Puasa Sunat Selepas 15 Sya‘ban
Soalan: Benarkah selepas 15 Sya‘ban tidak dibenarkan melakukan puasa sunat atau haram berpuasa bagi yang jarang berpuasa sunat?
Jawapan: Menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh bahawa adalah haram berpuasa sunat pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya‘ban iaitu 16 hingga 30 Sya‘ban tanpa sebab-sebab yang tertentu. (Fath al-Mu‘în dalam I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/455)
Larangan berpuasa pada hari-hari tersebut berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila telah berlalu separuh bulan Sya‘ban, maka janganlah kamu berpuasa. (Hadits riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun, tidak haram berpuasa pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya‘ban itu jika ada sesuatu sebab yang mengharuskan berpuasa seperti puasa kerana menunaikan nazar, kaffârah dan qadha’ sekalipun puasa yang diqadha’ itu adalah puasa sunat.
Jika seseorang itu pada kebiasaannya mengamalkan puasa sunat seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, maka diharuskan juga baginya mengerjakan puasa sunat tersebut pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya‘ban.
Begitu juga, harus berpuasa pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya‘ban jika puasa yang dikerjakan itu bersambung walaupun hanya satu hari dengan puasa yang dikerjakan pada separuh yang pertama daripada bulan Sya‘ban. Sebagai contoh, harus mengerjakan puasa sunat yang bermula pada 15 Sya‘ban dan meneruskannya pada separuh terakhir bulan Sya‘ban itu hinggalah ke hari terakhir bulan tersebut. Bagaimanapun, sekiranya dia berbuka puasa pada hari-hari separuh terakhir bulan Sya‘ban itu, maka haram ke atasnya meneruskan atau berpuasa lagi selepas hari dia berbuka itu. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/455, Hâsyiah al-Jamâl ‘ala al-Manhaj: 2/326)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10864
