Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Beberapa Isu Jual Beli

Soalan: 1. Apakah hukum jual beli barang-barang yang berada dalam bungkusan yang tidak dapat dilihat bahagian dalamnya seperti yang terdapat di pasaraya sekarang ini, sedangkan tertulis dalam kitab-kitab fiqh bahawa antara syarat mabî‘ (barang jualan), ia dapat diketahui dan dilihat. Sekiranya harus apakah ‘illah (sebab)nya? 2. Adakah harus menjual baja daripada najis sedangkan syarat barang jualan hendaklah suci atau yang boleh disucikan? 3. Apakah ‘illah (sebab) harusnya membeli makanan atau minuman daripada mesin sedangkan syarat jual beli ialah wujudnya bâ’i‘ (penjual) dan musytari (pembeli)?

Jawapan: Hukum Jual Beli Islam amat menitikberatkan kesejahteraan umatnya dalam semua hal termasuk dalam soal jual beli supaya tidak terjadi ketidakadilan seperti penipuan dan kerugian di antara pembeli dan penjual. Jual beli merupakan suatu muamalat yang diharuskan dalam Islam asalkan tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Padahal Allah Ta‘ala telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275) Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, rukun jual beli itu ada tiga, iaitu: i. Al-‘âqidân iaitu penjual dan pembeli. ii. Shîghah iaitu îjâb (ucapan penjualan) dan qabûl (ucapan penerimaan). iii. Ma‘qûd ‘alaih iaitu barang jualan dan harga. (Al-Majmû‘: 9/174)

1. Jual Beli Barang Berbungkus

Pada masa sekarang, kebanyakan barang yang dijual di pasaraya atau di kedai-kedai runcit dalam keadaan berbungkus sama ada bungkusan tersebut menggunakan bungkusan yang transparent (nampak isi di dalamnya) ataupun opaque (tidak nampak isi di dalamnya). Jika barang-barang makanan atau minuman, maka tujuan utama bungkusan itu supaya dapat mengekalkan kualiti barang tersebut, dalam waktu yang sama juga mengelakkan daripada kerosakan oleh berbagai-bagai sebab.

Pada kelazimannya, semua barang yang dijual secara berbungkus ada memberitahu nama benda atau barang yang dibungkus, bahkan ada yang menyertakan gambar dan penjelasan mengenai kandungannya pada sebelah luar bungkusan tersebut. Maklumat-maklumat tersebut adalah seperti tarikh mansuh, bahan ramuan, maklumat pemakanan, berat kandungan, pengedar dan ada sesetengahnya menyebutkan bahawa barangan itu tidak mengandungi bahan tambahan (additives) yang bersumber daripada haiwan di samping ditanda dengan label halal.

Langkah-langkah tersebut adalah untuk memberitahu para pembeli atau pengguna akan kandungan bungkusan tersebut supaya pembeli atau pengguna tahu barang yang hendak dibelinya. Bahkan pengguna boleh mendakwa kepada syarikat pengeluar jika kandungannya lain daripada apa yang dilabel di luar bungkusan tersebut. Walau bagaimanapun, pengguna hendaklah bijak memilih barang yang hendak dibeli terutama yang memerlukan pemerhatian yang sungguh-sungguh dan teliti seperti daging binatang yang telah dipaketkan sekalipun telah ditanda dengan label halal.

Syarat-Syarat Barang Jualan

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, barang jualan itu ada lima syarat. Jika syarat-syarat itu dipenuhi, maka haruslah barang jualan tersebut dijadikan akad. (Nihâyah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 3/392)

Syarat-syarat barang jualan itu ialah:

i. Barang itu hendaklah suci. ii. Barang itu hendaklah dapat dimanfaatkan. iii. Barang itu hendaklah dimiliki oleh orang yang berakad (penjual). iv. Berkuasa menyerahkan barang itu. v. Barang itu hendaklah diketahui.

Berdasarkan keterangan di atas, antara syarat barang jualan itu hendaklah penjual dan pembeli maklum dan jelas tentang barang yang diperjualbelikan itu supaya tidak terdapat penipuan dan kekeliruan kepada pihak pembeli sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang jual beli yang mengandungi penipuan. (Hadits riwayat Muslim)

Jika barang jualan yang hendak dibeli itu majhûl (tidak diketahui) atau tidak ditetapkan jenisnya atau kadarnya, maka batallah jual beli tersebut kerana pembeli tidak mengetahui barang yang dibelinya. Umpamanya, penjual berkata kepada pembeli: “Aku jual salah satu baju daripada baju-baju itu.” (Al-Majmû‘: 9/346)

Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, adalah memadai jual beli apabila mengetahui barang jualan dengan menentukan jenis pada barang jualan yang hendak diperjualbelikan itu daripada barang-barang yang lain dan menetapkan kadarnya atau sifatnya pada barang jualan yang di dalam tanggungan tersebut untuk menghindari penipuan dalam berjual beli. (Mughni al-Muhtâj: 2/352)

Berdasarkan keterangan di atas, dapatlah difahami bahawa jika pada bungkusan barang jualan tersebut jelas memberitahu benda yang ada di dalamnya dengan menentukan umpamanya jenis, sifat dan kadarnya, maka sahlah hukumnya jual beli tersebut.

2. Jual Beli Baja Yang Bercampur Najis

Menurut para ulama daripada mazhab asy-Syafi‘e, tidak sah berjual beli benda-benda najis pada zatnya seperti khinzîr, anjing dan apa-apa yang lahir, bersumber atau datang daripada keduanya atau salah satu daripada keduanya. Begitu juga tidak harus berjual beli arak, tahi dan apa-apa yang dikatakan najis pada zatnya dan benda-benda mutanajjis yang tidak dapat disucikan yang telah bersatu dan menjadi najis pada zatnya. (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al- Minhâj: 3/392-393 & al-Majmû‘: 9/269)

Dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Jabir bin Abdullah Radhiallâhu ‘anhuma bahawasanya dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda pada tahun pembukaan Makkah, ketika Baginda berada di Makkah:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘alaََ dan RasulNya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzîr dan berhala.Maka ditanya: “Wahai Rasulullah, adakah boleh menjual lemak bangkai, kerana ia (lemak itu) digunakan untuk mengecat kapal-kapal, dan untuk meminyaki kulit-kulit, dan orang-orang membuatnya sebagai minyak pelita?”Maka menjawab Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Tidak boleh, itu adalah haram”. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda ketika itu: “Allah akan membunuh orang Yahudi, kerana ketika Allah Ta‘ala mengharamkan ke atas mereka akan lemak-lemak bangkai, mereka cairkannya (lemak bangkai tersebut), kemudian mereka jual (minyak lemak yang mereka cairkan itu) kemudian mereka makan harganya (minyak lemak bangkai itu).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hukum Jual Beli Benda Mutanajjis

Adapun benda mutanajjis (yang terkena atau bercampur najis), apabila dapat disucikan daripada najis tersebut seperti pakaian yang terkena najis tahi dan seumpamanya, maka sah diperjualbelikan kerana pada dasarnya benda itu adalah suci. Jika benda mutanajjis itu tidak dapat disucikan daripada najis tersebut seperti susu yang bercampur arak dan seumpamanya, maka tidaklah sah diperjualbelikan kerana benda mutanajjis itu telah menyamai maksud najis pada zatnya. (Mughni al-Muhtâj: 2/340-341)

Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, jual beli benda mutanajjis yang tidak dapat disucikan atau yang dapat disucikan tetapi tidak dibasuh adalah tidak sah jika benda tersebut istiqlâl (berasingan atau bersendirian) di mana kedudukannya adalah sama dengan makna najis pada zatnya seperti batu-bata yang diuli atau dicampur dengan tahi dan seumpamanya. Jika benda tersebut taba‘an (mengikut), maka sah diperjualbelikan kerana kedudukannya adalah mengikut atau bersama pada benda lain yang kita hajati seperti membeli rumah yang dibina daripada batu-bata yang bercampur tahi dan seumpamanya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/15)

Mengenai dengan baja yang mengandungi najis, maka menurut pendapat ulama fiqh mazhab asy-Syafi’e, tidak harus diperjualbelikan kerana antara syarat mabî‘ (barang jualan) yang dibolehkan untuk berjual beli itu hendaklah suci atau boleh disucikan.

Benda-benda najis atau mutanajjis yang tidak dapat disucikan ini hanya boleh berpindah tangan iaitu melepaskan kuasa atau hak sahaja dengan cara bersedekah, pemberian atau wasiat bukannya dengan cara akad jual beli. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/15)

Dalam perkara berpindah tangan bagi sesuatu benda yang bernajis, maka tidak boleh digunakan lafaz shîghah jual beli tetapi tidak mengapa menyebutkan lafaz shîghah dalam pengguguran hak dan dibolehkan mengambil ‘iwadh (ganti-gantian) di atas pengguguran hak tersebut. (Hâsyiah asy-Syeikh Sulaiman al-Jamal ‘alâ Syarh al-Minhâj li Syeikh Zakariya al-Anshari: 3/6 & Hawâsyi asy-Syirwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 4/217)

Umpamanya, orang yang memiliki baja (najis) itu berkata: “Kalau engkau beri kepadaku $10.00, engkau boleh ambil empat beg baja (najis) yang ada ini”. Dan berkata pengguna itu kepadanya: “Aku terima”. Atau sebaliknya, contohnya, berkata pengguna kepada pemilik baja (najis): “Berikan aku empat beg baja (najis) dan ini gantinya $10.00”.

Baja Sebagai Satu Komoditi Memang tidak dinafikan keperluan baja khususnya baja yang bercampur dengan najis tahi haiwan seperti tahi ayam, lembu dan sebagainya pada masa sekarang kegunaannya amat meluas. Ia dinamakan juga sebagai baja organik iaitu baja tanpa campuran bahan-bahan kimia. Adapun fungsinya adalah hampir serupa dengan baja kimia, iaitu memberi nutrien kepada tanah, menyuburkan tanam-tanaman dan sebagainya.

Dengan adanya permintaan untuk bekalan baja daripada tahi haiwan ini, ia mula diprodukkan sebagai salah satu keperluan yang boleh memberi manfaat kepada kita apabila memakan hasil daripada tumbuh-tumbuhan tersebut.

Menurut Imam al-Kasani al-Hanafi, salah seorang ulama daripada mazhab Hanafi, tidak harus berjual beli najis kerana ia tidak memberi manfaat atau faedah dan ia tidak dikira sebagai harta kecuali jika najis tersebut bercampur dengan tanah kerana tanah itu adalah sesuatu yang suci diperjualbelikan. Oleh itu, jika najis tersebut bercampur dengan tanah maka harus diperjualbelikan kerana ianya boleh memberi manfaat atau faedah dan boleh dikira sebagai harta. (Kitab Badâ’i‘ ash-Shanâ’i‘ fî Tartîb asy-Syarâ’i‘: 5/215) Berkata Imam Hanafi Radhiallâhu ‘anhu seperti yang dinukilkan dalam kitab Badâ’i‘ ash- Shanâ’i‘ fî Tartîb asy-Syarâ’i‘:

Ertinya: Setiap sesuatu (benda halal) yang dirosakkan oleh sesuatu yang haram sedang benda yang halal itu lebih mengatasi (benda haram), maka harus menjualnya.

Maka berdasarkan pendapat kedua-dua mazhab di atas iaitu mazhab asy-Syafi‘e dan Hanafi, cara membeli atau menjual baja (najis) ialah dengan pengguguran hak dan pengambilan ‘iwadh (ganti-gantian) di atas kerana pengguguran hak tersebut. Ini boleh dibuat jika baja (najis) itu dalam kuantiti yang kecil, akan tetapi jika baja (najis) itu dalam kuantiti yang besar lebih-lebih lagi terikat dengan prosedur-prosedur yang khas, maka sebagai irsyâd kita guna pakai pendapat dalam mazhab Hanafi.

3. Menggunakan Mesin Sebagai Penjual

Antara rukun jual beli itu ialah al-‘âqidân (dua orang yang berakad) iaitu penjual dan pembeli seperti yang diterangkan di atas.

Adapun syarat-syarat penjual itu hendaklah bâligh, berakal, boleh melihat, boleh mengendalikan harta iaitu bukannya anak kecil, orang bodoh, orang gila dan sebagainya kerana mereka ini bukannya ahli tasharruf (ahli yang boleh mengendalikan harta).

Manakala antara syarat pembeli pula, jika barang yang dijual itu mengandungi ayat-ayat al- Qur’an atau Mushhaf hendaklah pembeli itu beragama Islam kerana kalau barang-barang sedemikian dijual kepada orang-orang kafir, ditakuti mereka akan menghina agama Islam dan orang muslimin. (Majmû‘: 9/174)

Apabila wujud penjual dan pembeli dalam urusan jual beli, maka daripada merekalah shîghah îjâb (tawaran) dan qabûl (penerimaan) itu dilafazkan. Oleh yang demikian, di antara tujuan penjual dan pembeli itu diadakan ialah untuk melafazkan shîghah jual beli di antara keduanya.

Bai‘ al-Mu‘athah (Jual Beli Tanpa Lafaz Shîghah)

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, tidak sah jual beli kecuali ada lafaz shîghah îjâb dan qabûl di antara penjual dan pembeli. Berkata Ibnu Suraij, Imam al-Ghazali, al-Mutawalli, ar-Rafi‘e dan jumhûr ulama bahawa harus bai‘ al-mu‘athah (berjual beli secara mengunjuk tanpa lafaz shîghah îjâb dan qabûl) pada barang-barang jualan runcit iaitu mencukupi dengan hanya si pembeli mengunjuk harga (duit) dan si penjual mengunjuk barang jualan. Pendapat inilah yang dipilih sebagai fatwa oleh sekumpulan para ulama daripada mazhab asy-Syafi‘e dalam mengharuskan jual beli secara mengunjuk pada barang-barang jualan runcit, seperti sekilo gula, roti, sekeping coklat, setin minuman dan sebagainya kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menghalalkan jual beli dan tidak menetapkan lafaz sebagai syarat dalam akad jual beli dalam syara‘. (Al-Majmû‘: 9/190-191 )

Takrif Mesin

Menurut Collins Concise Dictionary, mesin ialah satu alat mekanikal atau elektrikal yang mampu menguruskan atau menjalankan sesuatu tugas secara automatik atau menolong untuk melaksanakan sesuatu tugasan. (Collins Concise Dictionary, New Revised Edition: 792)

Daripada pengertian itu, dapatlah difahami bahawa ia diaturkan secara automatik oleh pemiliknya untuk menolongnya menyempurnakan sesuatu tugas dengan menstruktur fungsi mesin tersebut seperti yang dikehendaki oleh si pemilik. Apabila mesin ini diaturkan untuk sesuatu tugas, maka pemiliknya hendaklah memastikan kelancaran dan kesempurnaan perjalanan mesin tersebut supaya boleh menghasilkan khidmat yang baik dan betul kepada para penggunanya.

Penciptaan mesin yang dijadikan sebagai penjual merupakan salah satu kemudahan dalam era moden masa kini bagi memenuhi kehendak atau keperluan manusia yang sentiasa mempunyai tujuan yang berbagai-bagai dan bermacam-macam tanpa mengira waktu dan tempat, sentiasa berhajat kepada sesuatu. Oleh yang demikian, berbagai-bagai alat dicipta bagi memudahkan lagi kehidupan manusia seperti mesin menjual tiket pengangkutan awam, mesin menjual minuman dan sebagainya.

Dalam keadaan mesin yang dijadikan sebagai penjual atau wakil penjual barang jualan, pada hakikatnya penjual barang tersebut memang wujud, tetapi hanya kedudukannya digantikan dengan mesin sebagai ash-shakhs al-i‘tibâriy iaitu sesuatu yang boleh dipertanggungjawabkan dalam menjalankan muamalat manusia. (Mu‘jam Lughah al- Fuqahâ’: 230)

Berdasarkan jual beli tanpa melafazkan shîghah jual beli pada barang-barang yang murah adalah harus, maka tidaklah kita nampak percanggahan penjual yang menggantikan dirinya dengan mesin yang mampu beroperasi sebagai penjual untuk menjual barang yang murah harganya seperti minuman tin, coklat dan sebagainya kerana bermuamalat dengan benda yang murah memadai dengan hanya mengunjuk atau memberikan barang jualan tersebut kepada pembeli dan menerima duitnya daripada pembeli tanpa melafazkan shîghah jual beli.

Merujuk pada sejarah penggunaan mesin jualan ini, ia telah lama digunakan dan diterima oleh orang ramai sebagai salah satu cara menjual barangan runcit. Penggunaannya juga sudah diketahui secara meluas dan telah menjadi adat kebiasaan orang ramai bila saja terjumpa mesin jualan ini, mereka faham bahawa ia adalah untuk urusan jual beli bukan untuk tujuan lain, umpamanya perhiasan dan sebagainya.

Sesuatu kebiasaan yang tidak bercanggah dengan hukum syara‘ ini harus dilakukan sepertimana yang diterangkan dalam kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Sesuatu adat (kebiasaan) dapat ditetapkan sebagai hukum.

Walau bagaimanapun dalam perkara ini, pihak penjual atau yang memiliki mesin berkenaan hendaklah sentiasa memastikan barang yang dijual itu dalam keadaan yang baik dan mesin yang digunakan pula boleh berfungsi dengan baik supaya tidak terjadi kerugian kepada para pembeli. Manakala bagi pihak pembeli pula, hendaklah peka terhadap keadaan mesin jualan dengan memastikan dan memahami terlebih dahulu tatacara operasinya supaya pembeli dapat menggunakan dengan betul dan dalam waktu yang sama kerosakan mesin tersebut yang disebabkan oleh kejahilan penggunanya dapat dielakkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10962