Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Definisi Musafir

Soalan: Saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai definisi “musafir” dalam pandangan Islam. Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Musafir adalah satu kata nama yang berasal daripada bahasa Arab. Ia terbit daripada kata dasar safara (سفر) yang mempunyai banyak pengertian. Antara maknanya yang biasa digunakan ialah melakukan atau menempuh jarak perjalanan (قطع َاملسافة ), membuka (كشف), menerangi (أضاء) dan mendamaikan (أصلح). (Lisân al-‘Arab: 4/368-370, Qâmûs al-Marbawi: 290)

Daripada perkataan safara, maka orang yang belayar atau berjalan jauh itu dipanggil musafir. Untuk mengetahui definisi musafir menurut pandangan agama perlulah mengetahui penggunaan istilah pelayaran atau as-safar sebagaimana yang digariskan oleh syara‘.

Perkataan musafir yang telah diadaptasi ke bahasa Melayu hanya membawa maksud orang yang berpergian, pengembara, pelancong dan kelana. (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan: 1190)

Musafir Menurut Pandangan Syara‘

Musafir yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘ akan memberi perbezaan hukum dalam perkara-perkara tertentu. Ia menyebabkan berlakunya rukhshah (keringanan) terhadap cara perlaksanaan sebahagian ibadat. Dalam Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’, as-safar didefinisikan sebagai “keluar dari rumah kediaman untuk menuju suatu tempat yang jaraknya mengharuskan sembahyang diqasharkan.”

Mengqasharkan sembahyang bererti memendekkan sembahyang empat rakaat menjadi dua rakaat. (Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 2/316)

Sembahyang yang harus diqasharkan ialah sembahyang-sembahyang fardhu empat rakaat sahaja seperti sembahyang Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’. Menurut al-Imam al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh, sembahyang Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasharkan secara ijmâ‘. Begitu juga dengan sembahyang yang menjadi wajib kerana nazar (manzûrah) dan sembahyang sunat (nâfilah) seperti sembahyang sunat qabliah Zhuhur empat rakaat kerana tiada hadits yang wârid mengenainya. Sembahyang qadha’ fardhu yang luput waktunya ketika bukan dalam pelayaran juga tidak boleh diqasharkan. (Mughnî al-Muhtâj: 1/516)

Syarat-Syarat Pelayaran

Pelayaran yang menyebabkan adanya rukhshah (kelonggaran) dalam melaksanakan ibadat seperti sembahyang qashar itu ialah pelayaran yang memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Menempuh jarak dua marhalah.

Jarak dua marhalah itu ialah sejauh 84 batu mengikut kiraan Bani Hasyim. (Minhâj ath- Thâlibîn dalam Mughnî al-Muhtâj: 1/521-522) Menurut sukatan pada masa ini, ia bersamaan jarak perjalanan sejauh 91 kilometer atau 56 batu (Inggeris). Jarak ini dikira bagi jarak perjalanan pergi dan tidak termasuk jarak balik semula ke kediaman asal. Bagi orang yang bermusafir melalui perjalanan laut, kiraan jarak perjalanannya adalah sama juga seperti di darat.

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, melakukan sembahyang qashar adalah diharuskan berdasarkan jarak jauh perjalanan yang dilakukan. Oleh sebab itu, ia tetap sah dikerjakan walaupun jangkamasa untuk sampai ke destinasi yang dimaksudkan hanya mengambil masa yang singkat contohnya bagi orang yang bermusafir dengan menggunakan tunggangan atau kenderaan yang cepat. (Mughnî al-Muhtâj: 1/522)

2. Meninggalkan tempat kediaman.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika pekan atau kampung itu mempunyai sur (tembok), maka seseorang itu hanya akan dikira bermusafir setelah dia melewati sur tersebut. Sekiranya selepas sur itu terdapat bangunan atau rumah, maka mengikut pendapat yang ashah daripada Imam an-Nawawi, bangunan atau rumah itu tidaklah menjadi syarat untuk dilewati juga.

Jika pekan atau kampung itu tidak mempunyai tembok, maka tempat permulaan bermusafir dikira apabila seseorang itu meninggalkan bangunan kediaman penduduk-penduduk yang tinggal di pekan atau kampung tersebut, termasuk bangunan-bangunan yang diselangi oleh anak sungai, kebun atau tanah gersang, selagi masih terkandung dalam kawasan tempat bermukim. (Mughnî al-Muhtâj: 1/517&518)

3. Berniat melakukan safar.

Seorang yang bermusafir hendaklah memasang niat melakukan safar sebelum memulakan perjalanannya. Orang yang sekadar merayau-rayau (hâ’im) atau sesat tanpa mengetahui destinasi perjalanannya, tidak harus mengerjakan sembahyang qashar. Begitu juga pelarian yang tidak tahu hala tujunya atau pengutip hutang yang tidak mengetahui di mana menemui orang yang dihajatinya, tidak sah menqasharkan sembahyang mereka walaupun sekiranya jarak perjalanan mereka sudah mengharuskannya. (Mughnî al-Muhtâj: 1/522)

4. Tujuan safar bukan kerana maksiat.

Orang yang belayar kerana tujuan maksiat misalnya perempuan yang nusyûz terhadap suaminya atau belayar untuk tujuan merompak adalah tidak harus baginya mengqasharkan sembahyang. Menurut ulama, rukhshah memendekkan sembahyang itu adalah satu bentuk pertolongan sedangkan orang yang berbuat maksiat tidak berhak mendapat pertolongan tersebut.

Begitu juga seseorang yang pada mulanya bermusafir untuk tujuan yang diharuskan syara‘, tetapi dalam perjalanannya dia melakukan perbuatan maksiat seperti mencuri atau berzina, maka mengikut qaul yang ashah, tidak sah baginya mengerjakan sembahyang qashar. Bagaimanapun, jika orang yang melakukan maksiat itu bertaubat ketika dia masih berada di tengah perjalanannya, maka dia boleh meneruskan perjalanannya dengan menunaikan sembahyang qashar. (Mughnî al-Muhtâj: 1/525)

Selain syarat-syarat di atas, jika orang yang bermusafir itu ialah seorang perempuan, maka hendaklah ada mahram ataupun suami yang menemaninya dalam pelayaran. Haram ke atas perempuan melakukan pelayaran dengan seorang diri, sama ada pelayaran itu dekat mahupun jauh, kecuali atas sebab dharurat. (Kitab al-Majmû‘: 4/346)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Tidak harus seorang perempuan itu bermusafir kecuali bersama mahramnya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menyatakan bahawa pengharaman ke atas perempuan untuk melakukan apa jua bentuk pelayaran secara bersendirian itu merupakan satu kesepakatan (ijmâ‘) yang diambil oleh para ulama, kecuali pada pelayaran menunaikan haji, umrah yang wajib atau jika terpaksa meninggalkan negeri bukan Islam. (Fath al-Bârî: 2/723)

Rukhshah Ketika Dalam Pelayaran

Selain kelonggaran untuk mengqasharkan sembahyang, terdapat kelonggaran-kelonggaran lain yang membezakan orang yang bermusafir dengan orang yang bermukim dalam perkara menunaikan ibadat. Kelonggaran-kelonggaran tersebut adalah seperti berikut:

1. Menjama‘ sembahyang.

Selain keharusan mengqasharkan sembahyang, jumhûr fuqahâ’ daripada kalangan ulama asy-Syafi‘iyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah juga telah bersepakat bahawa pelayaran itu adalah antara keuzuran yang mengharuskan sembahyang dilakukan secara jama‘.َ (Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 15/284)

Menjama‘ sembahyang bererti menghimpunkan dua sembahyang dalam satu waktu seperti sembahyang Zhuhur bersama sembahyang ‘Ashar dan sembahyang Maghrib bersama sembahyang ‘Isya’ secara taqdîm atau ta‘khîr.

Sembahyang jama‘ yang dikerjakan pada waktu sembahyang yang lebih awal antara dua sembahyang yang dijama‘kan dinamakan sebagai jama‘ taqdîm. Contohnya sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar dikerjakan pada waktu Zhuhur. Begitu juga sembahyang jama‘ Maghrib dan ‘Isya’ yang dikerjakan pada waktu maghrib. Jama‘ ta‘khîr pula adalah sebaliknya iaitu mengerjakan dua sembahyang itu pada waktu yang lebih kemudian antara dua sembahyang yang dijama‘kan.

Sembahyang Jumaat juga boleh dijama‘kan dengan sembahyang ‘Ashar secara taqdîm, tetapi tidak boleh dilakukan secara ta‘khîr. (Mughnî al-Muhtâj: 1/529)

2. Gugur kewajipan mengerjakan sembahyang Jumaat.

Orang yang bermusafir tidak wajib mengerjakan sembahyang Jumaat kerana antara syarat yang mewajibkan sembahyang Jumaat itu ialah al-iqâmah atau bermukim. Al-Imam an- Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya (sembahyang Jumaat itu) wajib ke atas setiap yang mukallaf, merdeka, lelaki, penduduk yang bermukim di sesebuah tempat, tidak mempunyai sebarang keuzuran dan sebagainya. (Minhâj ath-Thâlibîn dalam Mughnî al-Muhtâj: 1/536-537)

Asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini ketika mengulas kata-kata Imam an-Nawawi di atas mengatakan bahawa sembahyang Jumaat itu tidak wajib ke atas seorang hamba, perempuan, orang yang bermusafir dalam pelayaran yang diharuskan walaupun dekat memandangkan kesulitan yang dihadapinya. (Mughnî al-Muhtâj: 1/536)

Tamim ad-Dariyyi Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang Jumaat itu adalah wajib kecuali ke atas kanak-kanak, orang yang tidak merdeka dan orang yang bermusafir. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Berhubung perkara sembahyang Jumaat ini, para ulama juga telah menetapkan bahawa tidak harus memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas terbit fajar hinggalah selesai waktu menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Larangan ini, bagaimanapun, tertakluk kepada kemampuan orang yang bermusafir itu untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat ketika dalam pelayarannya. Jika dia mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dia mampu menunaikan sembahyang Jumaat di tempat yang dituju atau di tengah-tengah perjalanannya, maka tiada larangan baginya untuk memulakan pelayaran pada waktu itu kerana maksud daripada larangan tersebut adalah supaya seseorang itu tidak terluput daripada mendirikan sembahyang Jumaatnya. (Mughnî al-Muhtâj: 1/539-540)

3. Keharusan berbuka di bulan Ramadhan.

Orang yang bermusafir juga diharuskan berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)

4. Dipanjangkan tempoh menyapu dua khuf.

Khuf dari segi bahasa ialah kulit nipis yang dipakai di bahagian kaki. Mengikut istilah syara‘ ia adalah pakaian kulit atau seumpamanya yang menutupi bahagian dua buku lali hingga ke atas. (Sa‘di Abu Jaib, al-Qâmûs al-Fiqhi Lughatan wa Ishtilâhan: 118)

Menyapu dua khuf bermaksud menyentuh khuf yang tertentu di tempat yang tertentu dengan tangan yang dibasahkan dengan air dan dilakukan pada masa yang tertentu. (Al- Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/317)

Perbuatan menyapu dua khuf bagi menggantikan rukun menjirus air di kedua belah kaki ketika berwudhu adalah harus. Al-Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata, “Harus menyapu dua khuf ketika berwudhu bagi menggantikan rukun membasuh dua belah kaki.” (Mughnî al-Muhtâj: 1/197-198)

Bagi orang yang bermukim, tempoh diharuskan menyapu khuf itu tidak lebih daripada sehari semalam. Bagi orang yang bermusafir pula, tempoh ini dipanjangkan kepada tiga hari dan tiga malam. (Mughnî al-Muhtâj: 1/199-200)

Diriwayatkan bahawa Syuraih bin Hani’ Radhiallâhu ‘anhu telah pergi menemui ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ untuk bertanya tentang perkara menyapu khuf. ‘Aisyah menyuruhnya pergi bertanyakan perkara tersebut kepada sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah kerana beliaulah yang lebih mengetahuinya. Syuraih lalu pergi kepadanya dan setelah berjumpa dengannya sayyidina ‘Ali pun berkata:

Maksudnya: Rasulullah memerintahkan kami untuk menyapu (khuf). Bagi orang yang bermukim sehari semalam dan bagi orang musafir tiga hari (dan tiga malam). (Hadits riwayat Ibnu Majah, ad-Daruquthni dan al-Baihaqi)

5. Sembahyang sunat boleh dikerjakan tanpa menghadap qiblat.

Orang yang bermusafir sama ada dia berjalan kaki atau menunggang kenderaan, harus mengerjakan sembahyang sunat tanpa menghadap ke arah qiblat. Ini berdasarkan hadits daripada Jabir bin Abdillah Radhiallâhu ‘anhu yang meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang (sunat) di atas tunggangan Baginda di mana sahaja tunggangan itu menuju arahnya, tetapi apabila Baginda hendak menunaikan sembahyang fardhu Baginda turun lalu menghadap qiblat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Keharusan ini, bagaimanapun, tertakluk kepada kemudahan atau kesulitan orang yang bermusafir untuk menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahnyang sunatnya. Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah mejelaskan bahawa,

Ertinya: Sesunguhnya jika mudah menghadap qiblat, maka wajiblah (menghadap qiblat itu) dan jika tidak, maka tidaklah ia menjadi wajib dan dikhususkan (menghadap qiblat itu) ketika mengangkat takbîratul-ihrâm.”

Asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam mensyarahkan perkara di atas berkata bahawa tuntuan menghadap qiblat itu sekiranya masih dapat dilakukan, contohnya apabila kenderaan yang dinaiki itu berhenti, maka ia tetap wajib untuk dilaksanakan. Sebaliknya jika perbuatan itu menyebabkan berlakunya kesulitan, umpamanya apabila binatang yang ditunggangi itu susah atau tidak dapat untuk dipalingkan, maka ia tidaklah wajib dilakukan kecuali ketika melakukan takbîratul-ihrâm. (Mughnî al-Muhtâj: 1/332)

Perlu diingat, menghadap qiblat itu adalah sebahagian daripada rukun sembahyang. Keharusan mengerjakan sembahyang atas kenderaan tanpa menghadap ke arah qiblat hanya khusus bagi sembahyang sunat sahaja. Sembahyang fardhu tidak boleh dikerjakan tanpa menghadap qiblat sama ada ketika bermusafir atau sebaliknya, kecuali jika terdapat keuzuran yang diharuskan oleh syara‘. Sekalipun demikian, sembahyang yang dikerjakan dalam keadaan itu masih perlu diulang semula setelah keuzuran tersebut hilang. Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Berkata sahabat-sahabat kami: “Kalau sekiranya waktu sembahyang fardhu telah masuk sedangkan mereka dalam perjalanan dan dia (salah seorang daripada mereka) khuatir sekiranya dia turun (daripada tunggangannya) untuk bersembahyang menghadap qiblat di atas bumi nescaya dia tertinggal daripada rakan-rakannya atau takut akan berlaku sesuatu ke atas dirinya atau hartanya, maka dalam hal ini tidak harus meninggalkan sembahyang itu dan mengeluarkannya daripada waktunya. Bahkan hendaklah dia bersembahyang di atas tunggangan bagi menghormati waktu dan wajib mengulangi sembahyang itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.” (Al- Majmû‘: 3/214)

Dari penjelasan di atas, pelayaran yang mengharuskan rukhshah itu hanyalah pelayaran yang memelihara tuntutan mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sebahagian ulama mengkategorikannya kepada pelayaran yang merangkumi pelayaran wajib seperti pelayaran mengerjakan ibadat haji yang fardhu, jihâd ke jalan Allah, dan juga pelayaran sunat seperti menziarahi orang tua, mengeratkan hubungan silaturahim dan menuntut ilmu. Juga termasuk dalam kategori ini ialah pelayaran yang mubâh seperti berniagaََ dan sebagainya. Pelayaran yang tidak mengharuskan rukhshah itu pula ialah pelayaran maksiat atau yang terkeluar daripada erti kata mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Lafaz Dan Niat Sembahyang Qashar Dan Jama‘

Contoh lafaz dan niat sembahyang yang dikerjakan secara qashar dan jama‘ ialah seperti berikut:

1. Sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar yang ditunaikan secara qashar dan jama‘ taqdîm:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur dua rakaat qashar, dihimpunkan kepadanya fardhu ‘Ashar, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah Ta‘ala.

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat qashar, dihimpunkan kepada fardhu Zhuhur, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah Ta‘ala.

2. Sembahyang jama‘ taqdîm antara fardhu Jumaat dan ‘Ashar serta sembahyang ‘Ashar yang ditunaikan secara qashar:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Jumaat dua rakaat, dihimpunkan kepadanya fardhu ‘Ashar, jama‘ taqdîm, mengikut imam kerana Allah Ta‘ala.

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat qashar, dihimpunkan kepada fardhu Jumaat, jama‘ taqdim, tunai kerana Allah Ta‘ala.

3. Sembahyang jama‘ taqdîm antara fardhu Maghrib dan ‘Isya’ serta sembahyang ‘Isya’ yang ditunaikan secara qashar:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat, dihimpunkan kepadanya fardhu ‘Isya’, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah Ta‘ala.

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Isya’ dua rakaat qashar, dihimpunkan kepada fardhu Maghrib, jama‘ taqdîm, tunai kerana Allah Ta‘ala.

4. Sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar yang ditunaikan secara qashar dan juga jama‘ ta’khîr:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur dua rakaat qashar, dihimpunkan kepada fardhu ‘Ashar, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah Ta‘ala.

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat qashar, dihimpunkan kepadanya fardhu Zhuhur, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah Ta‘ala.

5. Sembahyang jama‘ ta’khîr antara sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ serta sembahyang ‘Isya’ yang ditunaikan secara qashar:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat, dihimpunkan kepada fardhu ‘Isya’, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah Ta‘ala.

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Isya’ dua rakaat qashar, dihimpunkan kepadanya fardhu Maghrib, jama‘ ta’khîr, tunai kerana Allah Ta‘ala.

Lazaf dan niat yang disebutkan di atas adalah khusus bagi sembahyang qashar dan jama‘ yang dilakukan secara bersendirian, kecuali sembahyang fardhu Jumaat.

Jika sembahyang qashar dan jama‘ itu hendak dilakukan secara berjemaah, maka ditambah saja perkataan “إماما” (menjadi imam) atau “مأموما” (menjadi makmum) sebelum perkataan “َََلهلل تعا ” (kerana Allah Ta‘ala).

Sebagai contoh:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat, dihimpunkan kepadanya fardhu ‘Isya’, jama‘ ta’khîr, tunai, menjadi imam/makmum kerana Allah Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10998