Beberapa Permasalahan Hukum Melakukan Aqiqah Dan Ibadat Korban
Soalan: Sepertimana yang difahami, ibadat aqiqah adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut) untuk dilaksanakan oleh ibu bapa yang baru menyambut kelahiran anak mereka.
Bagi anak lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula disunatkan menyembelih seekor kambing sahaja. Perbuatan sunat ini, mengikut pemahaman kaola hanya sunat dilakukan dalam lingkungan 3-7 hari usia anak yang baru dilahirkan itu, yang juga diselajurkan dengan perbuatan mencukur rambut serta memberikannya nama.
Apa yang menjadi masalah, bekalan kambing ini selalunya sukar didapati pada waktu ia diperlukan (dalam tempoh 3-7 hari setelah anak itu dilahirkan). Ini menyebabkan ada sesetengah ibu bapa tidak melunaskan tanggungjawab dalam melaksanakan aqiqah ini kerana ketiadaan sumber binatang aqiqah. Apakah hukum perbuatan ini?
Ada juga sesetengah ibu bapa turut serta dalam ibadat korban pada Hari Raya Korban bagi menggantikan ibadat aqiqah yang tertangguh. Pada kebiasaannya seekor kerbau dikongsi oleh tujuh bahagian. Ibu bapa yang mempunyai anak lelaki akan mengambil dua bahagian daripadanya, sementara bagi anak perempuan pula satu bahagian. Ada juga yang mengatakan cukup satu bahagian sahaja bagi anak lelaki mahupun anak perempuan. Apakah perbuatan ini dibolehkan dan dikira sah dari segi syara‘?
Ibadat aqiqah dan korban itu sudah setentunya mempunyai kelebihan masing-masing. Ibadat manakah yang lebih diutamakan? Ada orang yang mengatakan, kalau belum membuat aqiqah tidak boleh menyembelih korban. Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Hukum Aqiqah
Melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits Baginda:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya tentang aqiqah. Lalu Baginda bersabda: “Allah tidak menyukai kedurhakaan”, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Perkataan َُ نْهحح َعنْسُكحه َأحن َْيبحأحح (ingin menyembelihkan untuk anaknya) dalam hadits di atas menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan baharulah ia menjadi wajib dan dipanggil aqiqah wajib.
Dalam hadits yang lain, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Kanak-kanak itu tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Orang Yang Dituntut Melakukan Aqiqah
Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau ibunya (bagi anak yang tidak sah taraf) sekalipun mereka itu orang fakir.
Manakala orang lain selain bapa atau ibu anak tersebut, tidak boleh melakukan aqiqah kecuali dengan izin orang yang wajib memberinya nafkah (bapa atau ibunya).
Dalam perkara perbelanjaan untuk aqiqah, hendaklah diambil daripada harta bapa atau ibu itu sendiri dan tidak boleh diambil daripada harta anak tersebut. Ini kerana perbuatan aqiqah itu adalah merupakan tabarru‘ semata-mata iaitu membelanjakan harta tanpa sebarang pulangan. Menurut ketentuan hukum syara‘ dilarang bertabrru‘ dengan harta anak. Jika perbelanjaan untuk aqiqah itu diambil daripada harta anak tersebut, maka bapa atau ibu anak tersebut wajib menggantinya. (Kitab al-Majmû‘: 8/324, Mughnî al-Muhtâj: 6/138-139)
Waktu Aqiqah
Waktu disunatkan melakukan aqiqah itu bermula dari anak itu dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu bâligh menurut pendapat yang paling râjih. Apabila anak itu telah mencapai umur bâligh, maka gugurlah hukum sunat melakukan aqiqah itu daripada walinya, dan berpindah pula kepada anak itu sendiri iaitu dengan melakukan aqiqah itu untuk dirinya sendiri.
Waktu yang lebih afdhal untuk melakukan aqiqah itu pula ialah pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Disebutkan dalam sebuah hadits riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan rambut daripada kepala keduanya (mencukurnya). (Hadits riwayat al-Hakim)
Termasuk dalam kiraan tujuh hari ituََ ialah hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Tetapi jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).
Jika tidak sempat melakukan aqiqah pada hari ketujuh, maka digalakkan juga melakukan aqiqah itu pada hari keempat belas daripada hari kelahiran. Jika tidak sempat melakukannya juga, maka lakukanlah pada hari ke-21. Begitulah seterusnya, boleh dilakukan setiap kali berlalunya tujuh hari yang berikutnya, seperti pada hari ke-28, ke-35 dan seterusnya. (Kitab al-Majmû‘: 8/323-324, Mughnî al-Muhtâj: 6/140)
Dalam kitab Kifâyah al-Akhyâr ada menyebutkan pendapat yang terpilih menurut ar-Rafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, bahawa masa untuk menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang melahirkannya. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua tahun dari hari kelahiran). Jika tidak dilakukannya juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukannya juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun, bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur bâligh. Jika anak itu mencapai umur bâligh, maka gugurlah tuntutan melakukan aqiqah daripada orang yang berkewajipan memberinya nafkah dan terserah kepada anak tersebut untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri. (Kifâyah al-Akhyâr: 534)
Berdasarkan penjelasan di atas, ibu bapa yang menghadapi kesukaran dalam mendapatkan binatang aqiqah dalam jangka waktu tujuh hari selepas kelahiran anak mereka, masih berpeluang melakukan ibadat aqiqah untuk anak mereka itu kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi sebelum anak tersebut mencapai umur bâligh.
Bilangan Binatang Aqiqah Bagi seorang anak lelaki yang afdhalnya ialah menyembelih dua ekor kambing yang sama besarnya, manakala bagi seorang anak perempuan, memadai dengan menyembelih seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan sebuah hadits daripada Ummu Kurz al-Ka‘biyyah katanya:
Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Anak lelaki (diaqiqahkan) dengan dua ekor kambing yang sama keadaannya dan anak perempuan (diaqiqahkan) dengan seekor kambing.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Sekiranya ibu bapa itu memiliki harta yang banyak, maka adalah lebih afdhal melakukan aqiqah untuk seorang anak dengan menyembelih tujuh ekor kambing, atau dengan menyembelih seekor unta, lembu atau kerbau. (Kitab al-Majmû‘: 8/290 & 321)
Jika ibu bapa itu tidak berkemampuan untuk melakukan aqiqah bagi anak lelakinya dengan menyembelih dua ekor kambing, maka memadailah dengan menyembelih seekor kambing atau satu pertujuh (satu bahagian) daripada seekor unta, lembu atau kerbau. (Mughnî al- Muhtâj: 6/139)
Sebaliknya jika seseorang itu melakukan aqiqah dengan menyembelih seekor kambing atau dengan satu pertujuh daripada seekor lembu atau kerbau bagi dua orang anak, maka aqiqah tersebut tidak sah. Ini kerana seekor kambing atau satu pertujuh daripada seekor lembu atau kerbau hanya sah untuk seorang sahaja, melainkan binatang yang disembelih itu seekor lembu atau kerbau kerana ia boleh dikongsikan bersama kepada tujuh bahagian dan tidak boleh lebih daripada itu. Sebagai contoh, seekor unta, kerbau atau lembu boleh dikongsikan bagi tujuh orang kanak-kanak, dan tidak boleh melebihi daripada itu. (Kitab al-Majmû‘: 8/291, Mughnî al-Muhtâj: 6/139)
Binatang Korban Dikongsi Bersama Untuk Tujuan Aqiqah Dan Selainnya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan dalam kitabnya al-Majmû‘:
Ertinya: Memadai seekor unta (dikongsi) untuk tujuh orang, dan demikian juga lembu, sama ada mereka itu daripada sebuah keluarga ataupun daripada beberapa keluarga. Sama ada mereka itu bertujuan untuk taqarrub (amal untuk mendekatkan diri kepada Allah, seperti korban, aqiqah dan lain-lain) dengan maksud yang sama ataupun berbeza, sama ada wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hanya mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di tanah haram sebagai dam haji atau umrah). (Kitab al-Majmû‘: 8/291)
Maka daripada nash di atas, dapat difahami bahawa seekor unta, kerbau atau lembu boleh dikongsikan, sama ada kesemua dagingnya itu khusus untuk aqiqah ataupun sebahagian dagingnya untuk aqiqah dan sebahagian yang lain untuk daging korban ataupun untuk daging biasa sahaja. Asalkan pembahagian bagi seekor unta, kerbau atau lembu itu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.
Daging Aqiqah
Daging aqiqah sunat disedekahkan dalam keadaannya yang telah dimasak dengan sedikit rasa manis, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam suka pada yang manis. Selain itu, tujuannya ialah untuk bertafâ’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.
Walau bagaimanapun tidaklah mengapa jika daging aqiqah itu dimasak dengan tidak ada rasa manis.
Daging aqiqah yang telah dimasak itu sunat diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah mereka atau dengan menjemput mereka hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Tetapi yang lebih afdhal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin. (Kitab al-Majmû‘: 8/322, Mughnî al-Muhtâj: 6/140)
Manakala pangkal peha kambing sebelah kanan, sunat disedekahkan kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut dalam keadaan mentah. Ini berdasarkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh puteri Baginda, Sayyidatina Fatimah Radhiallâhu ‘anhâ untuk berbuat demikian. (Kitab al-Majmû‘: 8/322, Mughnî al-Muhtâj: 6/140)
Disunatkan juga menghadiahkan daging aqiqah tersebut kepada orang kaya dan apa yang dihadiahkan kepadanya akan menjadi hak miliknya. Dengan maksud memiliki itu, orang kaya tersebut boleh memakan atau menjualnya. Akan tetapi daging aqiqah haram diberi atau dijual kepada orang kafir.
Begitu juga, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging aqiqah tersebut, selama mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat. (Kitab al-Majmû‘: 8/322)
Ketika memotong daging aqiqah, sunat jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah tersebut, bahkan sunat tulang-tulangnya itu diasingkan mengikut sendi-sendinya. Ini bertujuan bertafâ’ul (menaruh harapan baik) terhadap keselamatan anggota tubuh badan anak itu sebagaimana tidak pecah atau tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu. Tetapi jika sekiranya ia dipecah-pecahkan, tidaklah ia menjadi makruh, akan tetapi hanya menyalahi perbuatan yang lebih utama. (Kitab al-Majmû‘: 8/322, Mughnî al-Muhtâj: 6/140)
Aqiqah Nazar
Aqiqah nazar itu sama keadaannya dengan korban nazar, iaitu binatang sembelihan bagi aqiqah itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, maka ia wajib dilaksanakan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam perkara menyedekahkan daging aqiqah wajib yang disebabkan oleh nazar atau ta‘yîn, terdapat dua pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘e, iaitu:
1. Wajib semua daging (aqiqah wajib) itu disedekahkan dalam keadaan mentah. Inilah pendapat Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ. (Tuhfah al-Muhtâj: 4/266, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/372)
2. Tidak wajib disedekahkan semua daging tersebut dalam keadaan mentah, bahkan sunat ia dimasak. Inilah pendapat Imam al-Khathib asy-Syarbini dan ar-Ramli. (Mughnî al-Muhtâj: 6/140, Nihâyah al-Muhtâj: 8/146-147)
Perbezaan Antara Aqiqah Dan Korban
Kebanyakan hukum ibadat aqiqah dan korban itu mempunyai persamaan, umpamanya dalam perkara memakan, menyedekahkan dan menghadiahkannya. Begitu juga dari segi jenis binatang, syarat-syaratnya serta pemilihannya, kedua-duanya adalah sama.
Cuma terdapat beberapa perbezaan hukum antara aqiqah dan korban. Sebagai contoh, daging aqiqah sunat dimasak terlebih dahulu sementara daging kordan diberikan dalam keadaan mentah.
Daging aqiqah, jika diberikan kepada orang kaya, maka daging tersebut akan menjadi miliknya, dan dia boleh memakannya atau menjualnya. Manakala daging korban jika diberikan kepada orang kaya, tidaklah orang kaya itu memilikinya, tetapi hanya untuk dimakannya sahaja.
Begitu juga dari segi waktu, ibadat korban itu hanya dituntut melakukannya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq (11 hingga 13 Zulhijjah), sementara ibadat aqiqah tidak terikat dengan waktu.
Ibadat Aqiqah Dan Korban: Yang Mana Lebih Utama?
Ibadat aqiqah itu sangat dituntut dalam Islam. Ia dituntut ke atas ibu bapa anak yang baru lahir atau walinya sehinggalah dia mencapai umur bâligh sebagai tanda bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana dikurniakan cahaya mata. Apabila dia telah bâligh, maka beralihlah tuntutan sunat itu kepada anak tersebut.
Begitu juga ibadat korban, ia merupakan ibadat yang sangat dituntut dalam Islam. Ibadat korban itu dituntut ke atas setiap orang yang beragama Islam, merdeka, bâligh, berakal dan berkemampuan untuk melakukannya. Ia juga mempunyai fadhilat dan hikmah yang cukup besar bagi umat Islam. Ia lebih afdhal berbanding sedekah, sebagaimana yang dijelaskan oleh Zain ad-Din bin Abd al-Aziz al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ, katanya:
Ertinya: Dan ia (iaitu korban) adalah lebih afdhal daripada sedekah (sedekah yang sunat). (I‘ânah at-Thâlibîn: 2/519)
Maka adalah makruh meninggalkan ibadat korban bagi orang yang mampu melaksanakannya, akan tetapi jika dia meninggalkannya tanpa sebab atau keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib mengqadhanya. Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Aku tidak memberi kelonggaran dalam meninggalkannya (ibadat korban) bagi sesiapa yang mampu melakukannya.
Maksudnya ialah jika orang yang berkemampuan itu meninggalkan ibadat korban tanpa sebarang keuzuran, hukumnya adalah makruh.
Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj ada disebutkan, Ibnu Suraqah Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan:
“Penyembelihan yang disunatkan bagi tujuan ibadat yang lebih utama ialah al-hadâya (iaitu korban bagi orang haji dan umrah), kemudian ibadat korban, ibadat aqiqah…(Mughnî al- Muhtâj: 6/143)
Berdasarkan kenyataan ini bermakna al-hadâya (korban orang haji dan umrah) itu adalah lebih diutamakan. Manakala bagi orang yang tidak mengerjakan haji atau umrah, ibadat korban itu lebih utama daripada aqiqah apabila telah tiba waktu untuk melaksanakannya, terutamanya bagi orang yang berkemampuan.
Lebih-lebih lagi masa bagi menunaikan ibadat korban itu terhad dan hanya datang setahun sekali, iaitu pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq sahaja. Maka apabila telah tiba masa untuk berkorban adalah lebih baik didahulukannya, kerana ditakuti kita tidak akan mempunyai kesempatan lain untuk melakukannya.
Berlainan dengan aqiqah yang masa untuk melaksanakannya tidak terbatas dan boleh dilakukan pada bila-bila masa, sama ada sebelum ibadat korban atau selepasnya.
Perlu diketahui, bahawa Islam tidak mensyaratkan umatnya untuk melakukan aqiqah terlebih dahulu sebelum melaksanakan ibadat korban ataupun sebaliknya.
Maka orang yang belum melaksanakan aqiqah adalah dibolehkan untuk melakukan ibadat korban dan sah korbannya itu selagi ia menepati syarat-syarat sah ibadat korban. Begitu juga orang yang belum melakukan ibadat korban, dia tetap dibolehkan melakukan aqiqah kerana Islam tidak mensyaratkan seseorang itu perlu melaksanakan aqiqah terlebih dahulu sebelum melakukan korban dan begitu juga sebaliknya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10966
