Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Thoracic Sticking Setelah Penyembelihan

Soalan: Salah sebuah akhbar negara jiran telah melaporkan bahawa kaedah Thoracic Sticking iaitu prosedur tambahan yang digunakan selepas penyembelihan adalah dibenarkan. Fatwa negara berkenaan juga menghukumkan bahawa daging sembelihan yang menggunakan kaedah ini sebagai halal dengan syarat-syarat berikut:

1. Telah berlaku penyembelihan yang sempurna (iaitu putus keempat-empat urat mari’, hulqûm dan wadajain;

2. Kaedah tersebut dijalankan selepas berlaku pendarahan sempurna (complete bleeding) atau selepas 30 saat penyembelihan berlaku;

3. Binatang tersebut disahkan mati akibat penyembelihan dan kaedah Thoracic Sticking hanya sekadar membantu mempercepatkan kematian; dan

4. Kaedah ini perlu dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

Sehubungan dengan itu dipohonkan sebarang ulasan dan fatwa Pehin Mufti tentang penyembelihan yang menggunakan kaedah tersebut.

Jawapan: Antara syarat-syarat penyembelihan ialah:

1. Memotong seluruh hulqûm (saluran nafas) dan seluruh mari’ (saluran makanan dan minuman). Jika ditinggalkan sebahagian daripada hulqûm atau mari’ itu (belum putus) dan binatang tersebut mati dalam keadaan yang demikian, maka sembelihan itu tidak dianggap sempurna dan ia dikira bangkai yang haram dimakan. Begitu juga, jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih, padahal hulqûm atau mari’nya belum putus, kemudian dipotong sekali lagi hulqûm atau mari’nya yang tertinggal itu, maka sembelihan yang sedemikian itu juga dianggap tidak sempurna dan ia adalah bangkai yang haram dimakan.

2. Ada qashd (senghaja) untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan. Ini bermakna jika seseorang memegang pisau di tangannya dan terlepas pisau itu dari tangannya, lalu terkena leher binatang lalu terputus seluruh hulqûm dan mari’nya, perbuatan tersebut tidaklah dikira sebagai sembelih, kerana tidak ada tujuan untuk melakukan penyembelihan, maka tidak halal dimakan daging binatang tersebut.

3. Tidak dilakukan suatu perbuatan lain yang boleh membantu kematian binatang sembelihan ketika memotong hulqûm dan mari’. Oleh itu, jika seseorang menyembelih binatang dan pada waktu yang sama seorang yang lain pula menyiat-nyiat perut binatang sembelihan tersebut, maka tidaklah halal binatang sembelihan itu kerana perbuatan mematikan binatang itu tidak dilakukan semata-mata dengan pemotongan hulqûm dan mari’ semasa penyembelihan. (Al-Majmû‘: 9/98-100, Mughnî al-Muhtâj: 4/270-271, 273 & 276, I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/569-570, 574 & 577 dan Fath al-‘Allâm: 4/554)

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Maksudnya: Jika seorang menyembelih seekor binatang dan seorang yang lain pula mengeluarkan perut binatang tersebut atau menikam rusuknya secara serentak, maka tidak halal binatang itu kerana perbuatan mematikan binatang itu tidak dilakukan semata-mata dengan pemotongan hulqûm dan mari’ semasa penyembelihan. (Mughnî al-Muhtâj: 4/271)

Binatang yang telah sempurna disembelih adalah sunat dibiarkan tanpa diapa-apakan sehingga habis nyawanya kerana memutuskan kepala binatang sembelihan, mematahkan lehernya atau memotong sebahagian anggotanya dan seumpamanya sebelum habis nyawanya adalah makruh hukumnya. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Maksudnya: Dan makruh hukumnya memutuskan kepala, mematahkan leher, memotong sebahagian anggota, menggerak-gerakkan dan memindahkan binatang yang sudah disembelih ke tempat lain sehinggalah keluar rohnya. (Mughnî al-Muhtâj: 4/272)

Akan tetapi, sekalipun perbuatan seperti di atas hukumnya makruh, namun perbuatan tersebut tidaklah menjejaskan kehalalan binatang tersebut, kerana perbuatan tersebut dilakukan setelah sempurna dipotong hulqûm dan mari’ binatang.

Oleh yang demikian, binatang yang telah disembelih dan dilakukan kepadanya kaedah Thoracic Sticking iaitu prosedur tambahan yang digunakan selepas sembelihan adalah hukumnya makruh jika ia dilakukan sebelum habis keluar nyawa binatang sembelihan itu.

Namun ia halal dengan syarat prosedur tersebut dilakukan setelah benar-benar sempurna putus hulqûm dan mari’ nya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10888