Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Cara Menentukan Tempoh Haidh Yang Bersambung Dengan Istihâdhah

Soalan: Saya mempunyai masalah mengenai dengan tempoh haidh yang menyebabkan saya merasa waswas dalam ibadat sembahyang. Saya telah memakai alat Y.C.D, iaitu sejenis alat untuk mencegah kehamilan selama dua tahun lebih. Setelah itu saya amat kecewa kerana mengalami darah haidh yang keluar sedikit demi sedikit. Jadi masalah saya, saya langsung tidak tahu bila haidh saya bermula dan berakhir. Bagaimanakah cara untuk mengira atau menentukan hari pertama dan berakhirnya haidh saya?

Jawapan: Pengertian Haidh

Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Radhiallâhu ‘anhu, haidh ialah darah semulajadi yang selamat, keluar mengalir dari rahim seorang perempuan setelah bâligh yang dalam keadaan sihat tanpa sebab dan ia keluar pada waktu yang tertentu. (Mughnî al- Muhtâj: 1/152)

Tempoh minimum keluar darah haidh ialah tidak kurang dari satu hari satu malam, manakala tempoh maksimumnya ialah 15 hari. Walau bagaimanapun, tempoh keluar darah haidh pada kebiasaannya pula ialah selama enam ke tujuh hari. (Hâsyiyatâ Qalyubi wa ‘Umairah: 1/113)

Tempoh di antara dua haidh pula ialah tidak kurang daripada 15 hari. Itulah yang dinamakan hari-hari bersih (suci) di antara dua haidh. Misalnya, jika dia haidh selama tujuh hari dalam sebulan, maka baki dua 23 itu adalah hari bersihnya. Perempuan haidh ditegah daripada melakukan lapan perkara, iaitu sembahyang, puasa, thawaf di Baitullah, membaca al-Qur’an, menyentuh dan membawa al-Qur’an, masuk masjid, melakukan jimâ‘ dan istimtâ‘ (berseronok-seronok) antara pusat dan lutut.

Pengertian Istihâdhah

Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Radhiallâhu ‘anhu, istihâdhah ialah darah penyakit yang keluar mengalir dari pangkal rahim perempuan kerana ada sebab, sama ada keluarnya itu bersambung dengan haidh atau sebaliknya. (Mughnî al-Muhtâj: 1/52)

Perbezaan Haidh Dan Istihâdhah Pada lazimnya, darah haidh boleh dibezakan daripada darah istihâdhah khususnya dari segi warna, sifat dan baunya.

Darah haidh berwarna merah kehitam-hitaman atau merah kuat, sangat panas bila keluar, terasa sakit serta berbau busuk. Perempuan yang sedang dalam haidh juga diiringi kesakitan dan keletihan.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memberi penjelasan mengenai warna darah haidh di dalam hadits Baginda yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud:

Maksudnya: Jika ia darah haidh, maka ia berwarna hitam seperti yang diketahui oleh kaum wanita. Jika darah itu ternyata demikian, maka tinggalkanlah sembahyang. Jika darah itu darah lain (tidak terdapat ciri-ciri itu), maka hendaklah kamu mengambil wudhu dan bersembahyang, kerana itu adalah ‘irq (darah penyakit).

Daripada penjelasan di atas bolehlah diketahui bahawa darah istihâdhah itu keluar dalam keadaan seperti di bawah ini:

i. Darah yang keluar atau mengalir dari seorang kanak-kanak perempuan yang berumur kurang daripada sembilan tahun qamariyah (kiraan tahun Hijrah) atau dari seorang perempuan yang melebihi umur kebiasaan wanita putus haidh (menopause).

ii. Darah yang keluar kurang daripada tempoh minimum haidh iaitu satu hari satu malam.

iii. Darah yang keluar melebihi had maksimum haidh iaitu 15 hari.

iv. Darah yang keluar kurang daripada tempoh minimum waktu suci.

v. Darah yang berterusan keluar setelah berlalu tempoh maksimum darah nifas iaitu 60 hari.

Pembahagian Mustahâdhah (Perempuan Yang Berisithâdhah) Mustahâdhah terbahagi kepada lima kumpulan. Iaitu:

1. Mubtada’ah mumayyizah َ(مبتدأةَِميزة) 2. Mubtada’ah ghair mumayyizah ََ(مبتدأةَغْيَِميزة) 3. Mu‘tâdah mumayyizah ََ(معتادةَِميزة) 4. Mu‘tâdah ghair mumayyizah (معتادةَغْيَِميزة) 5. Al-Mutahayyirah (املتحْية): i. Al-Mutahayyirah al-muthlaqah ََ(املتحْيةَاملطلقة)

ii. Al-Mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya tetapi lupa tempohnya. iii. Al-Mutahayyirah yang lupa tarikh haidhnya tetapi ingat tempohnya

Huraian kumpulan-kumpulan tersebut adalah seperti berikut:

1) Mubtada’ah Mumayyizah (مبتدأةَِميزة ).ََ

Mubtada’ah mumayyizah ialah perempuan yang baru pertama kali datang haidh yang mana darahnya keluar melewati tempoh maksimum haidh (15 hari) dan dia dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu.

Adapun yang dimaksudkan dengan dapat membezakan darah itu ialah darah yang keluar hendaklah terdiri daripada dua jenis atau lebih, sama ada dari segi kekuatan warna, sifat dan bau, iaitu sebahagian darah lebih kuat atau lemah sedikit dibandingkan dengan sebahagian darah yang lain dan kesemua darah yang keluar itu memenuhi ketiga-tiga syarat at-tamyîz.

Syarat-syarat at-tamyîz itu ialah:

(i) Hendaklah tempoh keluar warna darah yang kuat itu tidak kurang daripada sehari semalam (tempoh minimum haidh). (ii) Hendaklah tempoh keluar warna darah yang kuat itu tidak melebihi 15 hari (tempoh maksimum haidh).

(iii) Hendaklah tempoh keluar warna darah yang lemah itu tidak kurang daripada 15 hari (tempoh minimum waktu suci)

Jika kesemua darah yang keluar itu tidak menepati syarat-syarat at-tamyîz di atas, maka ia menjadi darah yang tidak boleh dibezakan. (Mughnî al-Muhtâj: 1/159)

Dalam kumpulan mubtada’ah mumayyizah, mustahâdhah hendaklah menggunakan kaedah at-tamyîz untuk menentukan tempoh haidhnya kerana darah yang keluar itu menepati syarat at-tamyîz. Maka dengan menggunakan kaedah at-tamyîz ini, darah yang kuat adalah dikira haidh manakala darah yang lemah atau tidak kuat itu pula dikira istihâdhah.

2. Mubtada’ah Ghair Mumayyizah (مبتدأةَغْيَِميزةََ).

Mubtada’ahََ ghair mumayyizah ialah perempuan yang baru pertama kali datang haidh yang darahnya keluar sehingga melewati tempoh maksimum haidh dan dia tidak dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu. Dalam kumpulan ini, mustahâdhah hendaklah menggunakan kaedah aqall al-haidh untuk menentukan tempoh haidhnya. Maka mengikut kaedah ini, tempoh haidhnya hanya dikira mengikut tempoh minimum haidh iaitu sehari semalam sahaja. (Al-Majmû‘: 2/423)

3. Mu‘tâdah Mumayyizah (معتادةَِميزة ).

Mu‘tâdah mumayyizah ialah perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan kemudian dia suci daripada haidh tersebut dan pada haidhnya kali ini, darahnya keluar melewati tempoh maksimum haidh dan dia dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu. Dalam kumpulan ini, mustahâdhah hendaklah menggunakan kaedah at-tamyîz untuk menentukan tempoh haidhnya sepertimana juga yang digunakan oleh kumpulan mubtada’ah mumayyizah kerana dia dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu.

Untuk menggunakan kaedah at-tamyîz, darah mustahâdhah yang keluar itu hendaklah terdiri daripada dua jenis atau lebih, sama ada dari segi kekuatan warna, sifat atau bau, iaitu sebahagian darah lebih kuat atau lemah sedikit dibandingkan dengan sebahagian darah yang lain dan kesemua darah yang keluar itu memenuhi ketiga-tiga syarat at-tamyîz. Jika darah yang keluar itu tidak memenuhi syarat-syarat at-tamyîz, maka ia menjadi darah yang tidak boleh dibezakan. (Mughni al-Muhtâj: 1/159)

Syarat-syarat at-tamyîz itu ialah:

(i) Hendaklah tempoh keluar warna darah yang kuat itu tidak kurang daripada sehari semalam (tempoh minimum haidh).

(ii) Hendaklah tempoh keluar warna darah yang kuat itu tidak melebihi 15 hari (tempoh maksimum haidh).

(iii) Hendaklah tempoh keluar warna darah yang lemah itu tidak kurang daripada 15 hari (tempoh minimum suci).

Maka dengan menggunakan kaedah at-tamyîz ini, darah yang kuat adalah dikira haidh manakala darah yang lemah atau tidak kuat itu pula adalah dikira istihâdhah.

4. Mu‘tâdah Ghair Mumayyizah (معتادةَغْيَِميزة )

Mu‘tâdah ghair mumayyizah ialah perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan kemudian dia suci daripada haidh tersebut dan pada haidhnya kali ini, darahnya keluar melewati tempoh maksimum haidh dan dia tidak dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu. Dalam kumpulan ini, mustahâdhah hendaklah menggunakan kaedah al-‘âdah (mengikut tempoh kebiasaannya sebelum ini) untuk menentukan tempoh haidhnya.

Menurut pendapat yang ashah, tempoh al-‘âdah boleh ditetapkan dengan hanya mengambil kebiasaan pada sekali pusingan haidh sahaja, iaitu lebih awlâ (utama) mengikut tempoh haidh pada bulan sebelumnya.

Jika perempuan haidh tersebut mempunyai kebiasaan tempoh haidh dan juga pada masa yang sama dia boleh membezakan darah yang keluar itu, maka penentuan tempoh haidhnya hendaklah menggunakan kaedah at-tamyîz bukannya mengikut kaedah al- ‘âdah. Tetapi jika perempuan tersebut tidak dapat membezakan darah yang keluar itu, maka hendaklah dia mengikut kaedah al-‘âdah. (Mughnî al-Muhtâj: 1/161)

5. Al-Mutahayyirah (املتحْية ).

Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Radhiallâhu ‘anhu, kumpulan ini dinamakan al-mutahayyirah kerana keadaan mustahâdhah yang bingung atau keliru akan kedudukan dirinya pada menentukan tempoh haidh yang dialaminya ketika beristihâdhah.

Al-Mutahayyirah ini dinamakan juga dengan al-muhayyirah kerana dia membingungkan para ulama fiqh dalam menentukan hukum ke atasnya. Al-mutahayyirah atau al-muhayyirahََ ini merupakan mustahâdhah yang tidak dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar. Kumpulan ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:

(i) Al-Mutahayyirah al-Muthlaqah (املتحْيةَاملطلقة ).

Al-Mutahayyirah al-muthlaqah ialah perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan sebelumnya dan suci daripada haidh tersebut, tetapi pada haidhnya yang terbaru ini darahnya keluar mengalir sama ada sentiasa mengalir tanpa berhenti (tidak putus-putus) atau mengalir tetapi terputus-putus dan dia lupa tarikh dan tempoh haidhnya serta dia juga tidak dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu.

Keadaan seperti ini berlaku berkemungkinan disebabkan oleh warna darah yang sama sahaja, sudah lama tidak didatangi haidh atau kerana umur yang lanjut dan lemah ingatan atau hilang akal seperti orang pelupa atau orang gila.

Untuk menentukan tempoh haidh bagi perempuan yang dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah, maka menurut pendapat masyhûr dalam mazhab asy- Syafi‘e, perempuan itu wajiblah berihtiyâth (berhati-hati) pada setiap masa, kerana setiap detik yang dilaluinya mempunyai kemungkinan dia mengalami haidh atau telah kering daripada haidh dan ada kemungkinan juga dia suci (tidak haidh). Maka keadaannya pada ketika itu adalah seperti perempuan yang suci dalam perkara mengerjakan ibadat dan dalam masa yang sama seperti perempuan yang haidh dalam perkara jimâ‘.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, haram melakukan jimâ‘ bagi perempuan yang mengalami istihâdhah dalam kategori ini. Walau bagaimanapun, suami masih wajib memberi nafkah kepada isterinya yang berkeadaan sedemikian sekalipun dia dilarang berjimâ‘ dengan isterinya, kerana isterinya itu tidak nusyûz. Begitu juga haram ke atas perempuan tersebut memegang dan membaca al-Qur’an ketika di luar sembahyang, kerana berkemungkinan dia dalam keadaan haidh.

Menurutnya lagi, wajib ke atas perempuan istihâdhah al-mutahayyirah al-muthlaqah ini mengerjakan kesemua sembahyang fardhu dan puasa Ramadhan, kerana ada kemungkinan dia suci. Dalam keadaan demikian wajib ke atasnya mandi untuk setiap kali sembahyang fardhu selepas masuk waktunya. (Minhâj ath- Thâlibîn: 1/137)

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, katanya:

Maksudnya:ََ Sesungguhnya Ummu Habibah telah mengalami istihâdhah selama tujuh tahun, lalu dia bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam tentang perkara itu, maka Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam menyuruhnya mandi (mandi wajib). Kemudian Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam bersabda: “Itu adalah ‘irq (darah penyakit”), maka dia pun mandi (mandi wajib) setiap kali sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adapun keadaan-keadaan yang mewajibkan mandi hadas untuk setiap kali sembahyang fardhu setelah masuk waktunya itu ialah jika seseorang itu tidak mengetahui atau tidak ingat bila haidhnya kering dan berhenti dan keadaan darah perempuan tersebut sentiasa mengalir tanpa henti-henti (tidak putus-putus).

Sekiranya dia tahu atau ingat bahawa haidhnya kering atau berhenti pada waktu tertentu, umpamanya, darahnya itu berhenti pada waktu Maghrib, maka dalam hal ini memadai baginya mandi hadas setelah masuk waktu Maghrib sahaja pada setiap hari. Sembahyang-sembahyang fardhu yang seterusnya tidaklah perlu dia mandi hadas lagi bahkan memadai dengan hanya mengambil wudhu sahaja. (Mughnî al- Muhtâj: 1/163)

Jika keadaan darahnya terputus-putus iaitu tidak keluar secara berterusan, maka dia tidaklah diwajibkan mengulangi mandi hadas setiap kali hendak mengerjakan sembahyang fardhu kerana mandi hadas pertama yang dilakukan apabila darah menjadi kering atau berhenti sudah memadai untuk mengekalkan seseorang itu dalam keadaan suci sehingga membolehkannya mengerjakan sembahyang fardhu seterusnya selama mana darahnya itu tidak keluar semula. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/350)

Menyentuh mengenai puasa di bulan Ramadhan bagi perempuanََ yang beristihâdhah dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah, wajib ke atasnya berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan dan berpuasa lagi dalam tempoh sebulan genap iaitu 30 hari berturut-turut pada bila-bila masa selepas bulan Ramadhan. Ini kerana menurut pendapat jumhûr ulama, dengan berpuasa sebulan penuh iaitu 30 hari berturut-turut, hari suci hanyalah dikira 14 hari sahaja. Jika Ramadhan pada tahun itu hanya 29 hari, maka hari suci hanya dikira 13 hari sahaja. Dalam kedua-dua keadaan di atas, adalah wajib ke atas perempuan itu menyempurnakan puasa berkenaan dengan mengqadha’ dua hari lagi setelah selesai menunaikan puasa yang dua bulan tersebut. (Mughnî al-Muhtâj: 1/163)

Menurut kitab Minhâj ath-Thâlibîn, ada dua cara untuk mengqadha’ puasa bagi perempuan yang beristihâdhah dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah:

a. Jika qadha’ untuk dua hari, maka hendaklah berpuasa enam hari iaitu pada hari pertama, hari kedua, hari ketiga dan kemudian berpuasa pada hari ke 16, hari ke 17 dan hari ke 18. b. Jika qadha’ untuk sehari, maka hendaklah berpuasa tiga hari iaitu pada hari pertama, hari ketiga dan hari ke 17.

(ii) Al-Mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya tetapi lupa tempohnya.

Mustahâdhah dalam kumpulan ini ingat atau tahu bila haidhnya bermula (tarikh mula haidh) tetapi lupa tempoh atau jangka masa haidh yang dilaluinya sebelum ini. Untuk menentukan tempoh haidhnya, maka mustahâdhah mempunyai tiga keadaan dengan hukum yang berlainan, iaitu:

a. Hari haidh (yakin haidh iaitu pada tarikh haidh bermula).

Hukumnya: Pada hari dia yakin haidh iaitu pada tarikh haidh mula keluar, maka dia dihukumkan dalam keadaan haidh yakni hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa haidh.

b. Hari kemungkinan haidh atau telah suci (ragu di antara haidh atau suci).

Hukumnya:

▪ Pada hari kemungkinan dia haidh atau telah suci iaitu dari hari kedua sehinggalah hari yang ke 15 dari tarikh bermulanya haidh, maka dia adalah seperti mustahâdhah dalam kumpulan al-mutahayyirah al-muthlaqah iaitu wajib berhati-hati. Dalam keadaan ini, dia hendaklah mengerjakan semua ibadat yang dituntut akan tetapi dia ditegah melakukan jimâ‘ dengan suaminya.

▪ Jika dia mengagak atau meramal pada hari tersebut dia telah suci daripada haidh atau darahnya telah berhenti, maka wajib dia mandi (sebelum berwudhu) pada setiap kali sembahyang fardhu setelah masuk waktunya.

▪ Jika dia mengagak atau meramal pada hari tersebut dia masih haidh atau darahnya masih keluar (belum berhenti), maka dia hanya wajib berwudhu sahaja pada setiap kali sembahyang fardhu.

c. Hari suci (yakin suci daripada haidh kerana telah melewati tempoh maksimum haidh).

Hukumnya: Pada hari dia yakin suci iaitu hari yang ke 16 dari tarikh bermulanya haidh, maka dia adalah dituntut untuk menunaikan segala kewajipannya.

(iii) Al-Mutahayyirah yang lupa tarikh haidhnya tetapi ingat tempohnya.

Mustahâdhah dalam kumpulan ini lupa atau tidak tahu bila haidhnya bermula (tarikh mula haidh) tetapi ingat tempoh atau jangkamasa haidh yang dilaluinya sebelum ini.

Sebagai contoh: Mustahâdhah mengatakan tempoh haidhnya adalah lima hari dalam sepuluh hari yang pertama pada setiap bulan. Dia tidak tahu bila haidhnya bermula tetapi dia yakin bahawa dia suci pada hari pertama setiap bulan. Gambarannya adalah seperti berikut:

Tarikh (hb) 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 - 29 30

01hb setiap bulan: Adalah tarikh yakin suci daripada haidh kerana dia mengatakan bahawa dia suci pada hari yang pertama setiap bulan.

02hb sehingga 10hb setiap bulan: Adalah tarikh berkemungkinan dia haidh dan suci, kerana dia mengatakan haidhnya hanya lima hari sahaja dalam tempoh 10 hari yang pertama setiap bulan dan tidak termasuk hari pertama pada awal bulan.

11hb sehingga 30hb setiap bulan: Adalah tarikh yakin suci daripada haidh, kerana dia mengatakan haidhnya hanya dalam tempoh 10 hari yang pertama sahaja.

02hb sehingga 05hb setiap bulan: Mungkin haidh atau mungkin suci.

06hb setiap bulan: Adalah hari pasti haidh.

07hb sehingga 10hb setiap bulan: Mungkin haidh atau mungkin suci.

Untuk menentukan tempoh haidhnya, maka hukum mustahâdhah dalam kumpulan ini juga sama dengan hukum mustahâdhah dalam kumpulan al-mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya tetapi lupa tempohnya. Berdasarkan contoh di atas, dapat disimpulkan seperti berikut:

a. Hari haidh: Hari mustahâdhah yakin bahawa hari tersebut adalah haidh iaitu 6hb pada setiap bulan.

Hukumnya: Pada hari dia yakin haidh, maka dia dihukumkan dalam keadaan haidh yakni hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa haidh.

b. Hari kemungkinan haidh dan suci: Hari mustahâdhah ragu di antara haidh atau suci ialah pada 2hb hingga 5hb dan 7hb hingga 10hb pada setiap bulan.

Hukumnya:

▪ Pada hari kemungkinan dia haidh atau telah suci, maka dia adalah seperti mustahâdhah dalam kumpulan al-mutahayyirah al-muthlaqah iaitu wajib berhati-hati. Dalam keadaan ini, dia hendaklah mengerjakan semua ibadat yang dituntut akan tetapi dia ditegah melakukan jimâ‘ dengan suaminya.

▪ Jika dia mengagak atau meramal pada hari tersebut dia telah suci daripada haidh atau darahnya telah berhenti, maka wajib dia mandi (sebelum berwudhu) pada setiap kali sembahyang fardhu setelah masuk waktunya.

▪ Jika dia mengagak atau meramal pada hari tersebut dia masih haidh atau darahnya masih keluar (belum berhenti), maka dia hanya wajib berwudhu sahaja pada setiap kali sembahyang fardhu.

c. Hari suci: Hari mustahâdhah yakin bahawa hari tersebut adalah suci iaitu pada 01hb kerana berdasarkan kenyataannya, dia yakin bahawa dia suci pada hari yang pertama dan pada 11hb sehingga 30hb kerana dia memberitahu bahawa haidhnya hanya dalam tempoh 10 hari yang pertama sahaja pada setiap bulan.

Hukumnya: Pada hari dia yakin suci, maka dia dituntut untuk menunaikan segala kewajipannya.

Kesimpulan

Merujuk kepada soalan di atas, iaitu darah tersebut keluar sedikit demi sedikit sehingga menyebabkan perempuan yang sedemikian (dalam kes si penyoal ini) tidak tahu membezakan di antara darah haidh dengan darah istihâdhah dan tidak tahu bila darah haidh itu bermula dan berakhir. Maklumat yang Dayang berikan di atas adalah tidak jelas untuk menerangkan keadaan hukum darah Dayang yang sebenar. Dari soalan yang diajukan, dapat disimpulkan beberapa kemungkinan:

1. Berkemungkinan darah yang keluar sedikit demi sedikit itu mengalir secara berterusan (tidak putus-putus) atau mengalir tetapi terputus-putus, Dayang tidak dapat membezakan darah di antara haidh dengan isithâdhah dan Dayang lupa atau tidak tahu tarikh dan tempoh haidh pada bulan sebelum terjadinya istihâdhah sehingga menyebabkan Dayang tidak tahu bila haidh itu bermula dan berakhir. Jika inilah keadaannya, maka Dayang adalah dalam kategori al-mutahayyirah al-muthlaqah.

2. Berkemungkinan Dayang tahu tempoh haidh tetapi lupa atau tidak tahu tarikh haidh bermula pada bulan sebelum terjadinya istihâdhah sehingga menyebabkan Dayang tidak tahu bila haidh itu bermula dan berakhir dan tidak dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu. Jika inilah keadaannya, maka Dayang adalah dalam kategori al-mutahayyirah yang lupa tarikh haidhnya tetapi ingat tempohnya.

3. Berkemungkinan Dayang tahu tarikh bermula haidh tetapi lupa atau tidak tahu tempoh haidh pada bulan sebelum terjadinya istihâdhah dan tidak dapat membezakan di antara haidh dengan istihâdhah pada darah yang keluar itu. Jika inilah keadaannya, maka Dayang adalah dalam kategori al-mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya tetapi lupa tempohnya.

4. Berkemungkinan Dayang tahu tarikh dan tempoh haidh pada bulan sebelum terjadinya istihâdhah tetapi Dayang tidak dapat membezakan darah yang keluar itu sama ada haidh atau istihâdhah. Jika inilah keadaannya, maka Dayang adalah dalam kategori mu‘tâdah ghair mumayyizah.

5. Berkemungkinan Dayang tahu tarikh dan tempoh haidh pada bulan sebelum terjadinya istihâdhah dan dapat membezakan darah yang keluar itu sama ada haidh atau istihâdhah. Jika inilah keadaannya, maka Dayang adalah dalam kategori mu‘tâdah mumayyizah.

Setelah Dayang merujuk kepada beberapa kemungkinan di atas, maka dapatlah Dayang memastikan sendiri dalam kumpulan manakah kedudukan Dayang yang sebenarnya. Apabila sudah dapat memastikan kedudukannya, maka rujuklah semula kepada pembahagian mustahâdhah supaya dapat menentukan tempoh haidh dan apa-apa hukum yang berkaitan dengannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10990