Hukum Melayari Internet
Soalan: Apakah hukum melayari internet?
Jawapan: Dalam Kamus Dewan, istilah ‘melayari’ dalam konteks penggunaannya bersama perkataan internet membawa maksud mencari dan mendapatkan maklumat, data dan sebagainya dalam internet.
Selain mendapatkan maklumat, pengguna-pengguna internet juga menggunakan teknologi tersebut untuk berkomunikasi dengan orang lain. Dari dua tujuan asas itu, maka pelbagai aplikasi komputer telah direka bagi memenuhi keperluan-keperluan penggunanya.
Kebanyakan orang yang melayari internet selain untuk membaca dokumen atau laman-laman web, biasanya mereka juga menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di dalamnya seperti mengirim e-mail, berbual di ruang chat, downloading atau memuat turun fail dan sebagainya. Sebahagian pengguna menggunakannya untuk bersuka-suka (leisure) dan sebahagian lagi memanfaatkannya sebagai satu keperluan (necessity). Terdapat juga kumpulan pengguna yang menjadikan internet sebagai satu kemestian bagi memenuhi tugasan-tugasan atau bagi melengkapi kegunaan-kegunaan harian mereka. Oleh sebab itu, berbeza sedikit daripada ta‘rîf bahasanya, penggunaan ungkapan melayari internet pada praktiknya lebih umum merangkumi perbuatan memanfaatkan dan menggunakan teknologi itu sendiri serta kemudahan-kemudahannya sekali pada kadar yang biasa.
Di sebalik keupayaannya untuk memenuhi pelbagai tujuan penggunanya, internet pada dasarnya hanya merupakan tool atau alat bantu untuk mencapai tujuan-tujuan tersebut. Dalam ertikata yang lain, manfaat melayari internet itu bergantung kepada niat penggunanya sendiri. Jika ia digunakan bagi tujuan yang baik, faedahnya juga akan memberi kebaikan kepada penggunanya. Sebaliknya jika digunakan bagi tujuan yang tidak bermanfaat, ia akan menjadi sia-sia bahkan akan menjadi suatu kemudharatan. Pendek kata, internet dapat diibaratkan seperti serampang dua mata.
Dalam agama, nilai-nilai yang baik bukan hanya diukur daripada perspektif keduniaan yang mengutamakan unsur mashlahat hidup manusia. Lebih utama daripada itu, Islam telah mengajarkan agar setiap perbuatan itu ditunjangi oleh matlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Syariat Islam telah didasari oleh matlamat ini. Maka untuk menetapkan hukum melayari internet itu perlulah disukat daripada aspek sejauh mana pengguna teknologi tersebut memelihara tuntutan mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu ataupun sebaliknya.
Jika tujuan melayari internet itu adalah semata-mata untuk mencari atau mendapatkan maklumat seperti bahan berita, informasi tentang suatu perkara atau sebagainya, tidak syak lagi perbuatan itu sesuatu yang mubâh atau harus. Begitu juga halnya dengan mengutus surat melalui e-mail atau berkomunikasi dengan orang lain melalui talian seperti online chat, video conference dan lain-lain lagi. Internet sekarang juga digunakan untuk menonton filem dan siaran televisyen, mendengar radio, melakukan transaksi perniagaan dan lain-lain lagi. Perkara-perkara tersebut asalnya harus dilakukan untuk keperluan manusia, selama mana tujuan dan natijahnya adalah baik, tidak bertentangan dengan adab sopan dan agama.
Apabila maklumat yang dicari berkait dengan tuntutan ajaran agama seperti bahan-bahan bacaan ilmiah, baik ilmu agama mahupun ilmu fardhu Kifayah yang lain, melayari internet bukan setakat diharuskan, bahkan ia juga baik untuk dilakukan dan dipandang mustahabb oleh agama. Perkara ini sehaluan dengan seruan agama yang mewajibkan penganutnya untuk menuntut ilmu. Perkembangan dunia internet telah menyaksikan teknologi tersebut menjadi wadah menuntut ilmu yang berkesan, mudah didapati untuk memenuhi keperluan pengguna-penggunanya. Dengan mekanisme-mekanisme seperti pembelajaran jarak jauh, e-learning, e-tutor dan sebagainya, seseorang sudah boleh memperolehi ijazah atau sijil-sijil daripada universiti atau institusi-institusi pengajian seberang laut walaupun tanpa meninggalkan kampung halamannya.
Seseorang juga boleh mendapatkan konsultasi atau khidmat nasihat profesional dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, teknologi maklumat, pengurusan, perniagaan dan lain-lain dengan mengakses portal-portal maklumat yang berkaitan dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada.
Di samping itu, internet berupaya menjadi media dakwah melalui prasarana perhubungan yang ada di dalamnya. Ini dapat dilakukan melalui perkongsian maklumat dan ilmu-ilmu agama bersama rakan-rakan chat, memberikan nasihat kepada yang memerlukan dan menyebarkan kata-kata yang baik kepada orang lain. Alat-alat perhubungan tersebut juga dapat digunakan untuk bertukar-tukar khabar berita dalam merapatkan hubungan silaturahim sesama saudara Muslim. Melayari internet untuk tujuan-tujuan seperti ini tidak syak lagi adalah positif dan baik.
Walau bagaimanapun, internet juga boleh digunakan untuk tujuan yang negatif yang tidak berfaedah, yang boleh menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Berbual-bual kosong yang terlalu lama di ruang chat, menonton klip-klip hiburan atau bermain network game secara berlebihan, semuanya itu boleh menyebabkan kelalaian dan pembaziran semata-mata. Penggunaan internet dalam hal-hal seperti ini adalah bâthil dan salah di segi agama. Dalam Islam, seseorang itu hanyalah dituntut untuk melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan kebaikan semata-mata.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tamaklah (bersungguh-sungguhlah) untuk merebut apa jua perkara yang mendatangkan manfaat kepadamu dan pohonkanlah pertolongan kepada Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Abu Barzah al-Aslamiy Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak bergerak kedua belah kaki seseorang hamba itu pada Hari Kiamat sehinggalah dia ditanya bagaimanakah dia telah menghabiskan umur hidupnya, apakah yang telah dilakukannya dengan ilmu pengetahuannya, dari manakah dia memperolehi hartanya dan di jalan manakah pula dia telah membelanjakannya dan dalam perkara apakah dia telah menyibukkan tubuh-badannya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Bahkan melayari internet itu akan menjadi dosa apabila ia menyebabkan seseorang terlalai daripada mengingati Allah dan melakukan suruhan-suruhanNya. Misalnya, terlalu asyik melayari internet sehingga sembahyang tidak ditunaikan atau lain-lain kewajipan seumpamanya.
Begitu juga jika melayari internet itu boleh menyumbang kepada lain-lain maksiat dan mungkar, seperti melayari klip-klip video pornografi dan fail-fail imej yang mempromosikan kemungkaran. Memuat-turunkan bahan-bahan tersebut untuk dilihat, ditonton, dikongsi dan disebarkan kepada orang lain, adalah perbuatan maksiat yang sangat-sangat dilarang oleh Islam. Bagi penggiat-penggiat judi, internet juga boleh dijadikan sebagai industri perjudian mereka. Begitu juga internet boleh digunakan untuk menabur fitnah, menyebarkan maklumat palsu, mengumpat, mencerca dan sebagainya. Pendeknya, internet juga adalah berpotensi untuk menjadi sebab berlakunya pelbagai kemungkaran dan maksiat.
Dari sudut sejarah dan prospek teknologi, internet akan terus berkembang sejajar dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi manusia. Fungsi dan kegunaannya juga akan menjadi semakin luas dengan meningkatnya tahap keperluan pengguna.
Jadi sebagai rumusan, hukum melayari internet adalah tertakluk kepada bagaimana ia digunakan serta juga tujuan penggunaannya itu. Jika ia digunakan dengan betul yang lahir daripada niat atau tujuan yang baik, maka sudah tentu hasilnya adalah baik pula. Jika sebaliknya penggunaan itu hanya untuk melayani keinginan-keinginan yang bertentangan dengan norma-norma akhlak dan agama, maka sudah barang tentu hasilnya buruk, membawa kepada dosa dan kemudharatan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11021
