Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Berdo‘a Dengan Suara Yang Nyaring

Soalan: Bolehkah berdo‘a dengan suara yang nyaring selepas sembahyang (sama ada sembahyang seorang diri mahupun jemaah)?

Jawapan: Semua ibadat dalam Islam mempunyai adab-adabnya, demikian juga ketika berdo‘a. Antara adab-adabnya itu ialah merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Berdo‘alah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. (Surah al-A‘râf: 55)

Perkara ini juga ditekankan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Wahai Manusia! Berlembutlah kamu terhadap diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdo‘a kepada yang tuli dan tidak juga yang ghaib (tidak bersama kamu), sesungguhnya Dia bersama kamu. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat, Maha Berkat namaNya dan Maha Tinggi kebesaranNya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksud Isrâr (Perlahan) Dan Jahr (Nyaring)

Isrâr dalam bacaan sembahyang dan zikir menurut istilah fiqh ialah memperlahankan suara yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri (seperti orang yang berbisik) tanpa didengar oleh orang lain, dan sekurang-kurang isrâr ialah bunyi yang keluar dari pergerakan lidah.

Jahr pula dari segi bahasa ialah menampakkan sesuatu dan ketinggiannya. Menurut istilah pula bererti menampakkan sesuatu atau memperlihatkannya seperti meninggikan suara dengan nyaring ketika sembahyang sehingga dapat didengar oleh orang lain.

Pendapat Ulama Tentang Berdo‘a Dengan Isrâr Dan Jahr

Persoalan yang hendak dijawab, bolehkah berdo‘a dengan suara yang nyaring selepas sembahyang?

Berkata Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în:

Ertinya: Sunat berzikir dan berdo‘a (setelah selesai sembahyang) dengan suara perlahan (isrâr) bagi munfarid (orang yang mengerjakan sembahyang seorang diri), makmum dan (bagi) imam yang tidak bermaksud mengajar para hadirin (jema‘ah) dan tidak bermaksud supaya para hadirin (jema‘ah) mengaminkan do‘anya (imam) ketika mendengar do‘anya itu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/405-406)

Menurutnya lagi, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Adapun berlebih-lebihan pada mengangkat suara di dalam masjid ketika membaca zikir dan do‘a sekira-kira mengganggu orang yang sedang mengerjakan sembahyang, maka sayugia dihukumkan haram. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/408)

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh lagi mengenai dengan hukum mengangkat suara di dalam masjid, katanya:

Ertinya: Janganlah orang yang sembahyang dan selainnya (seperti orang membaca al- Qur’an, pendakwah dan guru mengajar) mengangkat suara. Jika dia (membaca dengan suara yang nyaring) mengganggu terhadap seumpama orang tidur atau orang lain yang sembahyang, maka hukumnya adalah makruh sebagaimana yang tersebut dalam kitab al- Majmû‘. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/196, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/340-341)

Syeikh Khathib asy-Syarbini pula berkata bahawa sunat isrâr ketika berzikir dan berdo‘a kecuali bagi imam yang bertujuan untuk membimbing makmum, maka bolehlah dijahrkan kedua-duanya (zikir dan do‘a itu). (Mughnî al-Muhtâj: 1/393)

Oleh yang demikian, bagi orang yang sembahyang seorang diri adalah lebih baik berdo‘a dengan suara yang perlahan sekadar hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Manakala dalam sembahyang berjemaah pula adalah sunat bagi imam membaca do‘a dengan suara yang sekira-kira boleh didengar oleh jemaahnya jika dia bertujuan untuk mengajar mereka (jemaah) atau untuk sama-sama mengaminkan do‘a yang dibacanya (imam).

Adapun berdo‘a dan berzikir dengan suara yang nyaring dan berlebihan yang boleh mengganggu orang lain dalam masjid adalah haram sebagaimana kata Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, kerana suara nyaringnya itu menyebabkan orang terganggu seperti hilang konsentrasi dan khusyû‘ orang lain yang sedang beribadat, misalnya sembahyang, membaca al-Qur’an, berzikir, berwirid dan seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10974