Sejadah Mengandungi Lukisan Lafzh Al-Jalâlah ‘Lillâh’ (الله)
Soalan: Dengan hormat memohon jasa baik Pehin untuk memberikan fatwa mengenai perkara-perkara berikut:
1. Hukum menggunakan sejadah yang mempunyai lukisan lafzh al-Jalâlah atau iras-iras lafzh al-Jalâlah.
2. Apakah kriteria-kriteria yang digunakan untuk mengesahkan bahawa tulisan/ukiran tersebut adalah lafzh al-Jalâlah kerana terdapat kemungkinan ukiran tersebut walaupun seiras dengan lafzh al-Jalâlah tetapi hanya merupakan design atau reka bentuk yang tidak dimaksudkan sebagai lafzh al-Jalâlah di negara-negara lain.
Jawapan: Adalah menjadi kewajipan bagi orang-orang Islam menjaga dan memelihara serta menghormati nama-nama yang mulia dalam Islam seperti lafzh al-Jalâlah (هللا) nama Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sesuatu yang ada padanya kandungan al-Qur’an atau mana-mana daripada hadits.
Menurut hukum syara‘, orang Islam yang senghaja mempersendakan atau menghina sesuatu yang dipandang mulia dalam Islam seperti nama Allah, sama ada dengan perkataan atau perbuatan, boleh menyebabkan orang berkenaan menjadi murtad. Perkara ini disebut oleh Imam ar-Ramli, katanya:
Ertinya: Perbuatan yang boleh membawa kepada kufur termasuklah senghaja mempermainkan (meremehkan) agama dengan terang-terangan, menentang atau mengingkarinya, seperti mencampakkan Mushaf atau sesuatu yang ada padanya kandungan al-Qur’an, sekalipun ia sekadar nama-nama mulia atau nama-nama hadits. (Nihâyah al- Muhtâj: 7/416)
Sementara itu Imam ar-Rauyani pula menyatakan bahawa seseorang itu boleh terkeluar daripada agama Islam (murtad) apabila benda-benda yang tertulis padanya ilmu-ilmu syariah atau ilmu Islam diletakkan di tempat yang kotor atau jijik kerana perbuatan sedemikian dengan terang menghina dan merendah-rendahkan agama Islam. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/416)
Sementara Ibnu Taimiyyah daripada madzhab Hanbali juga berkata dalam kitab Manhaj Ibnu Taimiyyah fi Mas‘alah at-Takfîr:
Ertinya: Sesungguhnya mempersendakan Allah, ayat-ayatNya dan rasulNya adalah perbuatan kufur, menjadikan seseorang itu kafir dengan mempersendakanNya setelah dia beriman. (Manhaj Ibnu Taimiyyah fi Mas’alah at-Takfîr: 109)
Bertolak daripada pendapat para ulama di atas, adalah menjadi kewajipan kita menjaga, memelihara serta menghormati lafzh al-Jalâlah (هللا) atau lain-lain nama yang dimuliakan ( ٌ ٌ إسْم َََََََََََّّّّّّّّّم ََََََََََّّّّّّّّّّم َََََََََّّّّّّّّّ م). Oleh kerana itu menulis, melukis, mengukir atau mendesign lafzh al-Jalâlah
di hamparan sejadah atau di mana-mana tempat yang terdedah kepada pijakan atau terpijak atau meletakkannya di tempat yang tidak layak dengan kemuliaan dan kehormatan nama tersebut, sudah tentu membawanya kepada kehinaan. Menghina lafzh al-Jalâlah (هللا) dalam apa jua bentuk penghinaan sama ada perkataan, perbuatan atau sebagainya, adalah paling rendah hukumnya haram atau lebih jauh menjadi murtad jika perbuatan itu disenghajakan.
Mengenai dengan tulisan atau bentuk lafzh al-Jalâlah itu, jika tidak jelas atau meragukan sama ada ia lafzh al-Jalâlah atau bukan, maka perlu diamat-amati dengan sungguh-sungguh oleh orang-orang yang mahir tentang tulisan. Namun yang lebih selamat ialah jangan menjadikan sejadah tersebut (yang meragukan adanya nama lafzh al-Jalâlah itu) sebagai sejadah atau hamparan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10876
