Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Sumbangan Barang-barang Dan Pakaian Kepada Mangsa-mangsa Bencana Tsunami Di Acheh

Soalan: Dalam usaha mengumpulkan dana dan sumbangan orang ramai bagi membantu mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan Phuket, Thailand, Kementerian Pendidikan telah menerima sumbangan yang mencurah-curah bukan sahaja berbentuk kewangan tetapi juga barangan berupa makanan dan berbagai jenis pakaian.

Untuk makluman Pehin, pihak Kementerian hanya dapat menghantar barang-barang yang disumbangkan dalam kuantiti tertentu dan yang difikirkan sangat diperlukan sahaja memandangkan berlakunya kesukaran pengangkutan dan penghantarannya ke negara-negara yang terjejas. Justeru itu, sehingga kini masih lagi terdapat kotak-kotak yang berisi berbagai barang sumbangan orang ramai yang tersimpan di dalam ruang dewan yang dikhaskan.

Sehubungan itu, Kementerian ini bercadang mengambil tindakan seperti berikut:

1. Mengadakan garage sale/jualan amal di mana wang yang diperolehi daripada jualan ini akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa Tsunami di Acheh.

2. Menyalurkan sumbangan berkenaan kepada mangsa Gempa Bumi Pakistan.

3. Menyalurkan sumbangan berkenaan kepada fakir miskin di Negara Brunei Darussalam.

Pandangan dan nasihat Pehin dalam perkara ini adalah amat diharapkan sebagai panduan kepada kementerian ini untuk mengambil langkah terbaik dalam mengendalikan dan menyelesaikan masalah ini.

Jawapan: Sumbangan, derma atau bantuan yang dikhususkan kepada mangsa-mangsa tertentu seperti mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket, Thailand, sama ada ia berupa kewangan, makanan, pakaian dan sebagainya adalah wajib disempurnakan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak pemegang amanah atau sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak pemberi sumbangan, derma atau bantuan tersebut, kerana Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu, setiap sumbangan, derma atau bantuan yang hendak disalurkan oleh pemegang amanah hendaklah menurut niat orang yang memberi sumbangan, derma, bantuan atau menurut tujuan sumbangan, derma atau bantuan itu dibuat. Jika sesuatu sumbangan, derma atau bantuan itu diniatkan atau dibuat untuk menolong mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket, Thailand, maka sumbangan, derma atau bantuan itu hendaklah disalurkan untuk menolong mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket, Thailand.

Sumbangan, derma atau bantuan tersebut tidak boleh disalurkan kepada perkara yang bersalahan dengan niat orang yang memberi sumbangan, derma, bantuan atau tujuan sumbangan, derma atau bantuan itu dibuat seperti disalurkan kepada mangsa-mangsa Gempa Bumi Pakistan atau kepada fakir miskin di Negara Brunei Darussalam.

Jika sumbangan, derma atau bantuan tersebut hendak disalurkan juga kepada perkara yang bersalahan dengan niat orang yang memberi sumbangan, derma, bantuan atau tujuan sumbangan, derma atau bantuan itu dibuat, maka izin daripada pihak yang memberi sumbangan, derma atau bantuan hendaklah diperolehi terlebih dahulu.

Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang bendahari Muslim yang amanah melaksanakan (tanggungjawab) - dan kemungkinan juga Baginda bersabda: “Memberikan - apa yang diperintahkan kepadanya, lalu dia (bendahari) melaksanakannya dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (bendahari) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada orang-orang yang bersedekah.” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata di dalam kitabnya Syarh Shahîh Muslim dalam mensyarahkan dan menghuraikan hadits yang tersebut di atas:

“Ketahuilah sesungguhnya (untuk mendapatkan pahala tersebut) si pekerja iaitu bendahari (dan yang seumpamanya seperti) isteri dan hamba hendaklah mendapat keizinan daripada pemiliknya (dalam setiap tindakan yang dibuatnya berhubung dengan harta tersebut). Jika dari awal lagi tidak ada keizinan yang diberikan, maka tidak ada pahala yang diperolehi oleh mereka, bahkan mereka berdosa kerana mengambil tindakan (membelanjakan) ke atas harta orang lain tanpa ada keizinan pemiliknya.”

Permasalahan yang dihadapi sekarang ialah sedekah atau pemberian yang sudah terkumpul itu tidak lagi dapat disampaikan kerana beberapa halangan yang tidak dapat diatasi atau orang yang dimaksudkan tidak mahu menerima pemberian berkenaan. Dalam masa yang sama pihak pengurus juga tidak lagi dapat mengenal pasti tuan punya barangan tersebut.

Kita melihat permasalahan ini dengan melihat hal pengendalian barang waqaf yang tidak dapat digunakan lagi kerana rosak atau pecah, maka barang tersebut bolehlah dijual sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Minhâj:

Ertinya: Dan (pendapat) yang ashah ialah harus menjual tikar masjid jika ia buruk dan pohon kurmanya jika patah dan tidak layak melainkan untuk dibakar.

Menurut al-Qalyubi pendapat inilah pendapat yang mu‘tamad (menjadi pilihan). Asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib pula menyatakan bahawa menjual itu lebih utama (awlâ) daripada membakarnya supaya tidak hilang begitu sahaja (dengan dibakar) dan supaya tidak menyusahkan kerana menyempitkan tempat untuk menyimpannya dan seterusnya beliau juga mengatakan:

Ertinya: Adapun tikar yang didermakan atau dibelikan untuk masjid adalah (harus) dijual kerana hajat. (Mughnî al-Muhtâj 2:531)

Ibnu Hajar al-Haitami pula menyebutkan dalam at-Tuhfah mengenai perkara ini, katanya:

Ertinya: Maka perolehan yang sedikit daripada penjualannya (perkakas) yang kembali untuk waqaf itu lebih utama daripada hilangnya (kerana dibakar), dan ia dikecualikan daripada perkara penjualan waqaf kerana ia seolah-olah sudah tidak ada, dalam pada itu hasil jualan berkenaan disalurkan bagi tujuan kemashlahatan masjid.

Jika hendak dibandingkan permasalahan mengurus barang derma yang terbengkalai kerana tidak lagi dikehendaki itu dengan cara mengendalikan barang waqaf yang sudah tidak dikehendaki sebagaimana yang dijelaskan pendapat ulama mengenainya di atas, maka adalah lebih mashlahatnya jika barang tersebut dijual dan hasil jualan itu tetap didermakan kepada mangsa Tsunami bagi mengekalkan maksud penderma sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar bahawa penjualan barang waqaf yang sudah rosak itu disalurkan ke masjid (menurut niat pewaqaf). Jika hasil jualan barang derma itu didermakan tentunya ia akan diterima oleh mangsa berkenaan dan urusan penghantarannya juga adalah mudah.

Jika ini tidak dilakukan sudah tentu barang-barang berkenaan akan terkumpul begitu saja kerana sukar untuk dikembalikan kepada tuannya. Akhirnya barang-barang berkenaan akan binasa dan menjadi beban kepada pihak kementerian untuk menempatkannya.

Kita mengatakan kedua-dua perkara di atas sebagai ada persamaan adalah melihat kepada keharusan menjual barang waqaf kerana tidak dapat meneruskan niat pewaqaf, dengan menjual barang derma kerana tidak dapat meneruskan niat penderma. Begitu juga dengan mengambil kira perkataan asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib tentang keharusan menjual tikar yang didermakan kepada masjid kerana hajat (keperluan).

Jika dalam kedudukan barang waqaf dan barang yang didermakan kepada masjid boleh dijual kerana mashlahat atau hajat, padahal waqaf itu diurus dengan hukum yang sangat ketat, maka lebih wajar derma dihukumkan begitu memandangkan pengurusannya lebih mudah dan lebih longgar berbanding waqaf.

Maka sehubungan ini, cadangan untuk mengadakan garage sale/jualan amal untuk menjual barang-barang sumbangan orang ramai kepada mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket, Thailand dan jumlah wang yang diperolehi daripada garage sale/jualan amal ini akan diberikan kepada mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket, Thailand adalah lebih munasabah dan menepati mashlahat daripada membiarkannya rosak begitu sahaja. Lagipun cadangan tersebut boleh menyampaikan niat kutipan derma atau bantuan kerana matlamatnya adalah sama iaitu bagi menolong meringankan bebanan hidup mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket, Thailand.

Adapun dari segi pembahagian terpulanglah kepada kebijaksanaan pihak yang bertanggungjawab.

Sebagai cadangan dan irsyâd jua, jika dapat diusahakan agar cadangan untuk mengadakan garage sale/jualan amal untuk menjual barang-barang sumbangan orang ramai kepada mangsa-mangsa Tsunami di Acheh dan umat Islam di Phuket ini, dapat dimaklumkan melalui media massa seperti televisyen dan radio, akan menjadikannya lebih elok lagi bagi tujuan berhati-hati.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10883