Pembedahan Plastik Menurut Islam
Soalan: Apakah hukum membuat pembedahan plastik? Jika saya ingin membuang tanda hitam pada hidung dengan cara pembedahan ini, apakah hukumnya?
Jawapan: Plastic surgery atau pembedahan plastik menurut prosedur yang sering dilakukan oleh doktor-doktor pakar di pusat-pusat perubatan seluruh dunia, terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu reconstructive surgery atau pembedahan pembentukan semula dan cosmetic surgery atau pembedahan kosmetik.
Reconstructive Surgery Atau Pembedahan Pembentukan Semula
Prosedur bagi pembedahan pembentukan semula ini ialah pembedahan untuk memulihkan semula bentuk dan kadang-kala, fungsi bahagian anggota badan yang tidak normal disebabkan oleh kecederaan, kemalangan, penyakit atau kecacatan kongenital (kecacatan sejak lahir). Membaikpulih luka, melecet yang teruk dan patah tulang muka ialah prosedur yang biasa dilakukan.
Selain itu penggunaan tarik, flap (siat) dan graf (cantuman) tisu badan untuk memulihkan semula kehilangan bentuk kerana terbakar dan pemindahan otot belakang ke kaki dan tangan yang cedera ialah antara contoh-contoh prosedur membentuk semula yang biasa dilakukan oleh doktor pakar pembedahan plastik. Begitu juga membuang kanser kulit, membaik pulih belahan bibir dan lelangit juga sering dilakukan oleh doktor pakar pembedahan plastik.
Maka pembedahan membentuk semula atau reconstructive surgery ini bolehlah diertikan sebagai prosedur pembedahan yang dilakukan ke atas bahagian tubuh yang tidak normal bagi mendapatkan bentuk yang normal dan membetulkan fungsinya. Yang dipentingkan di sini ialah prosedur pembedahan itu dilakukan ke atas bahagian-bahagian tisu badan.
Ia boleh juga dikatakan sebagai rawatan bagi kecacatan semulajadi atau kecederaan fizikal yang mendatangkan kesakitan tubuh badan dan menimbulkan rasa rendah diri atau tekanan jiwa dan mental pada pesakit. Dengan menjalani pembedahan ini akan dapat memberikan keyakinan diri pesakit dan dapat menjalani hidup normal sebagaimana orang lain dalam hidup bermasyarakat.
Cosmetic Surgery Atau Pembedahan Kosmetik
Prosedur pembedahan kosmetik pula ialah pembedahan yang bertujuan semata-mata untuk mencantikkan bahagian badan mengikut sukat-sukat rupa dan fungsi badan yang normal. Contoh-contoh prosedur pembedahan yang ada ialah seperti menegangkan muka, mengubah suai hidung untuk kecantikan, membuang lemak dan sebagainya.
Pandangan Islam Mengenai Pembedahan Plastik
Adapun pembedahan yang dilakukan seperti dalam kes yang pertama iaitu kerana berubat atau memulihkan semula bentuk anggota yang rosak kerana kecederaan atau penyakit atau kecacatan sejak lahir, adalah harus dan boleh menurut syara‘. Pembedahan begini tidak ditegah bahkan secara umumnya digalakkan, malah dalam keadaan-keadaan tertentu boleh sampai ke tahap wajib.
Misalnya seperti untuk membetulkan atau membaik pulih tulang yang retak atau patah, menjahit luka yang membahayakan, atau menampal kulit yang terbakar dan sebagainya. Semua ini adalah bersifat rawatan untuk kesembuhan dan keselamatan, bukan pembedahan yang bertujuan mengubah kejadian ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘ala sebagaimana dimaksudkan oleh ayat al-Qur’an dalam surah an-Nisâ‘:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. (Surah an-Nisâ’: 119)
Pembedahan pembentukan semula ini hanyalah untuk pembaikan semula atau untuk menghilangkan kecacatan yang mendatang, sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau penyakit dan sebagainya. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menggantikan hidungnya dengan emas.
Begitu juga bagi menghilangkan atau membetulkan kecacatan yang dihidapi semenjak lahir seperti bertangkup jari-jari tangan atau kaki, atau terdapat tanda pada muka yang boleh mengaibkan dan sebagainya, maka pembedahan bagi tujuan seumpama ini tidaklah dilarang oleh syara‘.
Sementara pembedahan kosmetik, yang bertujuan untuk mengubah kejadian asal kepada yang lain daripada yang tidak pernah ada sebelumnya dengan tujuan supaya kelihatan lebih cantik dan sebagainya, adalah dilarang, malah mendapat laknat sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Allah melaknat orang-orang yang mentatu dan yang minta ditatu, orang-orang yang mencabut rambutnya, orang-orang yang memperlihatkan kecantikan, dan orang-orang yang merubah ciptaan Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka mana-mana pembedahan plastik bagi tujuan pembentukan semula, sama ada untuk menghilangkan kecacatan atau menolak penyakit atau aib seperti kanser atau ketumbuhan pada kulit, atau mengembalikan atau memulihkan anggota badan yang rosak adalah harus. Manakala pembedahan plastik yang bertujuan untuk semata-mata mengubah kejadian asal bagi tujuan kecantikan dan seumpamanya, menambah atau mengurangkan sesuatu bagi tujuan yang sama adalah dilarang oleh syara‘ dan berdosa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10844
