekahkan kepada fakir atau miskin.
Menurut as-Sayyid al-Bakri, daging korban yang disedekahkan kepada fakir atau miskin itu hendaklah daging mentah yang masih baru dan segar. Tidak memadai jika yang disedekahkan itu bukan daging seperti kulit, hati dan seumpamanya.
Manakala satu bahagian daripada daging korban sunat itu harus pula diberikan sebagai hadiah kepada orang kaya Islam sama ada dalam keadaan mentah atau masak. Hadiah daging korban sunat tersebut adalah setakat untuk dimakannya sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya.
Jika orang yang berkorban sunat itu memakan semua daging korbannya dan tidak sedikitpun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, maka wajib ke atasnya mendapatkan daging yang lain mengikut kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti. Korbannya dikira sah.
Walau bagaimanapun, afdhal disedekahkan semua daging korban itu, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan daripada sifat mementingkan diri sendiri. Tetapi tidak memadai jika daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya sahaja. Adalah wajib disedekahkan sebahagian daging itu kepada fakir atau miskin. (Mughnî al-Muhtâj: 4/365-367, Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/521-522)
Memberi Daging Korban Kepada Orang Kafir
Memberi dan menghadiahkan daging korban walaupun sedikit sama ada daging mentah atau masak kepada orang kafir yang kaya, fakir atau miskin adalah haram sekalipun kepada kaum kerabat atau saudara-mara (yang kafir) sama ada daging korban wajib atau sunat kerana korban merupakan perkara yang berhubung dengan ibadat. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/522 dan Hawâsyi Syarwani Ibnu Qasim ‘ala Syarh Tuhfah: 9/364)
Hukum Menerima Daging Korban
Daging korban yang diterima oleh orang kaya hanyalah untuk dimasak dan dimakan sebagai makanan sahaja bukannya untuk dijual atau diberikan kepada orang kaya yang lain, kerana hak penerimaan mereka hanyalah setakat untuk dimakan bukan untuk dimiliki. Dalam erti kata lain, jika orang kaya dihadiahkan daging korban, maka dia hanya boleh memakannya, menyedekahkan kepada orang fakir atau miskin dan menjamu makan orang-orang Islam sahaja, mereka tidak ada hak untuk menjual daging tersebut atau memberikan kepada orang kaya yang lain.
Manakala daging korban yang disedekahkan kepada fakir atau miskin pula adalah menjadi hak milik mereka. Ini bererti apabila mereka menerima daging korban sama ada korban wajib atau sunat, maka mereka diharuskan memakan atau menjual atau memberikan daging korban tersebut kepada orang lain.
Bagi orang yang berkorban sunat pula, haram menjual daging korban bahagiannya termasuk juga kulit, tanduk dan lain-lain anggota binatang yang dikorbankannya itu. Ini berdasarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Orang yang menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada baginya ibadat korban tersebut. (Hadits riwayat al-Hakim)
Begitulah penerangan tentang hukum orang menerima daging korban berdasarkan beberapa kitab mu‘tabar seperti Mughnî al-Muhtâj, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn dan Hawâsyi Syarwani Ibnu Qasim ‘ala Syarh Tuhfah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10837
