Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Berubat Dengan Benda Najis Untuk Mempercepatkan Kesembuhan

Soalan: Apakah hukum menggunakan ubat yang mengandungi bahan najis dengan kesan penyembuhan yang cepat sedangkan ada cara lain untuk penyembuhan tetapi mengambil masa yang lama?

Jawapan: Berubat adalah suatu perkara yang diharuskan dan digalakkan dalam Islam sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika ditanya mengenai berubat. Baginda menjawab:

Maksudnya: Berubatlah kamu, kerana Allah Ta‘ala tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, kecuali satu penyakit, iaitu tua. (Hadits riwayat Abu Daud)

Di dalam hadits yang lain, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lagi:

Maksudnya: Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit kecuali Dia (Allah) menurunkan baginya ubat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berubat Dengan Najis Atau Benda Yang Diharamkan

Sekalipun berubat itu diharuskan namun berubat dengan benda yang haram adalah dilarang sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang daripada (berubat dengan) ubat yang kotor. (Hadits riwayat Abu Daud)

Kedua-kedua hadits di atas melarang daripada menggunakan benda-benda najis dan haram bagi tujuan perubatan. Walau bagaimanapun Imam an-Nawawi Rahimahullâh berpendapat bahawa larangan berubat dengan benda najis atau jijik dalam hadits-hadits tersebut ialah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci. (Al-Majmû‘: 9/58)

Imam al-Baihaqi Rahimahullâh pula berkata bahawa tegahan yang terkandung di dalam kedua-dua hadits itu adalah tegahan daripada berubat dengan benda yang memabukkan dan berubat dengan benda-benda yang haram bukan dalam keadaan dharurat. (Al-Majmû‘: 9/58, ‘Aun al-Ma‘bûd: 10/281)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh pernah ditanya mengenai berubat dengan kuku dan tulang bangkai, maka beliau menjawab: “Harus berubat dengan kuku dan tulang bangkai dan lain-lain benda yang najis, sama ada benda itu semata-mata (tanpa dicampur dengan bahan-bahan yang lain) atau benda-benda najis itu dicampur dengan bahan-bahan yang lain, melainkan arak. Maka tidaklah harus (haram) berubat dengan arak semata-mata, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dengan bahan yang lain.” (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/28)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ bahawa berubat dengan najis selain daripada arak, hukumnya adalah harus, (keharusan berubat dengan najis ini) adalah sama sahaja bagi kesemua jenis najis kecuali yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab Syafi‘e yang telah ditetapkan oleh jumhûr ulama.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh lagi, para ulama Syafi‘iyyah berpendapat bahawa harus berubat dengan najis apabila tidak didapati ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika didapati ubat yang suci, maka haram berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh para ulama. (Al-Majmû‘: 9/54-55)

Daripada keterangan yang telah disebutkan di atas, hukum asal berubat dengan benda-benda najis itu adalah dilarang sekalipun bukan dengan arak semata-mata. Namun ia diharuskan jika tidak ada ubat lain yang suci sebagai pilihan kerana dharurat.

Berubat Dengan Najis Untuk Mempercepatkan Kesembuhan

Berkata Imam asy-Syafi‘ie Rahimahullâh: “Sesungguhnya telah dikatakan bahawa bentuk kedua daripada keadaan dharurat itu ialah seseorang yang menghidap suatu penyakit dan diberitahu kepadanya oleh seorang yang pakar mengenai penyakit itu atau dia sendiri yang mempunyai pengetahuan dengan penyakit itu bahawa jarang sekali atau sedikit sekali penghidap penyakit seperti ini akan sembuh kecuali dia makan ini atau minum ini, atau diberitahu kepadanya (orang yang sakit itu): “Bahawa perkara yang boleh mempercepatkan lagi kesembuhanmu ialah dengan memakan atau meminum ini,” maka bolehlah dia makan dan meminumnya, selagi ia bukan arak yang memabukkan atau sesuatu yang boleh menghilangkan akal daripada benda-benda yang diharamkan atau yang tidak diharamkan kerana sesungguhnya perbuatan menghilangkan akal itu adalah perbuatan yang diharamkan.” (Al-Umm: 1/277)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa para ulama Syafi‘iyyah berkata: “Harus berubat dengan najis itu jika tidak ada benda yang suci yang dapat menggantikannya, jika terdapat (benda yang suci), maka haram berubat dengan najis tanpa perselisihan ulama. Pengharaman ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang (Allah) haramkan ke atas kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pengharaman berubat dengan benda-benda yang diharamkan itu ialah jika masih terdapat ubat yang suci selain najis dan tidak pula haram jika sebaliknya. Para ulama Syafi‘iyyah berkata: “Harus berubat dengan najis itu jika orang yang berubat mengetahui sendiri (seorang yang arif dalam bidang perubatan) atau diberitahu oleh orang yang ahli dalam perubatan (doktor) Muslim yang ‘âdil (tidak fâsiq) bahawa tidak ada ganti ubat berkenaan selain daripada najis atau memadai diberitakan yang demikian itu oleh seorang doktor yang ‘âdil. Jika seorang doktor berkata: “Awak akan cepat sembuh dengannya (benda yang haram) itu, dan awak akan lambat sembuh jika awak meninggalkannya.” Maka dalam keharusan menggunakannya ada dua pendapat, yang diceritakan kedua-duanya oleh al-Baghawi Rahimahullâh, dan beliau tidak mengatakan yang mana lebih kuat salah satu daripada kedua-dua pendapat itu. Pendapat berkenaan diqiyâskan kepada tayammum iaitu pendapat yang ashah dalam masalah itu adalah harus.” (Al-Majmû‘ syarh al-Muhadzzab li asy-Syirazi: 9/55)

Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh bahawa keharusan berubat dengan arak itu hanyalah apabila ia dicampur dengan benda yang lain dan tidak ada ubat yang dapat menggantikannya daripada benda-benda yang suci, seperti juga berubat dengan najis seperti daging ular dan air kencing. Walaupun berubat dengan semua itu hanya untuk menyembuhkan penyakit dengan cepat tetapi dengan syarat hendaklah menurut pandangan seorang ahli perubatan Muslim yang ‘âdil atau dengan pengetahuannya sendiri yang ia boleh dibuat ubat. (Mughni al-Muhtâj: 5/518)

Jadi, walaupun berubat dengan najis itu adalah dilarang oleh syara‘, namun ia diharuskan jika dalam keadaan dharurat. Ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Hajat (keperluan) boleh turun menempati hukum dharurat sama ada hajat (keperluan) itu bersifat umum atau khusus.

Keharusan ini juga hendaklah dengan syarat tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya mengikut pengesahan doktor yang ‘âdil (tidak fâsiq) atau orang yang berubat itu sendiri seorang yang arif dalam perubatan akan keberkesanan ubat yang najis itu.

Walau bagaimanapun, keharusan berubat dengan benda-benda yang haram atau najis itu hanyalah pada kadar keperluan sahaja bukan melebihi kadar yang diperlukan atas dasar dharurat bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Apa yang diharuskan kerana dharurat hendaklah menurut kadarnya yang minimum.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa berubat untuk menyembuhkan penyakit itu adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Ubat-ubatan yang digunakan hendaklah daripada benda-benda yang halal dan suci. Di samping itu, diharuskan juga berubat dengan benda-benda yang najis selain sesuatu yang memabukkan jika tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya.

Berkenaan dengan pertanyaan di atas, mengenai dengan penggunaan ubat yang mengandungi bahan najis dalam keadaan masih ada ubat yang suci adalah diharamkan walaupun memberi kesan pada mempercepatkan kesembuhan. Apalagi jika menurut doktor pakar bahawa penyakit seseorang itu masih boleh diubat dengan ubat yang suci.

Tetapi sekiranya doktor telahpun memutuskan bahawa pesakit berkenaan mesti memakan ubat yang bercampur najis itu kerana jika tidak berbuat demikian akan menimbulkan kemudharatan yang lebih besar kepada pesakit, maka ketika itu diharuskan baginya menggunakan atau memakan ubat yang mengandungi bahan najis itu sekalipun masih ada ubat yang suci kerana ubat yang suci itu tidak lagi berkesan dan bermanfaat untuk mengubat penyakitnya lagi.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10983