Wang Faedah (Interest) Daripada Derma Orang Ramai
Soalan: Dengan hormat sukacita memaklumkan bahawa sejak Persatuan Kanak-Kanak Cacat ditubuhkan hampir 19 tahun yang lalu, semua dana untuk menjalankan program dan aktiviti termasuk membayar elaun sukarelawan, kakitangan dan sebagainya adalah melalui hasil derma daripada orang ramai. Dana yang tidak digunakan disimpan dalam akaun simpanan tetap dan persatuan mendapat hasilnya melalui wang interest.
Oleh yang demikian, pihak persatuan ingin memohan nasihat daripada Pehin mengenai kedudukan perkara ini.
Jawapan: Interest, bunga atau faedah daripada wang simpanan Persatuan Kanak-kanak Cacat yang diberi oleh bank konvensional dinamakan ia riba dalam istilah syara‘. Interest, bunga atau riba yang diberi oleh bank adalah dikategorikan sebagai harta yang tidak diketahui tuan yang empunya pada adatnya. Wang yang tidak diketahui tuan yang empunya adalah menjadi harta Baitul-Mal. Harta Baitul-Mal pula dibelanjakan bagi kepentingan dan faedah umat Islam. Oleh itu, wang faedah daripada dana yang disimpan di dalam simpanan tetap bank konvensional itu hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal Negara Brunei Darussalam.
Persatuan Kanak-kanak Cacat tidak berhak menggunakan wang interest itu sama ada bagi tujuan kebajikan secara umum atau khusus. Ini adalah kerana ia bukanlah daripada atau sebahagian daripada hasil wang derma orang ramai kepada persatuan, tetapi ia merupakan bunga atau interest yang diberikan oleh bank yang mengamalkan sistem riba kepada pelanggan-pelanggannya yang menyimpan wang dengan mereka.
Oleh kerana wang bunga atau interest tidak diketahui siapa yang empunya dengan tepat sebagaimana yang telah dijelaskan, maka wang tersebut tidak boleh digunakan oleh sesiapapun kecuali oleh pihak Baitul-Mal sesuai dengan sifatnya sebagai pentadbir am harta umat Islam.
Perlu diingat bahawa interest yang diberikan oleh bank konvensional adalah berlainan dengan dividen atau profit yang diberikan oleh bank Islam. Interest yang diberikan oleh bank konvensional ialah keuntungan urus niaga bank melalui riba yang diharamkan oleh syara‘, manakala dividen atau profit yang diberikan oleh bank Islam pula adalah keuntungan urus niaga bank, bukan melalui riba. Jadi berbeza jika persatuan kanak-kanak cacat menyimpan wang dananya itu di dalam bank Islam, maka dividen atau profitnya bolehlah dimanfaatkan oleh persatuan sendiri, kerana ia bukan hasil interest atau riba.
Oleh itu rasionalnya, Persatuan Kanak-kanak Cacat patutlah menyimpan wang dananya di dalam bank Islam atau institusi kewangan Islam. Langkah ini juga menjadi tanggungjawab wajib bagi mengelak riba. Apatah lagi bank Islam pun sudah wujud di Brunei sendiri. Institusi-institusi NGO (Non-Governmental Organisation/Pertubuhan Bukan Kerajaan) dan orang ramai yang menyimpan wang mereka di bank-bank Islam, sebenarnya secara tidak langsung mereka itu adalah menolong bank berkenaan untuk memperkukuhkan dirinya. Ini adalah kerja berpahala. Orang-orang Islam yang berniat untuk menolong bank Islam melalui simpanan atau apa jua jenis sokongan tidak syak lagi akan memperolehi pahala daripada Allah kerana menjunjung titah perintahNya untuk sentiasa bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan melarang daripada bertolong-tolongan dalam perkara dosa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dalam hal ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam fatwanya bil: 13/73 berhubung hukum menyimpan wang dalam bank yang mengamalkan riba dan kedudukan wang interest, menyatakan:
“Telah diketahui bahawa bank itu menjalankan riba. Dari itu ulama Islam ahli tahqîq menegah dari disimpan dan ditumpangkan wang ke dalam bank, kerana menyimpan wang dalam bank adalah sebagai menolong pada menjalankan riba.
Bunga yang diberi oleh bank itu adalah dinamakan dia harta tiada diketahui siapa yang punya akan dia, kerana bank mengambil wang bunga itu daripada orang yang meminjam wang daripadanya. Dan mengambil wang itu ditegah pada pandangan Islam kerana ia riba. Jadi wang bunga yang ada di tangan bank itu pada pandangan Islam adalah wang yang tiada diketahui tuan punya. Dan harta yang tiada diketahui tuan punya itu jadilah ia harta Baitul- Mal dan boleh diambil wang interest itu dari bank dan dibelanjakan dia pada kebajikan umat Islam.”
Oleh yang demikian, hasil wang yang diperolehi Persatuan Kanak-kanak Cacat kerana menyimpan wang di bank konvensional itu adalah wang interest atau wang bunga. Wang bunga itu adalah riba dan wang riba tidak boleh digunakan oleh persatuan, bahkan diserahkan ia kepada Baitul-Mal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10904
