Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Adakah Wang Simpanan Dizakat?

Soalan: Adakah kita diwajibkan mengeluarkan zakat duit simpanan? Jika ya, apakah dalil-dalil yang mewajibkannya itu?

Jawapan: Manusia pada awalnya tidak mengenali wang bahkan mereka tidak menggunakannya untuk berurus niaga, tetapi mereka menggunakan cara muqâyadhah (tukar ganti). Iaitu menukar sesuatu barang yang diperlukan oleh orang lain dengan barang yang diinginkannya. Kaedah ini berterusan hinggalah manusia tahu untuk menggunakan wang (emas) sebagai alat ganti untuk berniaga.

Ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam baru diutus, orang-orang Arab di waktu itu menggunakan dua mata wang iaitu emas dalam bentuk dinar dan perak dalam bentuk dirham. Mereka menggunakannya melalui kaedah timbangan iaitu emas dan perak itu dinilai dari segi berat atau ringan, besar ataupun kecilnya dengan mana-mana timbangan yang khusus baginya.

Apabila Islam sudah mula tersebar di Tanah Arab, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menetapkan dan memilih timbangan mata wang penduduk Makkah untuk digunakan oleh umat Islam. Pada ketika itu mereka menggunakan wang emas dinamakan dinar dan perak dinamakan dirham. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

: Sukatan yang terpakai ialah sukatan penduduk Madinah dan timbangan yang terpakai ialah timbangan penduduk Makkah. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Maka emas (dinar) dan perak (dirham) telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang Islam dan padanya terdapat berbagai hukum yang telah ditetapkan. Tapi dengan peredaran zaman penggunaan mata wang emas dan perak ini semakin berkurangan dan kedua-duanya telah digantikan dengan mata wang kertas yang digunakan secara menyeluruh. Ini kerana bidang transaksi yang semakin meluas dan permintaan daripada kehidupan ekonomi yang semakin meningkat dan dengan adanya mata wang kertas ini akan lebih memudahkan untuk dibawa dan dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lainnya berbanding dengan mata wang emas atau perak. Tetapi adakah mata wang kertas ini diiktiraf sama statusnya dengan wang emas dan perak dari segi syara‘?

Wang kertas dan wang logam, menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili adalah wang yang dapat menggantikan kedudukan emas dan perak, yang nilainya telah ditentukan oleh bank negara atau badan kewangan negara, dan sama nilainya dengan emas. Ia wajib dizakat kerana wang dianggap sebagai harta yang berharga dan dapat dimanfaatkan oleh pemiliknya. (Al-Fiqh al- Islâmi wa Adillatuh: 3/1833-1835)

Menurut resolusi bilangan 21 (9/3) Akademi Fiqh Islam kali ketiga di Amman ibu kota Jordan, wang kertas yang digunakan sekarang adalah wang sebenar yang sah diperlakukan dari segi undang-undang dan ia mempunyai sifat nilai yang sempurna dan baginya berlaku segala hukum-hukum syara‘ yang dikenakan kepada emas dan perak termasuklah zakat.

Maka wang kertas (bank notes) wajib dikeluarkan zakatnya apabila telah sampai nishâb dan cukup haulnya dan ini ialah pendapat jumhûr ulama fiqh. Ini bersesuaian dengan dalil-dalil yang mewajibkan zakat bagi orang-orang yang memiliki dan menyimpan harta (emas dan perak) yang cukup nishâb dan haulnya.

Dalil-Dalil Wajib Zakat Mata Wang

Kewajipan mengeluarkan zakat dalam Islam ada disebutkan dalam al-Qur’an, sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ijmâ‘ para ulama. Dalam surah al-Baqarah ada menyatakan:

Tafsirnya: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat… (Surah al-Baqarah: 43)

Dalam al-Qur’an juga menyebutkan tentang balasan bagi orang yang tidak menunaikan zakat:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu pada hari dibakar emas perak dan harta benda itu dalam neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka sambil dikatakan kepada mereka: “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasakanlah azab daripada apa yang telah kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah: 34-35)

Ayat-ayat ini memperingatkan bahawa pada emas dan perak itu terdapat hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sesiapa yang tidak menafkahkannya di jalan Allah akan menerima azabnya. Apa yang dimaksudkan dengan ‘di jalan Allah’ itu adalah menunaikan zakat, kerana ز الكن (al-kunz) itu ialah setiap harta yang wajib padanya zakat tetapi belum dikeluarkan zakatnya, dan ayat ََوالَينفقوَّناَِفَسبيلَهللا itu bermaksud tidak ditunaikan zakatnya, ataupun harta yang yang tidak ditunaikan padanya hak Allah iaitu zakat.

Berdasarkan tafsir ayat 35 surah at-Taubah ini, bahawa orang yang diberi peringatan tentang azab neraka dalam ayat 34 itu ialah orang-orang yang menyimpan hartanya dan tidak mengeluarkan hak-hak Allah iaitu tidak mengeluarkan zakat harta yang mereka simpan. (Jâmi‘ al-Bayân: 6/151-160)

Begitu juga dalam kitab Tafsîr al-Munîr, pengertian ‘ َ والَينفقوَّناَِفَسبيلَهللا ’ itu ialah harta yang disimpan dalam tabung, peti atau tempat menyimpan harta, tanpa mengeluarkan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang ada di dalamnya. Iaitu yang tidak dikeluarkan daripadanya (harta) hak zakat. (At-Tafsîr al-Munîr: 9-10/188-194)

Maka janji azab dan seksaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap orang yang tidak menunaikan zakat hartanya ini jelas menunjukkan bahawa mengeluarkan zakat itu wajib.

Dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ ada menyebutkan tentang kefardhuan zakat. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengutus Mu‘az Radhiallâhu ‘anhu ke Yaman, dan Baginda bersabda kepadanya (Mu‘az):

Maksudnya: Serulah mereka (orang-orang Yaman) kepada kesaksian bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah. Jika sekiranya mereka mentaati perkara itu, beritahulah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas mereka lima sembahyang pada setiap hari dan malam. Jika mereka mentaati perkara itu, beritahulah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya daripada kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang fakir di kalangan mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits yang lain, juga ada menyebutkan tentang balasan bagi orang yang tidak menunaikan zakatnya:

Maksudnya: Tiadalah bagi pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya (mengeluarkan zakatnya), melainkan di Hari Kiamat kelak, akan diratakan baginya kepingan-kepingan batu dari neraka, lalu dibakar kepingan-kepingan batu itu dalam neraka Jahannam, lalu diseterika dengannya rusuk, dahi dan belakangnya. Setiap kali kepingan itu sejuk maka diulangi lagi (dipanaskan lagi) dalam satu hari yang mana kadar tempoh (sehari itu) menyamai dengan 50 ribu tahun, sehingga dia diadili di antara sekalian manusia. Lalu dia akan melihat jalan untuknya, apakah dia ke syurga ataupun ke neraka. (Hadits riwayat Muslim)

Manakala seluruh umat Islam, yang terdahulu dan sekarang, telah ijmâ‘ mengatakan zakat itu wajib ditunaikan termasuklah zakat bagi mata wang emas (dinar) dan perak (dirham). Maka berdasarkan dalil-dalil ini, para ulama terdahulu dan kini berpendapat, bahawa wang sama ada kertas ataupun logam (syiling) adalah wajib dizakat kerana ia dianggap sebagai harta yang berharga dan bernilai, sama seperti emas dan perak.

Pengiraan Haul Bagi Wang Simpanan

Dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyebutkan:

Maksudnya: Tidaklah dikenakan pada harta sebarang zakat sehinggalah ia mencukupi haul. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits yang lain:

Maksudnya: Dan tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (zakat) sehingga sampai 200 dirham. Jika kamu memiliki 200 dirham dan sampai haulnya, maka padanya (zakat) lima dirham. Dan tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (zakat) sehingga sampai 20 dinar. Jika kamu memiliki dan sampai haulnya, maka padanya (zakat) setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Menurut hadits di atas, zakat bagi mata wang (wang simpanan) itu wajib dikeluarkan apabila telah cukup haulnya iaitu mencapai kiraan satu tahun mengikut kiraan tahun Hijrah. Misalnya dari 1hb. Muharram, 1426H hingga 1hb. Muharram, 1427H sudah mencukupi haulnya (setahun), dan sampai nishâbnya, maka wajiblah dikeluarkan zakat bagi wang simpanan tersebut.

Nishâb Zakat Wang Simpanan

Dinyatakan dalam kitab-kitab fiqh seperti Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn, Bujairimi ‘ala al- Khathib dan lainnya, nishâb yang tsabit bagi perak ialah 200 dirham dan kadar yang wajib dikeluarkan daripadanya ialah 1/40 atau 2.5%, menurut timbangan Makkah sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tidak ada pada harta yang kurang daripada lima awqiyah daripada wang perak itu sebarang zakat dan (lima awqiyah) itu ialah 200 dirham. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengikut tukaran timbangan sekarang 200 dirham itu bersamaan dengan 595 gram perak dan kadar yang wajib dikeluarkan ialah 1/40 atau 2.5% daripada jumlah penuhnya.

Manakala nishâb bagi emas pula menurut ijmâ‘ ulama ialah 20 mithqâl atau 20 dinar mengikut timbangan Makkah dan kadar zakat yang perlu dikeluarkan ialah setengah dinar atau 1/40 (2.5%) daripadanya. Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Dan tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (zakat) sehingga sampai 20 dinar. Jika kamu memiliki dan sampai haulnya, maka padanya (zakat) setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Jika mengikut kiraan sekarang, 20 mithqâl itu bersamaan dengan 85 gram emas atau 595 gram perak. Jika kedua-duanya, emas atau perak itu mencapai nishâbnya, kadar zakatnya adalah 1/40 (2.5%) daripada harta yang ada.

Disebabkan perbezaan yang jauh di antara nilai nishâb perak (595 gram) dan emas (85 gram), maka timbul perbezaan pendapat dalam menetapkan kadar zakat mata wang itu, sama ada ia disandarkan kepada kadar nishâb perak ataupun emas.

Setengah ulama berpendapat kadar nishâb mata wang itu disandarkan kepada nishâb perak, tetapi para ulama mu‘âsharah (terkini) dan para pengkaji berpendapat kadar nishâb mata wang itu disandarkan kepada kadar nishâb emas iaitu 20 dinar atau 85 gram emas. Ini berdasarkan kepada dalil-dalil yang banyak bahawa nishâb emas dan perak itu adalah sama di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan juga di zaman al-Khulafâ’ ar-Râsyidîn, kerana satu dinar (emas) itu bersamaan dengan 10 dirham (perak).

Selain itu para ulama berpendapat kadar nishâb mata wang yang disandarkan kepada nishâb emas itu lebih munasabah dan berpatutan dengan kehidupan dan keperluan zaman sekarang. Kadar ini juga telah difatwakan oleh mufti-mufti Mesir dan juga menjadi pilihan di beberapa buah negeri di rantau ini.

Maka jika mengikut harga pasaran emas sekarang umpamanya, satu gram emas bernilai $25.60, maka 85 gram emas bernilai $25.60 X 85 = $ 2,176 (dua ribu seratus tujuh puluh enam ringgit), maka kadar yang wajib dikeluarkan zakatnya ialah $54.40 iaitu 1/40 atau 2.5% daripada jumlah nishâbnya.

Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa nilai emas sentiasa berubah dari semasa ke semasa dan kiraan nishâb bagi mata wang hendaklah disesuaikan mengikut kiraan yang terkini. Oleh itu umat Islam, terutamanya mereka yang mempunyai kewajipan untuk mengeluarkan zakat, perlu peka akan perubahan nilai emas yang berlaku setiap masa. Begitu juga pihak yang bertanggungjawab dalam menetapkan kadar zakat, mestilah sentiasa mengikuti harga pasaran emas dan memaklumkannya kepada orang ramai bagi kemudahan mereka untuk menunaikan kewajipan zakat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10945