Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Ashnâf Zakat Di Negara Brunei Darussalam

Soalan: Menurut apa yang saya ketahui, di Negara Brunei Darussalam golongan yang layak mendapat agihan zakat hanya terdapat enam ashnâf sahaja iaitu fakir, miskin, ‘âmil, mu’allaf, al-ghârim dan ibnus- sabîl.

Pertanyaan saya, adakah terdapat fatwa yang menyatakan tentang perkara demikian?

Jawapan: Berhubung pertanyaan di atas, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, bekas mufti kerajaan Negara Brunei Darussalam pernah diajukan soalan berikut:

“Seorang menyimpan wang yang telah cukup nishâbnya katakanlah seribu ringgit selama setahun, kemudian ia keluarkan zakat dari wang itu, dan ia bahagikan zakat itu kepada orang-orang yang tertentu seperti pegawai masjid dan guru ugama atau kepada askar dan polis. Adakah sah zakat yang tersebut itu dibahagikan kepada orang-orang yang tertentu yang tersebut itu, dan adakah lepas atau sempurna niat yang berzakat itu bila ia keluarkan zakat kepada orang-orang yang tersebut itu?”

Maka jawapan fatwa di bawah ini telah diberikan kepada penanya:

“Wang yang disimpan oleh tuan punya, yang telah sampai nishâbnya selama setahun qamariah (hitungan Hijriyyah) dari mula ia milik wang itu, maka wajib ia keluarkan zakat baginya, dan nishâb wang Brunei mengikut hitungan pada masa sekarang ini sebanyak B$86.28 dan dikeluarkan 2.5% atau dua peratus setengah zakatnya dan yang lebih dari nishâb itu dikira mengikut hisabnya.

Zakat itu dibahagikan kepada 6 ashnâf di dalam negeri Brunei ini iaitu:

1. Fakir. 2. Miskin. 3. ‘Âmil (gugur ia jika tuan punya membahagikan dengan diri sendirinya atau dengan wakilnya). 4. Mu’allaf. 5. Ghârim (yang berhutang). 6. Ibnus- sabîl (yang belayar atau yang dalam perjalanan).

Jika tuan punya membahagikan zakat itu, maka bahagian ‘âmil gugur, dari itu wajib tuan punya itu membahagikan kepada lima (5) ashnâf dikecualikan ‘âmil sebab telah keluar dari ashnâf yang wajib menerima zakat.

Wajib tuan punya membahagikan zakatnya kepada 5 ashnâf itu dengan sama rata dan jika zakatnya ada sebanyak $25 maka tiap-tiap ashnâf itu mesti mendapat $5. Jika 5 ashnâf itu ada di tempat ia mengeluarkan zakat dan jika cuma ada 2 ashnâf atau 3 ashnâf maka wajib ia membahagikan kepada ashnâf yang ada sama rata juga.

Dan wajib diberi 3 orang daripada tiap-tiap ashnâf yang ada itu yakni jika ada 3 ashnâf di tempat tuan mengeluarkan zakat, maka wajib ia beri 3 orang dari tiap-tiap ashnâf dari 3 ashnâf yang ada yakni 3 x 3 = 9 orang, tetapi jika orang-orang ashnâf di tempat itu mudah diketahui dan zakat itu memada dengan mereka itu, maka wajib diberi tiap-tiap orang dari tiap-tiap ashnâf itu yakni jika sekalian fakir di tempat itu mudah diketahui dan zakat itu memada dengan mereka itu umpamanya, maka wajib dibahagikan tiap-tiap orang fakir dari ashnâf fakir itu, dan jika sukar diketahui orang-orang fakir dari ashnâf fakir atau zakat itu tiada memada dengan bilangan fakir-fakir itu, maka wajib diberi 3 orang fakir dari ashnâf fakir itu demikianlah menurut kitab al-Minhâj karangan al-Imam ar-Rabani an- Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Oleh yang demikian jika pegawai masjid dan guru ugama atau orang askar dan orang polis itu ada salah satu orang termasuk dalam mana-mana dari 5 ashnâf yang tersebut tadi dengan dikecualikan ‘âmil, maka zakat yang tersebut itu sah.

Adapun pada zakat tiadalah sah tuan punya itu menentukan sebahagian daripada orang yang tertentu atau menentukan dibahagikan kepada orang-orang yang tertentu, dikecualikan jika ada pada orang-orang yang tersebut itu sifat berhak menerima zakat, yakni jika ia termasuk di bawah mana-mana ashnâf yang lima itu. Wallâhu A‘lam.” (Siri Fatwa: 42/70)

Berhubung nishâb zakat wang, kadarnya adalah berubah-ubah mengikut jumlah nilaian harga 20 mitsqâl atau 85 gram emas di pasaran semasa. Sebagai contoh, jika harga 1 gram emas pada masa ini ialah $29.70, maka nishâb zakat wang yang wajib dikeluarkan ialah $2,524.50 ($29.70 x 85).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10954