Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Hukum Isteri Menjauhkan Diri Daripada Suaminya

Soalan: Berdosakah seorang isteri menjauhkan diri daripada suaminya?

Jawapan: Kewajipan Seorang Isteri Isteri wajib menjalankan tanggungjawabnya dalam menunaikan hak-hak suaminya sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abdullah bin Abu ‘Awfa, Baginda bersabda:

Maksudnya: Demi (Allah) yang memegang nyawa Muhammad di dalam tanganNya, tidaklah seorang perempuan (isteri) itu menunaikan hak Tuhannya sehingga dia menunaikan hak suaminya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kewajipan Taat Kepada Suami Suami merupakan pemimpin atau ketua bagi sebuah keluarga. Antara hak seorang suami yang wajib dilaksanakan oleh isteri ialah isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan kehendak hukum syara‘.ََ Perintah untuk mentaati suami selain disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an, diperjelaskan juga dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. (Surah an-Nisâ’: 34)

Antara hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menerangkan tentang kewajipan taat kepada suami ialah:

i. Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika aku boleh memerintahkan seseorang supaya sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan (isteri) sujud kepada suaminya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan kepada hadits di atas, isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya (iaitu dari segi ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya) sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suami mereka. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja dan tidak pada yang selainNya. (Kitab Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jâmi‘ at-Tirmidzi: 4/253)

ii. Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika suami mengajak isterinya tidur, lalu isteri tidak mahu melayaninya, maka dia (isteri) dikutuk oleh malaikat hingga ke pagi hari. (Hadits riwayat al-Bukhari)

iii. Hadits yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiga golongan (manusia) yang tidak diterima (Allah) sembahyang mereka dan tidak akan diangkat kepada Allah (satu pun) daripada kebaikan mereka; orang yang mabuk sehingga dia sedar daripada mabuknya, isteri yang dimurkai ke atasnya (oleh) suaminya, hamba yang melarikan diri sehingga dia kembali semula (kepada tuannya) dan meletakkan tangannya pada tangan tuannya (tanda patuh). (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Ganjaran Taat Kepada Suami

Isteri yang menjalankan tanggungjawab dan hak suaminya akan menerima ganjaran yang sangat besar jika suaminya redha terhadapnya. Perkara ini ada diterangkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Mana-mana perempuan (isteri) yang mati dan suaminya redha kepadanya (isteri), maka (isteri itu) akan masuk syurga. (Hadits riwayatََ at-Tirmidzi )

Dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan juga taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana yang engkau sukai.” (Hadits riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, isteri perlu faham bahawa salah satu kriteria yang wajib dilaksanakan bagi membolehkannya masuk syurga ialah dengan mentaati suami pada perkara yang dibenarkan syara‘.

Tidak Taat Kepada Suami

Isteri yang tidak taat kepada suami dalam perkara yang tidak bertentangan dengan agama adalah dinamakan nusyûz.

Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ, nusyûz bererti keluar daripada ketaatan. (I’ânah ath-Thâlibîn: 1/574)

Dalam erti lain, nusyûz ialah keluar daripada mentaati perintah suami. Ini terjadi apabila isteri tidak menghiraukan atau menjalankan hak suami atas dirinya. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/581)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, nusyûz adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 422)

Antara tanda-tanda nusyûz seorang isteri itu ialah seperti menjawab kasar pertanyaan suami jika dahulunya berlemah lembut, merungut jika dahulunya peramah, menjauhkan diri jika dahulunya memeduli. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj dalam kitab Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 7/566)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyûz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya), kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (Surah an-Nisâ’: 34)

Dari ayat di atas, dapat difahami bahawa jika suami melihat ada tanda-tanda nusyûz pada kelakuan isterinya, maka suami hendaklah memberi tunjuk ajar kepada isterinya dengan baik dan menyedarkan akan kesalahannya itu. Iaitu bermula dengan memberi nasihat dan jika masih tidak didengar, hendaklah suami memisahkan diri dari isterinya di tempat tidur dan jika masih tidak berkesan juga, hendaklah suami memukulnya dengan kadar pukulan yang ringan iaitu yang tidak meninggalkan kesan sehinggalah dia (isteri) mentaati semula suaminya. Isteri yang taat bukanlah semata-mata tunduk kepada suaminya, tetapi taat di sini bererti isteri yang tahu akan hak dan kewajipannya terhadap suaminya dan dapat menjaga rumahtangganya dengan baik.

Maka berdasarkan kepada soalan yang diajukan, menjauhkan diri boleh membawa erti kepada tidak memeduli atau tidak menghiraukan suami. Apabila ini terjadi, ditakuti akan terjadi nusyûz jika isteri tidak mentaati perintah suami.

Seperti yang telah diterangkan, hukum isteri yang nusyûz adalah berdosa besar dan adalah diwajibkan ke atasnya untuk segera bertaubat dan kembali semula mentaati suaminya. Ini kerana berbagai-bagai ancaman dan kerugian telah diterangkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang akibat mengabaikan hak suami yang wajib dijalankan oleh isteri.

Oleh itu, untuk menjadi isteri yang shâlihah, hendaklah isteri itu taat kepada suami yakni tidak menjauhkan diri dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syara‘ dengan menjalankan segala tanggungjawabnya terhadap suami dalam rumahtangga supaya beroleh ganjaran dan keuntungan yang telah dijanjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11010