Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Berjabat Tangan Dengan Perempuan Ajnabiyyah

Soalan: Apakah hukum lelaki berjabat tangan dengan seorang perempuan yang berpangkat dalam kerajaan di satu majlis makan malam dan dialah yang terlebih dahulu menghulurkan tangan?

Jawapan: Bersalaman atau berjabat tangan adalah amalan yang dianggap sebagai adat kebiasaan dan sebagai akhlak yang baik dan beradab sopan. Disebabkan oleh anggapan ini, maka ramai yang mengamalkannya sebagai suatu budaya. Bahkan mencium tangan orang yang lebih tua dan juga orang yang berkedudukan atau berpangkat dianggap sebagai salah satu cara menjalin atau mengeratkan lagi silaturahim dan kemesraan atau cara untuk menunjukkan rasa hormat dan taat setia. Bahkan mencium tangan seseorang tertentu kadangkala diniatkan untuk memperolehi berkat. Tetapi sejauh manakah sebenarnya pengetahuan masyarakat tentang hukum berjabat tangan ini? Adakah mereka menganggap berjabat tangan itu sebagai salah satu daripada ajaran agama atau hanya merupakan adat resam semata-mata?

Hukum Berjabat Tangan (مصافحة) Hukum berjabat tangan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut pelakunya: 1. Berjabat tangan sesama jenis (jantina); lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. 2. Lelaki berjabat tangan dengan perempuan asing (ajnabiyyah) atau sebaliknya. 3. Lelaki atau perempuan berjabat tangan dengan mahramnya. i. Berjabat tangan sesama jenis. Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukum berjabat tangan antara lelaki dengan lelaki atau antara perempuan dengan perempuan adalah sunat. Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pernah mengatakan bahawa berjabat tangan itu disunatkan dalam setiap pertemuan. Ini berdasarkan kepada hadits:

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata: “Seorang lelaki telah bertanya (kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam): “Wahai Rasulullah! Salah seorang daripada kami bertemu dengan sahabatnya, apakah dia patut menundukkan kepala kepada sahabatnya itu?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak”. Dia bertanya lagi: “Apakah memeluk dan menciumnya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak”. Dia bertanya: “Apakah bersalaman (berjabat tangan) dengannya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya! kalau dia menghendakinya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

ii. Berjabat tangan di antara lelaki dengan perempuan ajnabiyyah.

Adapun maksud daripada perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, yang haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya. Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hukum berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah adalah haram, berdasarkan kepada dalil-dalil syara‘, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ dia berkata: “Dan tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki iaitu perempuan yang telah Baginda nikahi.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Kemudian hadits yang diriwayatkan oleh Malik, an-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad iaitu:

Maksudnya: Daripada Muhammad bin al-Munkadir, daripada Umaimah binti Ruqaiqah, dia berkata: “Saya datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersama-sama sekumpulan perempuan dan mengadakan bai‘ah (pengakuan taat setia) dengan Baginda. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berbai‘ah kepada Tuan hamba untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kami, kami tidak akan melakukan perkara dusta yang kami ada-adakan dengan sengaja (daripada kemahuan hati kami) antara tangan-tangan kami dan kaki-kaki kami (terutamanya berhubung dengan anak yang ada dalam kandungan kami) dan tidak ingkar kepada Tuan hamba dalam kebaikan”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada perkara yang kamu sekalian boleh dan mampu melaksanakannya”. Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih menyayangi kami daripada diri kami sendiri. Biarlah kami berbai‘ah kepada Tuan hamba wahai Rasulullah”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tidak berjabat tangan dengan perempuan-perempuan. Sesungguhnya perkataanku untuk seratus orang perempuan adalah sama dengan perkataanku untuk seorang perempuan.” (Hadits riwayat Malik, an-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad)

Daripada hadits-hadits yang telah disebutkan di atas, jelaslah bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isteri Baginda, dan Baginda juga tidak berjabat tangan dengan perempuan-perempuan pada waktu menerima bai‘ah (pengakuan taat setia) daripada mereka, bahkan penerimaan bai‘ah itu hanya dilakukan dengan kata-kata sahaja.

Apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah walaupun pada saat-saat yang penting begini iaitu pada waktu melaksanakan bai‘ah, maka ertinya ia adalah lebih-lebih lagi dilarang (haram) dalam keadaan atau perjumpaan biasa.

Menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh, bukan hanya berdosa, bahkan digambarkan betapa dahsyatnya azab dan seksa akibat perbuatan itu sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dicucuk kepala seorang kamu dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.” (Hadits riwayat ath-Thabarani dan al-Baihaqi)

Selain itu para ulama telah banyak menghuraikan dalam kitab-kitab mereka bahawa menyentuh perempuan ajnabiyyah itu adalah haram.

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyatakan:

Ertinya: Haram seorang lelaki yang bâligh melihat aurat perempuan ajnabiyyah yang merdeka dan dewasa, begitu juga (haram melihat) wajahnya dan kedua tapak tangannya ketika ditakuti (berlaku) fitnah, dan begitu juga ketika aman (daripada fitnah) menurut pendapat yang shahîh.”

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata lagi:

Ertinya: Dan apabila haram melihat, maka haram juga menyentuh.

Begitu juga dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn, beliau juga menyebut perkara yang sama:

Ertinya: Apabila diharamkan pandangan, maka diharamkan sentuhan adalah lebih utama, kerana sentuhan itu lebih terasa kelazatan atau keseronokan(nya). (Minhâj ath- Thâlibîn: 2/413-417, Raudhah ath-Thâlibîn: 6/19-21)

Kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib menyatakan:

Ertinya: Apabila haram melihat (aurat perempuan), maka haram menyentuh(nya), kerana sentuhan itu lebih memberi kesan daripada pandangan pada kelazatan dan lebih memberi kesan kepada syahwat. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/483)

Bahkan haram menyentuh wajah perempuan ajnabiyyah walaupun bahagian tersebut dibolehkan untuk dilihat misalnya ketika hendak mengikat tali pertunangan dengannya atau ketika meminta kesaksian atau ketika mengajarnya. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/484)

Berlainan pula jika sekiranya berjabat tangan itu dilakukan dengan berlapik, sebagaimana yang difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, mengenai perkara ini:

“Adalah sunat berjabat tangan di antara dua orang laki-laki (sesama lelaki) dan di antara dua orang perempuan (sesama perempuan). Tetapi haram laki-laki asing menyentuh dan berjabat tangan dengan perempuan dengan tiada berlapik. Kecuali menyentuh itu ketika mengubat, itupun sekadar hajat dan sekadar yang mustahak sahaja.”

iii. Berjabat tangan dengan mahram.

Hukum berjabat tangan di antara lelaki dengan mahramnya atau di antara seorang perempuan dengan mahramnya adalah sama dengan hukum berjabat tangan di antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain atau di antara seorang perempuan dengan perempuan yang lain iaitu sunat.

Mahram ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Dalam pada itu, perlu pula difahami, bahawa adik atau kakak ipar walaupun tidak boleh dinikahi selagi kita masih beristerikan adik atau kakaknya, adalah tidak termasuk di dalam maksud mahram yang kita bincangkan di sini, kerana ipar hanyalah merupakan mahram mu’aqqat (sementara) sahaja. Maka dengan itu, haram bagi seseorang lelaki berjabat tangan dengan adik atau kakak iparnya.

Hakikatnya “kebiasaan” berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan ajnabiyyah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharuskannya, kerana kebiasaan itu bukanlah hujjah atau landasan untuk mengubah hukum (haram) yang telah ditetapkan oleh syara‘. Sekalipun tujuannya untuk merapatkan hubungan baik atau silaturahim ataupun untuk menjaga hati orang lain kerana takut melukakan hati orang yang menghulurkan tangan untuk berjabat tangan.

Oleh kerana itu, kita perlu berhati-hati dengan siapa kita boleh berjabat tangan dan dengan siapa kita dilarang untuk berjabat tangan, berdasarkan dalil-dalil yang jelas, bahawa berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah itu adalah haram dan berdosa, tidak kira siapa jua yang menghulurkan tangan terlebih dahulu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10978