Hukum Lebihan Wang Kutipan Derma Bagi Bakal-Bakal Haji
Soalan: Kementerian Pendidikan mengadakan kutipan kewangan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan setiap menjelang musim haji bagi maksud dihadiahkan kepada bakal-bakal haji yang menunaikan ibadat haji pada tahun berkenaan.
Masalah yang timbul sekarang, walaupun Kementerian ini telah berusaha untuk mengagih-agihkan kutipan tersebut kepada bakal-bakal jemaah haji dalam satu majlis khas bagi meraikan mereka setiap tahun, masih terdapat wang kutipan yang berlebihan kerana tidak dituntut, tidak mencukupi untuk diagih-agihkan kepada semua dan lain-lainnya.
Sehubungan dengan itu dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai masalah di bawah ini:
1. Bolehkah lebihan wang itu digunakan dan dihadiahkan kepada bakal-bakal haji yang baru atau akan datang? Jika tidak, Bolehkah wang tersebut diserahkan sahaja kepada Baitul-Mal Majlis Ugama Islam?
2. Bolehkah juga kutipan derma itu digunakan bagi menampung perbelanjaan makanan, peralatan dan penyelenggaraan majlis meraikan bakal-bakal haji?
Jawapan: Kewajiban Meyalurkan Derma Menurut Tujuannya
Setiap kutipan derma yang dibuat mesti mempunyai tujuan yang sekurang-kurangnya menerangkan kepada para penderma tentang ke manakah kutipan derma tersebut hendak disalurkan atau diagihkan.
Kutipan derma kerana sesuatu tujuan adalah wajib hukumnya disalurkan atau diagihkan menurut sebagaimana tujuan derma itu dibuat, kerana tujuan itulah pada dasarnya merupakan niat para penderma dalam menghulurkan derma-derma mereka.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada bersabda yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya amalan-amalan itu adalah bergantung dengan niat dan sesungguhnya (balasan) setiap (amalan) seseorang itu menurut apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Pengelola Derma Adalah Pemegang Amanah
Dalam menyalurkan atau mengagihkan sesuatu derma, pengelola derma sebagai pemegang amanah adalah wajib memelihara tujuan sesuatu derma itu dibuat yang merupakan niat para penderma. Oleh itu adalah haram hukumnya mereka menyalurkan atau mengagihkan derma yang mereka kelolakan ke arah satu tujuan yang berlainan daripada tujuan asal sesuatu derma itu dibuat tanpa mendapat izin daripada kesemua para penderma yang menghulurkan derma tersebut. Ini kerana perbuatan sedemikian dikira mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.
Daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang penyimpan harta yang Muslim lagi amanah yang melaksanakan (tanggungjawabnya), dan kemungkinan juga Baginda bersabda: “Memberikan apa yang diperintahkan kepadanya”, maka dia (penyimpan harta) itu melaksanakan dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada dua orang yang bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Baki Atau Lebihan Sesuatu Derma
Bagi memelihara tujuan asal derma yang dikelolakan dan sekaligus memelihara niat orang yang telah menghulurkan derma, maka lebihan derma yang dikutip bagi bakal-bakal haji pada tahun berkenaan sama ada kerana tidak dituntut atau kerana tidak mencukupi untuk diagih-agihkan kepada semua bakal haji, maka derma tersebut boleh disalurkan atau diagihkan di majlis yang serupa di tahun-tahun yang akan datang dengan syarat pihak pengelola derma hendaklah terlebih dahulu memaklumkan dengan tujuan meminta izin kepada para penderma yang telah menghulurkan derma tersebut, kerana di dalam tujuan asal kutipan derma yang dibuat ada menyatakan bahawa derma tersebut akan dihadiahkan kepada bakal-bakal haji yang menunaikan haji pada tahun berkenaan, bukannya di tahun-tahun yang akan datang.
Lebihan wang kutipan derma tersebut adalah tidak boleh diserahkan kepada Baitul-Mal Majlis Ugama Islam atau digunakan bagi menampung perbelanjaan makanan, peralatan dan penyelenggaraan majlis meraikan bakal-bakal haji, kerana ia menyalahi tujuan asal kutipan derma tersebut dibuat dan sekaligus menyalahi niat orang-orang yang telah menghulurkan derma.
Sebagai saranan, setiap derma yang akan dibuat pada masa akan datang di samping diterangkan tujuan sesuatu derma itu dengan jelas kepada penderma, adalah perlu juga diterangkan kepada penderma ke mana baki sesuatu derma itu hendak disalurkan atau diagihkan jika derma yang dikutip mempunyai baki atau lebihan. Dengan demikian, tidak akan timbul lagi masalah berhubung dengan baki atau lebihan wang kutipan derma.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11013
