Perkataan “Awangku” Pada Nama Anak Luar Nikah
Soalan: Dengan penuh hormat dipohonkan nasihat dan pandangan serta ketetapan Pehin Mufti mengenai perkara menasabkan anak yang lahir sebelum 180 hari daripada tarikh pernikahan ibunya dengan seorang lelaki.
Untuk makluman Pehin, anak berkenaan telah dilahirkan pada 16 Syawal, 1426 bersamaan 17 November, 2005 sedangkan ibunya telah bernikah dengan lelaki berkenaan pada 25 Rabiulakhir, 1426 bersamaan 03 Jun, 2005.
Daripada pengiraan yang dibuat, kelahiran anak berkenaan kurang 180 hari dari masa akad nikah ibunya hingga tarikh dia dilahirkan. Bolehkah anak berkenaan diberikan nama “Awangku” yang dinasabkan kepada suami ibunya yang berketurunan Awangku/Pengiran?
Jawapan: Dalam perkara membinkan atau membintikan anak ini, agama Islam telah menetapkan beberapa kaedah mengenainya yang perlu diambil kira, kerana menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘. Anak angkat atau anak di luar nikah adalah haram dinasabkan kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengan anak tersebut.
Larangan menasabkan anak kepada orang yang bukan bapanya sebenar dijelaskan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan Allah Ta‘ala juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maulâ-maulâ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disenghajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani). (Surah al-Ahzâb: 4-5)
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muslim dan Abu Daud daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mengaku orang lain sebagai bapanya dan dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Berdasarkan larangan di atas, adalah jelas bahawa menyambung nasab kanak-kanak kepada orang yang bukan bapanya sebenar adalah haram. Begitu juga membinkan atau membintikannya adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab kanak-kanak itu. Sesiapa juga yang bersetuju atau turut bersetuju melakukannya akan berdosa, dan bahkan boleh rosak aqidah kiranya dia menghalalkan perubahan nasab kanak-kanak berkenaan.
Para ulama telah ijmâ‘ bahawa tempoh minimum seseorang wanita hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan enam bulan itu ialah berdasarkan maksud dua ayat al- Qur’an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. (Surah al-Ahqâf: 15)
Dengan demikian para ulama menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira dari masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka tsabitlah nasab anak tersebut kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya. Begitu pula sebaliknya, jikalau anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka anak berkenaan tidaklah bersambung nasabnya dengan suami kepada si ibu anak damit (kanak-kanak) atau tidak boleh dinasabkan kepada suami wanita yang melahirkan anak berkenaan. Dia dinasabkan kepada ibunya yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibinkan atau dibintikan bolehlah kepada ibunya atau kepada nama Abdullah atau mana-mana salah satu daripada Asmâ’ullâh al- Husnâ.
Tersebut dalam kitab at-Tuhfah karangan al-Imam Ibnu Hajar dan dalam kitab Hâsyiah al- Bajuri ‘alâ Fath al-Qarîb bahawa enam bulan itu dikira tiap-tiap bulan iaitu 30 hari sebulan. Ini bererti enam bulan itu ialah 180 hari dan dua lahzhah iaitu tempoh wathi’ dan tempoh mengeluarkan anak.
Pendapat ulama Syafi‘e 180 hari itu, ialah juga menjadi pendapat jumhûr ulama. (Fiqh al- Islâmi wa Adillatuh: 7/678)
Bermula pengiraan 180 hari itu dikira dari waktu suami isteri itu boleh bersatu yang memungkinkan anak itu ialah daripada suami setelah akad nikah yang betul (sah).
Oleh yang demikian mana-mana anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dan dua lahzhah, atau kurang 180 hari daripada tarikh mereka boleh bersatu setelah akad nikah yang sah, adalah anak itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada suami perempuan yang melahirkan anak itu.
Berbalik kepada permasalahan yang ditanyakan di atas, jika dilihat kepada keterangan-keterangan yang telah diberikan terbukti bahawa tarikh perkahwinannya ialah 25 Rabiulakhir, 1426 bersamaan 3 Jun 2005. Manakala tarikh lahir anaknya ialah 16 Syawal, 1426 bersamaan 17 November, 2005. Ini bererti tempoh masa kahwin dengan waktu kelahiran anak berkenaan adalah kurang daripada 180 hari.
Maka sehubungan itu, cadangan untuk membubuh perkataan “Awangku” kepada anak berkenaan adalah tidak harus yakni haram, jika maksud dengan membubuh perkataan “Awangku” dalam sijil kelahiran itu ialah untuk menunjukkan bahawa dia adalah anak atau keturunan kepada suami ibunya yang berketurunan Pengiran kerana anak tersebut tidak bersambung nasabnya dengan lelaki itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10855
