Hukum Bermain Catur
Soalan: Apakah hukum bermain catur? Betulkah hukumnya makruh?
Jawapan: Menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali, hukum bermain catur adalah mutlak haramnya, sama ada dengan mempergunakan harta sebagai taruhan ataupun tidak.
Sementara menurut Imam asy-Syafi‘e, hukum bermain catur makruh sahaja dengan syarat tidak menggunakan harta taruhan daripada kedua belah pihak atau daripada satu pihak, dalam makna tidak dijadikan perjudian atau tidak membawa kepada terluputnya waktu untuk menunaikan sembahyang fardhu dan tidak bermain dengan orang yang mengi‘tiqâdkan keharamannya seperti mazhab-mazhab yang tiga di atas. Akan tetapi jika berlaku hal-hal sedemikian maka hukum bermain catur itu haram.
Berkata Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh:
Ertinya: Dan bermain catur (syithranj atau syathranj) hukumnya adalah makruh, jika tidak terdapat syarat pertaruhan wang di antara kedua belah pihak atau satu pihak atau (ia boleh) meluputkan waktu untuk mengerjakan sembahyang, walaupun dengan lupa kerana terlalu sibuk bermain atau bermain dengan orang yang mengi‘tiqâdkan keharamannya. Jika berlaku hal-hal yang demikian, maka haramlah hukumnya. Adapun hadits-hadits dan atsar-atsar yang mencela perbuatan bermain catur itu dimaksudkan jika berlaku hal-hal yang telah disebutkan. Dan jatuh maruah orang yang bermain secara berterusan, oleh sebab itu ditolak kesaksiannya. Dan hukum bermain catur itu adalah haram secara mutlak menurut imam-imam yang tiga. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/471-72)
Menurut Muhammad Sayyid al-Bakri Rahimahullâh ketika mensyarahkan kata-kata Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh mengenai beberapa hadits dan atsar yang melarang bermain catur katanya:
Ertinya: (Daripada hadits-hadits dan atsar-atsar yang mencela perbuatan bermain catur itu) antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kamu lalu di hadapan mereka yang sedang memainkan azlâm ini iaitu dadu, catur dan apa jua perkara yang sia-sia, maka janganlah kamu memberi salam kepada mereka, kerana sesungguhnya mereka itu apabila berkumpul dan asyik di dalam permainan itu, datanglah kepada mereka syaitan dengan tentera-tenteranya, mengelilingi mereka. Setiap kali salah seorang daripada mereka pergi untuk meninggalkan permainan itu maka syaitan bersama tenteranya akan memukulnya lalu mereka masih lagi bermain (meneruskan permainan), sehinggalah mereka berpisah seumpama anjing-anjing yang mengerumuni bangkai lalu memakan sebahagian daripada bangkai itu sehingga perutnya penuh, setelah itu berpisahlah mereka.”
2.
Ertinya: Diriwayatkan juga daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda: “Manusia yang paling berat seksaan di Hari Kiamat ialah shâhib asy-syâh iaitu pemain catur. Apakah engkau tidak memerhatikan dia (pemain catur itu) mengatakan: “Aku telah membunuhnya (menawannya), demi Allah matilah (tertawanlah) dia”. Demi Allah itu hanya mengada-ada dan dusta terhadap Allah.
Ertinya: (Di dalam sebuah atsar) Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah telah berkata: “Catur itu adalah judi bagi orang-orang a‘jam (bangsa bukan Arab, seperti Parsi). Dan beliau Radhiallâhu ‘anhu pernah lalu di hadapan kaum yang sedang bermain catur, lalu berkata: “Apakah hakikatnya patung-patung (buah catur yang berbentuk patung kuda, raja, tentera dan lain-lain) ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya? Adalah lebih baik salah seorang daripada kamu menyentuh bara sehingga ia padam daripada dia menyentuh patung-patung itu”, kemudian beliau berkata: “Demi Allah, bukan untuk ini kamu dijadikan.” Beliau Radhiallâhu ‘anhu berkata lagi: “Pemain catur adalah orang yang paling banyak berdusta (kerana) salah seorang daripada mereka berkata: “Aku telah membunuhnya (menawannya), padahal ia tidak membunuh (menawan) dan dia mati (ditawan) padahal dia tidak mati (ditawan).” (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/472)
Kesimpulan
Daripada penjelasan di atas, maka bermain catur, menurut mazhab kita, dihukumkan makruh sekiranya permainan itu tidak disertai dengan perkara-perkara haram seperti membuat taruhan atau perjudian. Tetapi ia akan menjadi haram jika sampai melalaikan untuk menunaikan kewajipan sembahyang atau tanggungjawab lain yang wajib dilaksanakan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11006
