Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Alkohol Dalam Minyak Wangi

Soalan: Dihadapkan kemusykilan tentang alkohol dalam minyak wangi yang dipetik daripada majalah Al-Islam keluaran bulan Jun 1995, muka surat 32-33 soalan nombor 1 di dalam ruangan Kemusykilan Agama.

“Penggunaan alkohol dalam kehidupan Islam berasaskan kepada pengharaman arak yang sabit melalui ayat Al-Qur’an. Dalam ayat-ayat berkenaan Allah menjelaskan di antara lain bahawa arak itu najis dan harus dijauhi. Sebabnya kerana ia memabukkan dan boleh mengheret ke arah dosa. Rasulullah juga mengaitkan pengharaman arak kerana sifatnya yang biasanya memabukkan.

Berdasarkan kepada ayat dan hadits tentang arak dan kekejiannya dalam hidup manusia kerana ia memabukkan, maka para fuqahâ’ mengambil kesimpulan bahawa setiap yang memabukkan hukumnya najis dan haram digunakan.

Pada suatu peringkat kajian, para ulama berpendapat sebab utama yang menjadikan arak itu memabukkan ialah kerana adanya alkohol yang terkandung di dalamnya.

Perkaitan antara arak dan alkohol ini begitu rapat sekali sehingga kandungannya tidak dapat dipisahkan lagi. Biasanya orang menyebut meminum arak sebagai meminum alkohol dan sebagainya.

Di samping itu para ulama juga semakin sedar bahawa alkohol itu bukan sahaja ada dalam arak, tetapi ada di mana sahaja. Malah nisbah alkohol di dalam tapai, misalnya jauh lebih tinggi daripada nisbah alkohol di dalam jenis arak tertentu.

Apakah ia bererti tapai juga perlu diharamkan kerana mengandungi alkohol? Bagaimana pula halnya dengan bahan-bahan lain yang setiap hari berada di sekeliling kita?

Hal ini melahirkan kecenderungan untuk melihat garis halus yang memisahkan antara arak dan alkohol. Arak tetap haram walaupun ia tidak memabukkan peminumnya. Sebaliknya kewujudan alkohol di dalam sebarang bahan tidak semestinya menjadikan bahan itu haram digunakan.

Selain itu, najis juga terbahagi kepada dua, iaitu secara fizikal (‘ain) dan secara moral (ma‘nawi). Hasil buangan manusia, seperti air kencing dan sebagainya adalah najis dan boleh membatalkan sembahyang ketika bersentuhan dengannya pada waktu bersembahyang. Kalau terkena sebarang bahagian badan atau pakaian, ia wajib dibasuh sampai hilang sama sekali.

Orang kafir juga najis. Al-Qur’an sendiri menyebut mereka begitu dan melarang umat Islam tunduk di bawah kepimpinan mereka. Tetapi bersentuhan dengan mereka tidak membatalkan sembahyang dan tidak diwajibkan kita membasuhnya.

Begitulah juga dengan hasil perjudian, ia najis tetapi tidak membatalkan sembahyang kalau berada dalam saku baju orang yang bersembahyang. Begitulah seterusnya.

Ringkasnya, apabila dikatakan najis, persoalan yang timbul ialah jenis apakah najis itu, fizikal (‘ain) atau moral (ma‘nawi)? Persoalan yang sama juga berlaku terhadap kedudukan alkohol.

Kalau ia najis, dalam kategori mana ia perlu dikelaskan? ‘ain atau ma‘nawi? Atau kedua-duanya sekali?

Selain itu, mengikut mereka, alkohol apabila terkena pada tempat yang terbuka akan larut dengan udara. Ia tidak akan berada di situ, tetapi akan hilang dengan sekelip mata. Yang tertinggal pada tubuh atau pakaian orang yang memakainya hanyalah bahan-bahan lain yang bukannya alkohol.

Inilah persoalan-persoalan yang dilahirkan oleh kemajuan manusia di bidang ilmu. Ia membuat para ulama lebih memahami kehendak sebenar al-Qur’an dan as-Sunnah.

Maka berdasarkan kepada fakta ilmiah yang baru ini para ulama al-Azhar memberi fatwa bahawa minyak wangi yang mengandungi alkohol itu bukan najis yang boleh membatalkan sembahyang.

Bagi Islam, fatwa seperti ini bukan sesuatu yang baru pada prinsipnya, tetapi suatu penemuan baru tentang hakikat hidup.”

Masalahnya, adakah negara kita juga turut mengharuskan seperti perkara yang tersebut di atas?

Jawapan: Pengertian Alkohol

Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui berbagai-bagai cara, antaranya ialah:

i. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)

ii. Sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)

Cara yang pertama itu adalah merupakan cara bagaimana menghasilkan khamr (arak).

Kenajisan Arak

Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullâh, arak dihukumkan najis seperti darah berdasarkan firman Allah Ta‘ala (al-Majmû‘: 2/581):

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Hukum Alkohol Daripada Arak

Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terkandung di dalam arak itu pun adalah najis juga. Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Adapun alkohol semata-mata tidak semestinya najis selama mana ia tidak diambil atau diperolehi daripada arak, kerana tapai yang biasa dimakan pun menurut pakar sains ada mengandungi alkohol, namun ia tidak dihukumkan najis dan tidak dihukumkan haram memakannya kerana sifatnya yang tidak memabukkan.

Maka memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol daripada arak di dalam sembahyang adalah membatalkan sembahyang, kerana dalam kes ini, alkohol tersebut adalah daripada arak, bahagian daripada arak sendiri, maka hukumnya tidak boleh tidak, mestilah najis dan berlumur dengan najis tanpa sebarang keperluan syar‘i hukumnya haram sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh:

Ertinya: Haram (hukumnya) berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar‘i). (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)

Mengenai dengan persoalan yang disebut oleh artikel di atas: “…nisbah alkohol di dalam tapai misalnya jauh lebih tinggi daripada nisbah alkohol di dalam jenis arak tertentu….” Pandangan tersebut perlu kepada kajian lebih lanjut. Persoalan yang amat mustahak di sini ialah kenapakah tapai tersebut tidak memabukkan dan arak yang tertentu itu pula memabukkan? Kita jangan lupa kaedah asal (hadits shahîh) iaitu sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap arak itu haram. (Hadits riwayat Muslim)

Dan sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma lagi:

Maksudnya: Tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap yang memabukkan itu haram. (Hadits riwayat Muslim)

Selanjutnya artikel tersebut menimbulkan persoalan bahawa: “....alkohol apabila terkena pada tempat yang terbuka akan larut dengan udara dan ia tidak akan berada di situ, tetapi akan hilang dengan sekelip mata. Yang tertinggal pada tubuh atau pakaian orang yang memakainya hanyalah bahan-bahan lain yang bukannya alkohol…”. Perkara tersebut juga masih tidak mampu menghalangi tubuh atau pakaian orang yang memakainya itu dihukumkan bernajis, kerana bahan-bahan lain yang tertinggal pada tubuh atau pakaian orang yang memakainya itu dianggap sebagai mutanajjis (benda yang terkena najis) sebab bahan-bahan tersebut telah bercampur dengan ‘ain najis iaitu alkohol daripada arak atau bahagian daripada arak, sebelum ia dikenakan pada tubuh badan atau pakaian.

Hukum Alkohol Sintetik Atau Tiruan Daripada Campuran Bahan Kimia

Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia yang sifatnya sangat memudharatkan seperti racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulama pun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah. (Ahsan al-Kalâm fi al-Fatâwa wa al-Ahkâm: 1/220).

Maka memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui cara ini, tidaklah ia membatalkan sembahyang kerana alkohol tersebut tidak dihukumkan najis sebab ia bukan bersumber daripada arak. Cuma, meminumnya sahaja dihukumkan haram kerana ia memudharatkan seperti juga racun.

Dengan itu, disimpulkan bahawa setiap arak yang mengandungi alkohol atau alkohol yang bercampur dengan arak hukumnya najis, tetapi bukanlah semua alkohol berasal daripada arak. Ada alkohol dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia yang tidak ada hubungan dengan arak, maka alkohol jenis ini tidak dihukumkan najis.

Perkara Yang Meragukan Hendaklah Ditinggalkan

Tetapi persoalan penting, dapatkah kita mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak harum itu diambil daripada sumber yang suci atau najis?

Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa beliau telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang bersabda:

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam hadits yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharamannya (kita tidak pasti adakah ia halal atau haram) adalah menandakan kesungguhan seseorang itu memelihara agama dan kehormatannya. Manakala ia kita buat juga padahal masih saja samar-samar, maka ini boleh membawa kepada haram, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam riwayat an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan sesiapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak harum sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah selamat supaya perkara tersebut ditinggalkan saja. Lagipun di pasaran masih banyak terdapat minyak harum atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi alternatif kita.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10949