Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Sedekah Bacaan Al-Fâtihah Kepada Orang Yang Masih Hidup

Soalan: Bagaimanakah caranya untuk menyedekahkan bacaan al-Qur’an (contohnya al-Fâtihah) kepada orang yang masih hidup supaya dia diberi hidayat dan petunjuk Allah?

Jawapan: Mendo‘akan sesiapa sahaja orang Islam dengan perkara kebaikan adalah sunat, sama ada orang Islam yang dido‘akan itu masih hidup ataupun sudah meninggal, dan sama ada yang dido‘akan itu mengetahuinya ataupun tidak.

Dalam satu riwayat yang shahîh, seorang sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bernama Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu menceritakan: “Ketika ibuku masih lagi musyrik (kafir) aku pernah mengajaknya memeluk agama Islam. Pada satu hari aku mengajaknya kepada Islam, lalu dia mengeluarkan kata-kata tentang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di hadapanku yang aku sendiri tidak suka mendengarnya. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam keadaan menangis dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku mengajak ibuku masuk Islam, akan tetapi dia enggan, malahan dia mengeluarkan kata-kata tentang Tuan di hadapanku yang aku sendiri tidak suka mendengarnya. Rafa‘kanlah do‘a kepada Allah agar Dia berkenan memberi petunjuk kepada ibu Abu Hurairah.”

Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdo‘a:

Maksudnya: Ya Allah! Berilah petunjuk kepada ibu Abu Hurairah.

Lalu aku (Abu Hurairah) pun pulang dengan perasaan gembira kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sudah mendo‘akan. Apabila aku sampai (hampir) ke muka pintu, aku melihat pintu tertutup. Ibuku terdengar bunyi langkah kakiku, lalu dia berkata: “Tetaplah di tempatmu wahai Abu Hurairah.” Dari luar aku dapat mendengar gemercik air. Rupa-rupanya dia sedang mandi. Selesai mandi dia memakai pakaian yang dibuat daripada besi dan tudung kepala, lalu dia membuka pintu dan berkata: “Wahai Abu Hurairah! Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan RasulNya.”

Kemudian aku (Abu Hurairah) kembali semula berjumpa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sambil menangis kerana terlalu gembira dan berkata: “Wahai Rasulullah! Bergembiralah, Allah telah mengkabulkan do‘a Tuan dan memberi petunjuk kepada ibu Abu Hurairah.” Baginda Rasulullah pun merafa‘kan syukur kepada Allah. (Hadits riwayat Muslim)

Kelebihan do‘a apabila orang yang dido‘akan itu tidak mengetahui bahawa saudaranya mendo‘akannya dengan sesuatu kebaikan, maka do‘a seperti ini adalah mustajâb yakni mudah diterima, kerana para malaikat turut mengaminkan do‘a tersebut. Ini jelas sebagaimana tersebut di dalam hadits shahîh, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Do‘a seorang Muslim terhadap saudaranya, sedang saudaranya itu tidak mengetahuinya, adalah mustajâb. Di sebelah kepalanya ada malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia berdo‘a untuk saudaranya dengan sesuatu kebaikan, malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: “Perkenankanlah! Dan semoga kamu juga seperti itu.”

Persoalan menyedekahkan bacaan ayat al-Qur’an seperti surah al-Fâtihah kepada orang yang masih hidup, adalah harus, dan ia dibaca dengan niat misalnya berkat surah al-Fâtihah itu dido‘akanlah orang yang dimaksudkan supaya sentiasa selamat, mendapat taufîq dan hidayat dan apa sahaja berupa perkara kebaikan. Umpamanya bolehlah dibaca seperti berikut:

Ertinya: Ya Allah! Berilah hidayat dan taufîq serta tunjukkanlah ke jalan yang lurus............... (sebutkan nama orang yang dido‘akan) dengan hak atau kebenaran surah al- Fâtihah: (Baca surah al-Fâtihah dari awal hingga akhir surah).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10871