Wali Pernikahan Anak Luar Nikah
Soalan: Saya seorang perempuan Islam yang berumur 25 tahun. Status saya sebenar ialah anak luar nikah. Bagaimana masalah wali apabila saya bernikah nanti, memandangkan perancangan perkahwinan akan dilangsungkan pada tahun depan? Mohon diperjelaskan kedudukan saya. Untuk pengetahuan, ibu saya tidak berkahwin dengan lelaki yang menyebabkan kelahiran saya. Saya hanya mempunyai bapa angkat iaitu abang kepada ibu saya.
Jawapan: Dalam Islam, salah satu rukun nikah itu ialah wali, tanpa wali maka sebarang pernikahan adalah batal atau tidak sah. Hukum ini ditegaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak sah nikah melainkan dengan adanya wali.
Demikian juga pernikahan akan batal jika wali itu tidak memenuhi syarat-syarat wali, iaitu:
1. Beragama Islam. 2. Lelaki. 3. Bâligh lagi berakal. 4. ‘Âdil (tidak fâsiq) ketika akad nikah. 5. Tidak dalam menunaikan ihram. 6. Tidak mahjûr (ditahan hartanya) kerana bodoh disebabkan membazir atau boros. 7. Merdeka (bukan hamba sahaya). 8. Tidak cacat (lemah) pemikiran (penelitian) yang disebabkan oleh tua atau disebabkan oleh rosak akal fikiran sama ada semula jadi, yang mendatang atau penyakit.
Adapun susunan wali pula bahawa orang yang berhak dan paling dekat menjadi wali dalam pernikahan ialah bapa kepada perempuan yang hendak bernikah iaitu orang yang tsabit berhubung keturunannya dengan perempuan yang hendak diwalikan itu. Jika bapa atau mana-mana wali yang terdekat sekali kepada perempuan itu tidak ada atau terhalang oleh sesuatu perkara sehingga tidak dapat menikahkannya, maka barulah berpindah kepada wali yang jauh, iaitu wali ab‘ad berdasarkan susunan perwalian.
Wali Bagi Anak Perempuan Luar Nikah
Adapun bagi perempuan yang dilahirkan di luar nikah, maka yang menjadi walinya ialah hakim atau qadhi sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Maka sultan adalah wali bagi orang yang tidak mempunyai wali.
Ini kerana seorang anak luar nikah – sama ada perempuan atau lelaki – hanya dinasabkan kepada ibunya, bukan kepada mana-mana lelaki yang bukan bapanya yang sah di sisi syara‘ sekalipun lelaki itulah yang menyebabkan kelahirannya dan bernikah dengan ibunya selepas itu.
Oleh itu, dalam situasi yang Dayang hadapi ini, maka wali yang berhak mewalikan Dayang dalam akad nikah nanti ialah wali hakim atau qadhi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10896
