Perkara-Perkara Sunat Dan Bid‘ah Pada Hari ‘Âsyûrâ’ (10 Muharram)
Soalan: Saya ingin meminta penjelasan mengenai 14 perkara yang sunat dilakukan pada hari ‘Âsyûrâ’ (10 Muharram) di bawah ini adakah betul di sisi Islam? Saya pernah dimaklumkan bahawa selain daripada puasa sunat pada hari ‘Âsyûrâ’, tidak ada dalam Islam perkara-perkara yang tertulis di bawah ini:
1. Melapangkan masa atau belanja untuk anak dan isteri. Fadhilat: Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilat: Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah. Fadhilat: Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang diredhaiNya.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadhilat: Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu atau mengusap kepala anak yatim. Fadhilat: Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6. Bersedekah. Fadhilat: Allah akan menjauhkan dirinya dari neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tidak berhenti-henti dari kecil sehingga dia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadhilat: Allah akan menerangi hidupnya dengan cahaya keimanan.
8. Mandi sunat. Fadhilat: Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat hari ‘Âsyûrâ’ kerana Allah Ta‘ala.”
9. Bercelak. Fadhilat: Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca قَّل هو هللا أحَّد hingga akhir 1,000 kali. Fadhilat: Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat di akhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat: Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari ‘Âsyûrâ’ empat rakaat kerana Allah Ta‘ala”. Pada rakaat pertama dan kedua selepas membaca al-Fâtihah dibaca قل هو هللا أحد 11 kali.
13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat: Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa. Niatnya: “Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari ‘Âsyûrâ’ kerana Allah Ta‘ala”. Fadhilat: Diberi pahala 1000 kali haji, 1000 kali umrah dan 1000 kali syahîd dan diharamkan baginya neraka.
Jawapan: Hari ‘Âsyûrâ’ ialah hari yang ke-10 dalam bulan Muharram. Ia dihormati kerana mempunyai keutamaan dan kelebihan.
Amalan-Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Âsyûrâ’
1. Puasa
Islam menganjurkan supaya berpuasa sunat pada hari ‘Âsyûrâ’ berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jubair daripada ayahnya daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma katanya: “Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sampai di Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’”. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam kemudian bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari baik. Inilah hari yang pada masa dahulu Allah telah menyelamatkan Bani Isra’il (umat Yahudi) daripada musuh mereka. Oleh sebab itu Nabi Musa ‘Alaihissalâm berpuasa pada hari ini”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Nabi Musa ‘Alaihissalâm daripada kamu”. Maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh para sahabat Baginda juga berpuasa pada hari tersebut. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tersebut juga dalam kitab Shahîh Muslim daripada ar-Rubayyi‘ binti Mu‘awwidz bin ‘Afra’, katanya:
Maksudnya: Suatu pagi hari ‘Âsyûrâ’, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengirim petugas ke perkampungan orang Anshar yang berada di sekitar Madinah, untuk menyampaikan pengumuman: “Sesiapa yang puasa sejak pagi hendaklah disempurnakannya puasanya, dan sesiapa yang tidak puasa hendaklah dia puasa sejak mendengar pengumuman ini”. Ketika itu kami puasa pada hari ‘Âsyûrâ’, dan kami menyuruh pula anak-anak kecil kami berpuasa, insyâ’ Allah. Kami bawa mereka ke masjid dan berikan mereka permainan daripada bulu. Apabila ada yang menangis meminta makan, maka kami berikan permainan itu, begitulah sehingga sampai waktu berbuka puasa. (Hadits riwayat Muslim)
Adapun kelebihan puasa sunat hari ‘Âsyûrâ’ itu disebutkan dalam hadits, daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa hari ‘Âsyûrâ’ itu; sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah, supaya dihapuskan dosa tahun yang sebelumnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
2. Menggembirakan Ahli Keluarga
Asy-Syeikh ‘Abdul Hamid asy-Syarwani pula ada menyebut, bahawa adalah sunat menggembirakan ahli keluarga pada hari tersebut berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang melapangkan (menggembirakan) keluarganya pada hari ‘Asyura’, maka Allah akan meluaskan rezekinya di sepanjang tahun itu. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Al-Mundziri menyebut bahawa hadits ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lainnya daripada berbagai jalan para sahabat nabi. Sekalipun sandarannya dha‘îf, tetapi apabila dihimpun dengan periwayat yang lain, menjadilah ia kuat. (At-Targhîb wa at-Tarhîb: 2/33)
Al-Hafiz al-‘Iraqi ada membawa beberapa hadits yang mengatakan sunat memberi kelapangan atau bermurah hati kepada ahli keluarga pada hari ‘Âsyûrâ’ itu. Ia juga diriwayatkan daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam oleh sekumpulan para sahabat, seperti Jabir, Ibnu Mas‘ud, Abu Hurairah, Abu Sa‘id al-Khudri dan Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhum. (Syawâhid al-Haqq: 194)
Amalan-amalan Bid‘ah Pada Hari ‘Âsyûrâ’
Al-Bakri ad-Dimyathi menyebutkan bahawa terdapat sepuluh adat kebiasaan pada hari ‘Âsyûrâ’ yang tidak sah dilakukan, melainkan puasa dan menggembirakan ahli keluarga sahaja. Adapun selebihnya itu merupakan hadits dhaî‘f, munkar dan maudhû‘ seperti sembahyang, silaturahim, bersedekah, mandi, bercelak mata, mengunjungi orang alim, menziarahi pesakit, mengusap kepala anak yatim, memotong kuku dan membaca surah al- Ikhlâsh 1000 kali. (Hâsyiyatân I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/584)
Di bawah ini dibutirkan sedikit penerangan tambahan mengenai perkara-perkara berikut:
1. Bercelak Mata
Ibnu al-Jawzi ada menyebut bahawa tidak ada sebuah hadits pun yang diriwayatkan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang bercelak pada hari ‘Âsyûrâ’. Ia adalah satu amalan bid‘ah dilakukan oleh pembunuh-pembunuh al-Hussain ‘Alaihissalâm. Ahmad berkata: “Tidak diguna pakai hadits Juwaibar kerana Juwaibar adalah seorang yang matruk, seperti kata an-Nasa’i dan ad-Daraquthni.” (Kitab al-Maudhû‘ât: 2/204)
2. Mandi
Menurut al-Ajhuri, tidak dijumpai sebuah hadits shahîh yang mengatakan: “Sesiapa bercelak mata pada hari ‘Âsyûrâ’, nescaya tidak akan sakit mata dalam tahun itu.” Begitu juga anggapan yang mengatakan bahawa “sesiapa yang mandi pada hari tersebut, tidak akan jatuh sakit dalam tahun itu.”
3. Sembahyang ‘Âsyûrâ’
Tentang sembahyang sunat empat rakaat pada hari ‘Âsyûrâ’ dan fadhilatnya diberi pahala 1000 kali haji dan umrah serta 1000 kali syahîd pula adalah hadits yang tidak diragukan lagi maudhû‘nya oleh orang yang berakal, dan ia juga adalah bertentangan dengan kaedah-kaedah syara‘. (Kitab al-Maudhû‘ât 2:200-201)
4. Membaca Do‘a
Pengarang kitab as-Sunan wa al-Mubtadi‘ât telah menyebut bahawa pendapat yang mengatakan, orang berdo‘a pada hari ‘Âsyûrâ’ tidak akan mati pada tahun itu adalah dusta di sisi agama dan orang yang berkata begitu tidak takut kepada Allah, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ada berfirman:
Tafsirnya: (Maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu akan segera beriman). (Surah Nuh: 4)
Membaca zikir ini pada air mawar untuk tujuan menyembuhkan segala penyakit, khas pada hari ‘Âsyûrâ’, adalah juga kepercayaan fâsid dan dhalâl yang nyata. (Kitab as-Sunan wa al- Mubtadi‘ât: 119)
6. Memakai Harum-haruman
Imam Zainuddin al-Malibari menyebut bahawa hadits-hadits tentang bercelak mata, mandi dan memakai harum-haruman pada hari ‘Âsyûrâ’ adalah hadits palsu (tidak benar). (Hâsyiyatân I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/584-588)
Asy-Syeikh ‘Abdul Hamid asy-Syarwani, tentang kelebihan sembahyang, bersedekah, berinai, memakai minyak, bercelak mata, memasak biji-bijian dan sebagainya pada hari ‘Âsyûrâ’ itu, menurut beliau, adalah hadits maudhû‘ (hadits yang direka-reka). Khusus bercelak adalah satu amalan bid‘ah yang diada-adakan oleh pembunuh-pembunuh al-Husain Radhiallâhu Ta‘âlâ ‘anhu. (Hawâsyi as-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Ibadi: 3/455)
Walau bagaimanapun, bukanlah bererti di hari ‘Âsyûrâ’ itu kita tidak boleh bersedekah, menjamu orang berbuka puasa, menahan marah dan sebagainya. Semua perkara tersebut adalah digalakkan, bahkan sunat dilakukan kerana mempunyai fadhilat atau kelebihannya yang tersendiri. Namun apabila melakukannya hendaklah dengan niat semata-mata untuk mendapatkan pahala daripada amalan tersebut, bukan dikaitkan dengan hari ‘Âsyûrâ’, melainkan berpuasa kerana ada hadits yang wârid mengenainya, demikian juga melapangkan ahli keluarga pada hari tersebut. Walaupun sandarannya dha‘îf, namun apabila dihimpunkan dengan periwayat yang lain, jadilah ia kuat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10848
