Hukum Melambatkan Sembahyang Dan Sengaja Meninggalkannya
Soalan: Adakah seseorang itu boleh dianggap sebagai kafir kerana meringan-ringankan sembahyang, seperti selalu melambatkan sembahyang dan sengaja meninggalkan sembahyang?
Jawapan: Sembahyang merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan oleh orang Islam yang mukallaf menurut syarat-syarat yang tertentu. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (Surah an-Nisâ’: 103) Menurut hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda mengutus Mu‘az bin Jabal ke negeri Yaman, Baginda bersabda kepadanya:
Maksudnya: Khabarkanlah kepada mereka (penduduk Yaman) sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada tiap-tiap siang dan malam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim) Melengahkan Sembahyang Adalah afdhal (lebih utama) menunaikan sembahyang itu pada awal waktu. Ini berdasarkan riwayat oleh Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Saya bertanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah?”َ Baginda bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Di dalam hadits yang lain pula Ummu Farwah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya: “Apakah di antara amalan-amalan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits di atas, sembahyang pada awal waktunya merupakan perkara yang disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sangat dianjurkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan tujuan memperolehi fadhilatnya di samping mengelakkan daripada berlaku kelalaian sehingga luput waktu sembahyang itu.
Jika seseorang itu melakukan sembahyang pada akhir waktu disebabkan suatu keuzuran dan sempat melakukan satu rakaat daripada sembahyang fardhu itu, maka dikira dia telah menunaikannya. Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang sempat mendapatkan satu rakaat daripada sembahyang (di dalam waktunya), maka dia telah mendapat (sembahyang) kesemuanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jika seseorang itu ingin mengakhirkan sembahyangnya kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia berniat dan berazam untuk menunaikannya dalam waktunya.
Untuk jelasnya, apabila telah masuk waktu bagi mana-mana sembahyang yang lima itu, wajiblah ke atas orang Islam yang mukallaf itu membuat salah satu daripada dua perkara iaitu sama ada menunaikan serta-merta sembahyang itu atau akan melambatkan sembahyangnya, tetapi berazam dan berqashad akan menunaikan sembahyang itu di dalam waktunya. Jika dia tidak menunaikan serta-merta sembahyang itu dan tidak pula dia berazam dan berqashad untuk mengerjakan sembahyang itu dalam waktunya, maka dia telah membuat suatu dosa. Jika dia telah berazam hendak mengerjakan sembahyang itu dalam waktunya kemudian dia mati padahal waktu sembahyang itu masih luas, maka tidaklah dia berdosa, sebab sembahyang itu mempunyai waktu yang tertentu atau terhad dan jika dia melewati waktu yang terhad itu dengan tidak mengerjakan sembahyang itu nescaya dia berdosa.ََ
Berkata Imam Ibnu Hajar dalam kitab az-Zawâjir bahawa dosa besar yang ketujuh puluh tujuh (77) ialah sengaja menunaikan atau mengerjakan sembahyang di luar waktunya. (Az-Zawâjir: 1/220)
Hukuman Bagi Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
Hukum bagi orang yang meninggalkan sembahyang tetapi tidak mengingkari kewajipannya (mengaku akan wajibnya hukum sembahyang itu) ada dua bahagian:
Pertama: Meninggalkan sembahyang kerana uzur syar‘i seperti tidur, lupa dan lain-lain jenis uzur syar‘i, maka wajib ke atasnya qadha’ sembahyang dan dia tidak berdosa.
Kedua: Meninggalkan sembahyangََ tanpa sebarang keuzuran kerana malas atau melalai-lalaikan dan mempermudah-mudahkannya sehingga habis waktunya adalah berdosa.
Menurut Imam an-Nawawi, jika dia meninggalkan sembahyang tanpa sebarang keuzuran, maka hukumnya berdosa dan dia wajib dihukum bunuh jika dia berterusan meninggalkan sembahyang itu semata-mata kerana malas atau meringan-ringankannya dan dia tidak dihukumkan kafir pada qaul al-ashah. Hukum bunuh ke atas orang yang meninggalkan sembahyang itu tidak dijalankan kecuali setelah disuruh atau diminta dia bertaubat terlebih dahulu. Menurut pendapat al-ashah taubat itu mesti dilakukannya waktu itu juga (serta-merta) setelah disuruh. Menurut ulama asy-Syafi‘e, meninggalkan sembahyang tanpa sebarang keuzuran tidak dihukum bunuh sebelum dia disuruh bertaubat.
Mengenai dengan cara hukum bunuh itu dilakukan menurut al-Buwaithi iaitu dengan cara memancung tengkuknya dengan sebilah pedang sebagaimana hukuman yang dijalankan ke atas orang murtad. Sementara menurut Ibnu Suraij pula, dicucuk punggungnya dengan besi atau dipukul dengan kayu sambil dikatakan kepadanya: “Sembahyanglah engkau, jika tidak, kami akan membunuhmu”, dengan berulang-ulang sehingga dia mengerjakan sembahyang atau sehingga dia mati. (Al-Majmû‘: 3/16-17)
Orang yang meninggalkan sembahyang kerana bermalas-malas dengan dia beri‘tiqâd wajibnya sembahyang itu, pendapat al-masyhûr dalam mazhab asy-Syafi‘e ialah dia dihukum bunuh secara hadd dan tidak dihukumkan kafir. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam Malik dan kebanyakan ulama salaf dan khalaf. Sebahagian mereka pula menghukumkan kafir dan dijalankan ke atas mereka hukum murtad dalam semua perkara.َ (Al-Majmû‘: 3/18-19)
Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau sebab malas sehingga habis waktunya itu adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Akibat mereka yang meninggalkan sembahyang itu sudah pasti merupakan suatu dosa yang besar. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Surah al- Mâ‘ûn: 4-5)
Firman Allah Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat; maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Surah Maryam: 59)
Sementara itu banyak hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai mempunyai tanda kekufuran, antaranya:
i. Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya jurang pemisah antara seseorang itu dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
ii. Daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perjanjian yang dibuat (oleh Allah) untuk membezakan di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Bagi mereka yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja atau mencuai-cuaikannya seperti dalam pelayaran, perayaan, jamuan, majlis dan seumpamanya, maka orang yang mencuaikan sembahyang fardhu itu adalah orang fâsiq dan membuat dosa dan ditakuti dia mati dalam sû’ al-khâtimah (mati dalam kesudahan yang tidak baik sama ada mati dalam dosa besar atau kufur). Maka wajiblah ke atasnya mengqadha’ sembahyang fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja atau yang dicuaikan itu dengan membuat dan mendatangkan sembahyang yang ditinggalkan itu dengan segera. Wajib juga dia bertaubat kepada Allah Ta‘ala kerana perbuatannya meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja itu adalah dosa besar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11017
