Do‘a Awal Dan Akhir Tahun Hijriyyah
Soalan: Bila menjelang awal tahun Hijriyyah maka kita akan sering mendengar seruan yang kira-kira berbunyi:
Menurut amalan ulama salaf ash-shâlih:
“Barang siapa membaca do‘a akhir tahun Hijriyyah, maka syaitan berkata: “Kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam sepanjang tahun ini, maka dibinasakan hanya dengan satu saat jua dengan sebab membaca do‘a ini maka Allah Ta‘ala mengampuni sekalian dosanya yang setahun ini.”
Menurut amalan ulama salaf ash-shâlih (lagi):
“Barang siapa membaca do‘a kerana mengalu-alukan kedatangan awal tahun Hijriyyah, iaitu dengan membaca do‘a selepas menunaikan sembahyang fardhu Maghrib sebanyak 3 kali berturut-turut, maka syaitan akan berkata: “Sesungguhnya mereka telah memohon keamanan bagi diri mereka sepanjang masa hadapan mereka. Di samping itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mengutuskan dua malaikat untuk menjaga mereka (yang membaca do‘a) daripada syaitan dan konco-konconya.”
Apa yang menjadi persoalan di sini ialah kenyataan tentang amalan ulama salaf ash-shâlih itu:
1. Daripada sumber manakah periwayatan tersebut di atas itu tadi, atau dari kitab manakah ia dinukil? Adakah ia boleh dipegangi?
2. Bolehkah dipastikan keshahîhannya atau adakah amalan tersebut benar-benar diamalkan oleh para ulama salaf ash-shâlih?
3. Adakah mereka (ulama salaf ash-shâlih) itu telah ditemui syaitan dan mendengar pengakuan syaitan itu, atau dapatkah dikatakan bahawa mereka itu (ulama salaf ash-shâlih) mengetahui perkara ghaib?
4. Bagaimana ulama salaf ash-shâlih itu mendapat tahu bahawa Allah Ta‘ala akan mengutus dua malaikat untuk menjaga mereka yang membaca do‘a awal tahun Hijriyyah itu daripada syaitan dan konco-konconya? Seakan-akan kenyataan ini (berani) mengatakan ulama salaf ash-shâlih itu mendapat wahyu? (Padahal tiada lagi wahyu turun setelah kewafatan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam).
5. Adakah terdapat dalam hadits shahîh tentang amalan do‘a awal tahun dan akhir tahun Hijriyyah itu? Kalau ada mengapa tidak dikatakan saja (umpamanya): “Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa sesiapa… begini… dan begini… atau seterusnya…”? Atau adakah riwayat shahîh ia diamalkan oleh para sahabat Nabi?
Jawapan: Do‘a merupakan suatu ibadat yang mulia dan digalakkan dalam Islam. Ia terbahagi kepada dua bahagian: Pertama: Do‘a ma’tsûr iaitu do‘a yang wârid daripada al-Qur’an dan as-sunnah. Kedua: Do‘a yang bukan ma’tsûr iaitu do‘a yang bukan wârid daripada al-Qur’an dan as-sunnah seperti do‘a yang direka atau dicipta oleh ulama dan seumpamanya. Ini termasuklah do‘a akhir dan awal tahun Hijriyyah.
Do‘a Akhir Dan Awal Tahun Hijriyyah Apabila menjelang akhir tahun Hijriyyah, kebiasaan orang-orang Islam di negara kita menyambutnya dengan membaca do‘a akhir dan awal tahun Hijriyyah dan berbagai upacara lagi. Do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah yang sering dibaca sepertimana yang disebutkan dalam kitab Majmû‘ al-Aurâd adalah seperti berikut: i. Do‘a Akhir Tahun.
Ertinya: Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad beserta keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Ya Allah! Apa yang telah kulakukan pada tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau larang dan aku belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredhainya dan aku telah melupakannya sedang Engkau pula tidak melupakannya dan Engkau berlemah-lembut kepadaku sedang Engkau berkuasa mengazabku malah memberi aku peluang supaya aku bertaubat selepas aku menceburkan diri melakukan maksiat kepadaMu. Oleh yang demikian aku memohon keampunanMu, maka ampunkanlah aku. Dan apa-apa yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau redhai dan Engkau telah menjanjikan ganjaran pahala kerananya, maka aku memohon kepadaMu ya Allah, Tuhan Yang Maha Mulia, Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan semoga Engkau menerimanya (amal bakti) yang telah aku lakukan dan Engkau tidak menghampakan harapanku, wahai Tuhan Yang Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad berserta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.
Menurut kitab Majmû‘ al-Aurâd, do‘a ini dibaca sebanyak 3 kali, maka syaitan berkata:
Ertinya: Kami telah bersusah-payah menggodanya sepanjang tahun ini, maka dia binasakan segala usaha kami hanya dengan satu masa.
ii. Do‘a Awal Tahun.
Ertinya:َ Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad berserta keluarga dan sahabat-sahabatَ Baginda.
Ya Allah! Engkaulah Tuhan Yang Kekal untuk selama-lamanya, Sedia Ada lagi Tiada Permulaan. KelebihanMu Maha Agung dan kemurahanMu amat melimpah yang sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami memohon kepadaMu perlindungan pada tahun ini daripada syaitan dan konco-konconya serta bala tenteranya. Kami juga memohon kepadaMu pertolongan mengalahkan runtunan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan. Dan kami memohon kepadaMu kerja-kerja yang boleh mendampingkan diri kami kepadaMu. Wahai Tuhan Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
Menurut kitab Majmû‘ al-Aurâdََ lagi: Barang siapa yang membaca do‘a ini pada awal Muharram, maka syaitan berkata:
Ertinya: Dia telah memohon keamanan bagi dirinya sepanjang sisa umurnya. Maka sesungguhnya Allah mengutuskan dua malaikat untuk menjaganya daripada syaitan. Allah juaَ tempat memohon pertolongan.
Do‘a awal dan akhir tahun ini juga ada disebutkan dalam kitab Dzail Tadzkirah Uli al-Albâb wa al-Jâmi‘ li al-‘Ajb al-‘Ujâb karangan salah seorang murid Daud bin ‘Umar al-Anthaqi.
Menurut Muhammad Jamaluddin al-Qasimi Rahimahullâh, do‘a tersebut adalah do‘a yang tidak berasal daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, para sahabat dan tâbi‘în, ia juga tidak diriwayatkan dalam mana-mana musnad dan tidak dijumpai dalam mana-mana hadits maudhû‘ (hadits palsu). Ia merupakan do‘a yang direkacipta oleh sebahagian syeikh-syeikh (guru-guru). (Ishlâh al-Masâjid min al-Bad‘ wa al-‘Awâ’id: 129).
Pendapat Ulama Tentang Penggunaan Do‘a Bukan Ma’tsûr
1. Adalah harus berzikir dan berdo‘a dengan do‘a-do‘a yang bukan ma’tsûr.
Terdapat banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang secara umumnya mengesahkan atau membolehkan penggunaan do‘a-do‘a yang bukan ma’tsûr itu, antaranya hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa seorang lelaki datang dengan termengah-mengah untuk sembahyang lalu berkata:
Maksudnya: Allah Maha Besar. Segala pujian bagi Allah, pujian yang banyak lagi baik dan penuh berkat. Setelah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam selesai menunaikan sembahyang, Baginda bertanya: “Siapakah di antara kamu yang mengucapkan beberapa kalimat itu tadi? Sungguh dia tidak mengucapkan perkara buruk!” Orang itu berkata: “Saya, wahai Rasulullah! Saya datang dengan tergesa-gesa dengan nafas termengah-mengah lalu mengucapkan kalimat itu”.ََ Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sungguh aku melihat dua belas malaikat yang masing-masing berebut-rebutan siapakah antara mereka yang terlebih dahulu mengangkat ungkapan kalimat itu.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits yang lain daripada sebahagian sahabat bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya kepada seorang lelaki:
Maksudnya: (Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya): “Bagaimana kamu berdo‘a dalam sembahyang?” Lelaki itu menjawab: “Aku bertasyahhud kemudian berdo‘a; ya Allah! Aku memohon kepadaMu syurga dan berlindung denganMu daripada neraka. Sesungguhnya aku tidak mendengar dengan baik kumat-kamitmu (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam) dan tidak juga kumat-kamit Mu‘adz (ketika berdo‘a)”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sekitar itulah kumat-kamit kami (ketika berdo‘a).” (Hadits riwayat Abu Daud)
Ash-Shan‘ani Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Hadits ini menunjukkan boleh seorang insan itu berdo‘a dengan apa sahaja lafaz yang dia mahu, daripada do‘a ma’tsûr dan selainnya. (Subul as-Salâm: 1/452)
2. Menurut ulama fiqh mazhab asy-Syafi‘e, ketika berdo‘a adalah harus untuk meminta perkara dunia dan sunat meminta perkara akhirat, juga adalah lebih baik mengamalkan do‘a ma’tsûr daripada yang selainnya, bagi mendapatkan berkat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan harapan agar dimakbulkan. Tetapi tidak juga mengapa jika menggunakan do‘a yang bukan ma’tsûr.
Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Dan perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas menunjukkan keumuman suruhan untuk berdo‘a dan ia tidak dikaitkan dengan apa-apa do‘a khusus, bererti suruhan untuk berdo‘a itu meliputi segala macam do‘a. Lagi pula, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdo‘a di mana-mana dengan do‘a-do‘a yang berlainan. Ini menunjukkan tidak mengapa untuk menggunakan apa saja do‘a. (Al-Majmû‘: 3/451-454, Fath al-‘Allâm: 2/402, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/298)
Sepertimana dalam hadits daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kemudian dia (seseorang itu) memilih do‘a (sesukanya) selepas itu. (Hadits riwayat Muslim)
3. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan pernah menyebutkan dalam fatwanya bilangan 34/89:
Hendaklah diketahui bahawa zikir-zikir dan do‘a yang dikarang oleh ahli zikir itu tiadalah ditegah dan bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menggalakkan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam ath-Thabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausath dengan sanad jayyid sebagaimana kata al-Hafizh al-Haitsami daripada sahabat Anas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah lalu dan melintasi seorang Arab Badwi dan dia berdo‘a di dalam sembahyangnya dan berkata:
Ertinya: Wahai Tuhan yang tiada dilihat oleh mata, dan Tuhan yang tiada syak pada wujudNya, dan Tuhan yang tiada dapat dirupa-rupakan, dan tiada dapat disifat-sifatkan, dan Tuhan yang tiada dapat diubah-ubah oleh zaman, dan Tuhan yang tiada takut Dia kena bencana, Tuhan yang mengetahui berat timbangan gunung, Tuhan yang mengetahui sukatan air laut, Tuhan yang mengetahui bilangan titik air hujan, Tuhan yang mengetahui bilangan daun-daun yang ada di pokok-pokok, Tuhan yang mengetahui bilangan malam apabila gelap gelita, dan bilangan siang apablia cahaya memancar, Tuhan yang tiada terlindung oleh sesuatu langit, Tuhan yang tiada terlindung oleh sesuatu bumi, Tuhan yang tiada terlindung oleh dasar laut, Tuhan yang tiada terlindung oleh tempat-tempat sulit di gunung-ganang, ya Allah mohon jadikan sebaik-baik umur hamba pada kesudahannya, dan sebaik-baik ‘amal pada kesudahannya, dan sebaik-baik hari hamba iaitu hari menghadap Tuhan hamba.”
Manakala orang Arab Badwi selesai sembahyang, maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memanggil akan dia, dan memberi dia akan emas yang telah dihadiahkan oleh orang yang dapat emas dari setengah-setengah lombong emas, sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Saya beri kamu emas ini, sebab baik pujian kamu kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” Hadits itu berbunyi:
Hadits ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengesahkan penggunaan do‘a yang bukan ma’tsûr.
Menurutnya lagi: “Dari itu janganlah suka-suka menegur dan ingkarkan ahli Tashawwuf dan ahli zikir, ahli serban dan ahli jubbah, ahli masjid, ahli ibadat, barangkali orang itu ada dalam peliharaan Allah, dan ia lebih yakin dan lebih kuat imannya daripada awak wahai orang yang mensia-siakan ahli serban dan jubbah itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 34/89)
Dalam fatwanya bilangan 67/91 juga ada menerangkan tentang cara pemilihan lafaz-lafaz do‘a, sepertimana katanya: “Adalah lafaz-lafaz do‘a itu adalah bebas dan tiada ada sekatan padanya. Do‘a kesyukuran ada lafaz-lafaznya sendiri. Do‘a menyambut hari kemerdekaan ada lafaznya sendiri, Do‘a hari menyambut maulud Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada coraknya sendiri, ada yang panjang, ada yang pendek, ada lafaz-lafaz tertentu bagi dibaca oleh orang ramai yang tiada pandai berdo‘a dengan caranya sendiri, dan bagi orang yang pandai memilih lafaz-lafaz do‘a, dia boleh berdo‘a dengan lafaz-lafaznya sendiri dan dengan panjang dan lanjut mengikut keadaan sesuatu majlis dan sesuatu upacara itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 67/91)
Penyingkapan Alam Ghaib
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
- Adakah mereka (ulama salaf ash-shâlih) itu telah ditemui syaitan dan mendengar pengakuan syaitan itu, atau dapatkah dikatakan bahawa mereka itu (ulama salaf ash-shâlih) mengetahui perkara ghaib?
- Dan bagaimana ulama salaf ash-shâlih itu mendapat tahu bahawa Allah Ta‘ala akan mengutus dua malaikat untuk menjaga mereka yang membaca do‘a awal tahun Hijriyyah itu daripada syaitan dan konco-konconya? Seakan-akan kenyataan ini (berani) mengatakan ulama salaf ash-shâlih itu mendapat wahyu? (Padahal tiada lagi wahyu turun setelah kewafatan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam).
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, seorang ahli tashawwuf yang masyhur: “Orang-orang yang hatinya (dekat kepada Allah) disingkapkan kepada mereka rahsia-rahsia alam malakut (alam ghaib), kadang-kadang melalui ilham yang datang kepada mereka dari arah yang mereka tidak ketahui, atau melalui mimpi yang benar, atau ketika jaga (tidak tidur); dengan cara tersingkap kepadanya pengertian terhadap perumpamaan yang disaksikannya, sama seperti terjadi dalam mimpi. Ini termasuk darjat tertinggi daripada darjat-darjat kenabian yang tinggi, sebagaimana mimpi yang benar adalah sebahagian daripada 46 bahagian daripada kenabian.
Jadi kita hendaklah berhati-hati terhadap bahagian kita dalam ilmu ini, jangan sampai kita mengingkari apa yang di luar batas pemahaman kita. Dalam hal ini, telah binasa sebahagian ulama yang mengaku cerdik dan menyangka mereka telah mengetahui ilmu-ilmu akal. Maka adalah lebih baik jahil (tidak tahu) daripada akal yang membawa ke arah mengingkari hal-hal seperti ini (penyingkapan alam ghaib) bagi para wali Allah. Barang siapa yang mengingkari hal itu bagi para wali Allah, maka lazim baginya mengingkari para nabi yang mengakibatkannya keluar daripada agama keseluruhannya.” (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 1/78)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman mengenai kelebihan orang-orang yang beriman dan berilmu yang diangkat beberapa darjat daripada orang-orang yang lain:
Tafsirnya: Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. (Surah al-Mujâdalah: 11)
Hadits daripada Muhammad bin Ka‘ab katanya dia mendengar Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhu berkata yang dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan, maka Allah menjadikannya pandai mengenai agama dan mengilhamkannya petunjukNya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Allah mengisahkan dalam surah al-Kahf, mengenai Nabi Musa ‘Alaihissalâm yang berjumpa dengan seorang hamba Allah yang salih dikurniakan dengan rahmat dan ilmu yang langsung daripada Allah kerana mempunyai jiwa yang suci dan dekat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba Kami, yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutimu, dengan syarat engkau mengajarku apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?” Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, insyâ’ Allah; orang yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu.”
(Surah al-Kahf: 65-69)
Menurut al-Qurthubi Rahimahullâh, ilmu yang dianugerahkan kepada hamba Allah yang salih itu adalah ilmu ghaib. Hamba Allah yang salih itu juga dikurniakan firasat bahawa Nabi Musa ‘Alaihissalâm tidak akan mampu bersabar dengan apa yang bakal dilihatnya salah pada zahir sedangkan hamba Allah yang salih itu dianugerahkan ilmu pengetahuan mengenai hikmat perbuatannya. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 11/16-17)
Menurut al-Manawi Rahimahullâh, ilmu yang dianugerahkan kepada hamba Allah yang salih itu adalah ilmu ladunni iaitu ilmu yang langsung daripada Allah yang menyingkapkan rahsia alam dengan jalan yang bukan biasa pada zahirnya. Walau bagaimanapun, ilmu ladunni ini hanya dianugerahkan kepada ahli kasysyâf (orang-orang tertentu yang dekat kepada Allah dan disingkapkan kepada mereka rahsia alam ghaib). (Faidh al-Qadîr: 2/8, 4/417)
Kisah Nabi Musa ‘Alaihissalâm menuntut ilmu dengan hamba Allah yang salih ini boleh diikuti seterusnya dalam surah al-Kahf.
Adapun jalan atau cara untuk memperolehi ilmu ialah; sama ada melalui ilham yang diilhamkan oleh Allah atau limpahan yang dikurniakan pada hati-hati yang suci atau melalui percubaan/eksperimen yang diperolehi daripada kejadian-kejadian (yang berlaku) atau perbandingan (dengan kejadian-kejadian yang berlaku). (Tadzkirah Uli al-Albâb wa al-Jâmi‘ li al-‘Ajb al-‘Ujâb: 5)
Dari itu, kita dapati banyak do‘a yang dikarang oleh para ulama dan adakalanya disebutkan fadhilatnya, berkemungkinan fadhilat yang didapati adalah hasil daripada pengalaman atau percubaan atau ilham yang diilhamkan oleh Allah pada hati dan jiwa yang suci lagi dekat kepadaNya.
Berdasarkan amalan para sahabat yang berdo‘a dengan do‘a mereka sendiri dan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak membantah perbuatan mereka itu, malah memujinya, maka mengamalkan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah adalah tidak mengapa, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menggalakkan kita untuk memperbanyakkan do‘a selagi tidak menyalahi syara‘.
Adapun kaitan do‘a tersebut dengan fadhilatnya sebagaimana yang dinyatakan dalam soalan adalah tidak diketahui sumber sebenarnya, melainkan melalui kitab-kitab yang dikarang oleh ulama sebagaimana yang kita jelaskan di atas. Kemungkinan para ulama yang memulakan do‘a tersebut, telah dibukakan kepada mereka ilmu yang tidak kita ketahui. Ini adalah kerana pendapatan apa-apa jua ilmu itu adalah harus melalui ilmu ladunni atau ilham yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hati-hati yang dekat kepadaNya.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah al-Baqarah: 269)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11001
