Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Hukum Memakai Minyak Harum Atau Minyak Rambut Yang Mengandungi Alkohol Ketika Sembahyang

Soalan: Apakah hukum memakai minyak harum (perfume), minyak rambut dan lain-lain yang mengandungi alkohol ketika sembahyang?

Jawapan: Di antara syarat-syarat sah sembahyang ialah bersih tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis. Najis yang terdapat pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang boleh menyebabkan sembahyang seseorang tidak sah.

Pengertian Alkohol Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara. i. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates) ii. Sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17) Cara yang pertama itu merupakan cara bagaimana menghasilkan khamr (arak) atau minuman yang memabukkan.

Kenajisan Arak Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullâh, arak adalah najis berdasarkan firman Allah Ta‘ala: (al-Majmû‘: 2/581)

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.

Ini bermaksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Dari itu, dapat difahami bahawa semata-mata alkohol bukanlah najis selama mana ia tidak diambil daripada arak, kerana tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan. Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan, maka memakan tapai itu adalah haram.

Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia yang sifatnya sangat memudharatkan seperti racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah. (Ahsan al-Kalâm fi al-Fatâwâ wa al-Ahkâm: 1/220).

Imam an-Nawawi Rahimahullâh mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair:

Ertinya: Setiap yang memabukkan lagi cair. (Mughnî al-Muhtâj: 1/225)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas berkata:

Ertinya: (Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal.” (Tuhfah al-Muhtâj: 1/99)

Ibnu Hajar Rahimahullâh menghuraikan lagi:

Ertinya: (Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/99)

Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.

Hukum Alkohol Daripada Arak

Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak harum atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa keperluan yang syar‘i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh:

Ertinya: Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar‘i). (al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)

Dengan itu, tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak harum atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.

Hukum Alkohol Sintetik Atau Tiruan Daripada Campuran Bahan Kimia

Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan sepertimana racun.

Bagaimanapun minyak harum atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.

Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak harum atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.

Perkara Yang Meragukan Hendaklah Ditinggalkan

Tetapi yang menjadi persoalan ialah kita tidak dapat memastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak harum atau minyak rambut itu, adakah ia diambil daripada sumber yang suci atau najis.

Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa beliau telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang bersabda:

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam hadits yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharaman sesuatu perkara adalah menandakan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan sesiapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhat (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak harum atau minyak rambut sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah lebih selamat perkara tersebut ditinggalkan daripada menggunakannya. Lagipun di pasaran banyak terdapat minyak harum atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi pilihan kita.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11029