Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Pinjaman Wang Dan Pembelian Insurans Dari Bank Dan Syarikat Bukan Islam

Soalan: Apakah hukum membuat pinjaman peribadi atau pinjaman membeli kereta dan pembelian insurans kenderaan atau sebagainya daripada bank dan syarikat bukan Islam? Persoalan ini dikemukakan kerana saya yakin ramai anggota masyarakat Islam di negara ini yang membuat urusan pinjaman dan perlindungan (insurans) daripada bank dan syarikat yang bukan Islam.

Jawapan: Setiap bank atau syarikat insurans yang mengamalkan sistem riba dalam operasi perniagaannya adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam, sebagaimana hukumnya adalah tsabit daripada al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘. Firman Allah Ta‘ala:

Maksudnya: Allah Ta‘ala telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Riba bukan hanya diharamkan kepada orang yang memakannya atau yang mengambilnya kerana dia yang mendapat keuntungan daripadanya, tetapi ia juga diharamkan kepada orang yang memberinya atau orang yang membayarnya, orang yang menulisnya dan orang yang menjadi saksi kepadanya, kerana mereka dikira memberikan bantuan kepada berlakunya perkara yang diharamkan itu. Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang memakan atau mengambil riba, orang yang memberi atau membayarnya, penulisnya dan kedua-dua saksinya. Baginda bersabda: “Mereka adalah sama.” (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam mensyarahkan hadits tersebut beliau berkata:

Ertinya: Dan melaluinya (hadits tersebut) diharamkan bantu-membantu di atas perkara bâthil.

Ini adalah bertepatan dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Oleh yang demikian, maka tidak syak lagi bahawa membuat pinjaman peribadi atau pinjaman membeli kereta daripada bank yang mengamalkan sistem riba atau membeli insurans kenderaan dan sebagainya daripada syarikat yang mengamalkan sistem riba merupakan salah satu bentuk bantuan dan sokongan juga kepada sistem mu‘amalat yang tidak direstui oleh Islam, padahal sekarang sudah wujud bank-bank atau syarikat-syarikat yang boleh memberikan perkhidmatan yang sama tanpa amalan sistem riba.

Sepatutnya masyarakat Islam memberikan sokongan padu kepada bank-bank atau syarikat-syarikat yang tidak mengamalkan sistem riba dengan apa cara sekalipun, kerana kalau bukan orang Islam sendiri yang tampil memberikan sokongan, siapa lagi? Lebih-lebih lagi inilah pula yang diperintahkan oleh Allah sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Lainlah jika tidak ada jalan lain, misalnya di Brunei ini belum ada lagi bank atau syarikat yang mengamalkan sistem perbankan Islam, kecuali hanya semata-mata bank atau syarikat yang mengamalkan sistem riba, sedangkan seseorang itu terpaksa atau mesti melakukannya. Misalnya, seseorang membeli insurans kenderaan yang dikehendaki oleh peraturan, ataupun menyimpan wang bagi menyelamatkannya daripada kecurian, kebakaran atau lain-lain kemungkinan yang ditakuti berlaku, atau membuat pinjaman peribadi untuk membeli kereta yang menjadi keperluannya bagi pergerakan mencari nafkah, menghantar anak-anak ke sekolah dan membeli-belah keperluan diri, anak isteri dan seumpamanya. Jika ini ada, maka ia harus kerana terpaksa, tetapi di dalam situasi sesudah

adanya bank atau syarikat yang beroperasi secara Islam, maka keharusan itu terbatal dengan sendirinya, dan jika dilakukan juga, hukumnya adalah haram dan berdosa sebab menyokong dan terlibat dengan riba.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10859