Hukum Membaca Kitab Injil
Soalan: Apakah hukum seorang Muslim atau Muslimah membaca kitab Injil terjemahan Melayu?
Jawapan: Salah satu rukun iman dalam Islam ialah beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada para anbiyâ’ dan rasulNya dan antara kitab yang wajib bagi umat Islam beriman dengannya ialah kitab Injil yang diwahyukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm. Akan tetapi adakah sama kitab Injil yang dimaksudkan itu dengan kitab yang berada di tangan umat Kristian sekarang ini?
Sesungguhnya kitab Injil yang wujud pada masa ini telah jauh diselewengkan, yakni ia bukan lagi kitab Injil sebagaimana yang diturunkan kepada Nabi Isa ‘Alaihissalâm.
Penyelewengan Dan Pemalsuan Dalam Kitab Injil
Secara umumnya, kitab-kitab suci bagi penganut agama Kristian ini dikategorikan kepada dua bahagian utama iaitu Perjanjian Lama (The Old Testament), yang mengandungi kitab Taurat dan Zabur (Psalms) dan Perjanjian Baru (The New Testament). Dalam Perjanjian Baru ini terdapat beberapa buah kitab termasuklah kitab Injil (The Bible atau The Gospel) yang disandarkan penulisannya kepada Mark, Matthew, Luke dan yang terakhir sekali John.
Dengan penulis yang berlainan ini, segala tafsiran dan huraian bagi kitab ini juga turut berbeza, dan ini sudah jelas menunjukkan kitab Injil yang digunapakai oleh penganut agama Kristian sekarang ini telah jauh berubah daripada yang asli. Apatah lagi kitab Injil yang ada sekarang ini mempunyai berbagai bentuk dan versi dan sentiasa diperbaharui, dipinda dan diubah suai. Hasilnya, wujudlah pelbagai bentuk dan versi kitab Injil, antaranya versi Khatolik, versi Protestant atau versi King James, Revised Version, American Standard Version, Revised Standard Version dan bermacam-macam versi lain dengan isi kandungan yang berbeza tetapi tetap menggunakan nama yang sama iaitu ‘The Bible’.
Ramai pengkaji, para intelek dan ahli falsafah silam dan kini, termasuk dari negara barat sendiri yang mengkaji dan meneliti kitab-kitab Injil, telah mengatakan terdapat banyak penyelewengan dan pemindaan yang berlaku di dalamnya sehingga menimbulkan persoalan dan keraguan tentang keshahîhannya sebagai wahyu atau firman Tuhan. Mereka mengatakan kitab Injil ini sebenarnya kitab yang telah diolah dan direkacipta menurut pemikiran, fahaman dan hawa nafsu manusia semata-mata.
Bahkan sesetengah fasal dan bab dalam kitab-kitab tersebut tidak diketahui asal usulnya dan siapa penulisnya yang sebenar, bahkan ada yang menyatakan mungkin ia hanya rekaan atau dongeng semata-mata. (The Bible Story: 101-118/Adakah Bible Kalam Tuhan? – terjemahan dari buku Is The Bible God’s Word?: 48 – 73, 97 – 104)
Kenyataan yang timbul tentang penyelewengan Injil ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang baru tetapi telah dirakamkan dalam al-Qur’an. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Mâi’dah:
Tafsirnya: Wahai ahli kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) dengan menerangkan kepada kamu banyak daripada (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan daripada kitab suci. Dan dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang telah kamu sembunyikan). (Surah al-Mâ’idah: 15)
Seorang ulama Kristian silam, William Tyndale (1492-1536), yang berperanan besar dalam menterjemahkan dan menafsirkan Injil ke dalam bahasa Inggeris secara langsung daripada manuskrip asalnya (manuskrip Injil dalam bahasa Ibrani dan Yunani), mengakui bahawa terdapat ribuan kesilapan dalam kitab Injil yang diterjemahkannya, yang membuktikan ia telah diselewengkan semenjak berzaman lagi. Disebabkan kenyataannya itu, akhirnya dia telah dijatuhkan hukuman bunuh pada tahun 1536 Masihi.
Seorang ulama dan pendakwah Islam masa kini, Syeikh Ahmad Hoosen Deedat dalam kitabnya Is The Bible God’s Word? menyatakan bahawa isi kandungan Injil dapat dikategorikan kepada tiga bentuk utama iaitu apa yang boleh dikategorikan sebagai firman Tuhan, yang boleh dikategorikan sebagai kata-kata atau sabda Nabi dan yang terakhir sekali, catatan atau tulisan manusia atau para saksi mata atau telinga dan tulisan yang terhasil daripada cerita-cerita dan khabar yang mereka dengar.
Kelompok yang ketiga ini boleh dikategorikan sebagai ucapan atau tulisan ahli sejarah dan bahagian yang ketiga inilah yang meliputi hampir keseluruhan isi kitab Injil yang ada sekarang. Jadi adakah sebuah ‘kitab suci’ yang bercampur aduk dengan tulisan atau catatan manusia yang hakikatnya tidak pernah berjumpa ataupun mendengar wahyu secara langsung daripada nabi mereka itu boleh dikatakan suci bahkan dikatakan kalâm Tuhan?
Apatah lagi dengan adanya pelbagai versi dan cetakan Injil yang ada sekarang, percanggahan dari segi bahasa, makna, riwayat dan percanggahan antara satu ayat dengan ayat yang lainnya, bahkan percanggahan ayat-ayatnya dari sudut logik akal boleh dilihat dengan jelas dan nyata.
Bahkan percanggahan ini juga berlaku pada ayat-ayat yang menerangkan tentang aqidah Kristian sendiri seperti yang diketahui tunggak kepercayaan dan aqidah Kristian ialah aqidah تحثْلَيْث (Tatslîts atau Triniti) yang bermaksud wujud tuhan itu tiga (Bapa, Anak dan Roh Kudus) dan bersatu dalam satu ketuhanan, atau keesaan dari tiga wujud tuhan iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus. (Collins Concise Dictionary Revised Third Edition/Kamus Dewan Edisi Keempat).
Bahkan umat Kristian percaya bahawa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm itu anak tuhan dan juga tuhan. Perkara seumpama ini disebutkan berulang kali dalam Perjanjian Lama dan Baru termasuklah dalam kitab Injil.
Tetapi menurut beberapa pengkaji Islam dan barat, yang telah mengkaji kitab-kitab Injil versi lama dan baru, terdapat ayat-ayat dalam kitab tersebut yang menyatakan dengan jelas bahawa Tuhan itu tunggal (satu) dan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm itu bukan anak Tuhan tetapi hanya seorang pesuruh atau rasul Allah, dan Tuhan itu tidak mempunyai anak. Sedangkan di beberapa kitab Injil yang lain menyatakan yang sebaliknya. Jadi yang mana satukah yang sepatutnya menjadi ikutan, sedangkan kedua-dua penyataan ini datang daripada kitab suci mereka?
Sebagai contoh ayat-ayat yang bercanggah yang terdapat dalam Perjanjian Lama dan Baru:
i. “…… Inilah Anak yang Kukasihi, kepadaNyalah Aku berkenan.” (Matius, fasal 3, ayat 17)
ii. “Berbahagialah segala orang yang mendamaikan orang, kerana mereka itu akan disebut anak-anak Allah.” (Matius, fasal 5, ayat 9)
Ayat pertama jelas menyatakan bahawa Tuhan itu mempunyai anak iaitu Jesus (Nabi ‘Isa), tetapi dalam ayat yang kedua menyatakan bahawa setiap manusia yang mendamaikan orang lain juga adalah anak-anak Allah.
Dalam ayat-ayat berikut jelas menyebutkan bahawa Jesus itu bersatu dengan tuhan bapa, maka dia juga adalah tuhan dan tuhan itu tiga menjadi satu.
iii. “Aku dan BapaKu satu adanya.” (Yohanes, fasal 10, ayat 30)
iv. “Tidakkah kau percayai Aku ini di dalam Bapa dan Bapa dalam Aku.” (Yohanes, fasal 14, ayat 10)
v. “Maka sesungguhnya yang memberi kesaksian di langit (di syurga) itu tiga iaitu Bapa, Kalimah (Nabi ‘Isa), dan Roh Kudus, dan ketiganya adalah satu.” (Surat Yohanes I, fasal 5, ayat 7)
Tetapi dalam kitab-kitab Perjanjian Lama dan Baru juga ada menyebutkan bahawa Allah itu Esa (tunggal) dan Jesus itu bukan anak Allah tetapi pesuruhNya.
vi. “Inilah hidup yang kekal, iaitu supaya mereka mengenal Engkau, Allah yang Esa dan Jesus yang Engkau suruhkan itu.” (Yohanes, fasal 17, ayat 3)
Manakala dalam ayat-ayat yang lain juga menyatakan bahawa Tuhan itu Esa, bukan dua atau tiga.
vii. “Maka jawab Jesus kepadanya. Hukum yang terutama ialah: Dengarlah olehmu hai Israil, adapun Allah Tuhan kita, ialah Tuhan yang satu.” (Markus, fasal 12, ayat 29)
viii. “…Bahkan Dia (Tuhan) Esa, dan bahwa tidak ada yang lain kecuali Dia.” (Markus, fasal 12, ayat 32)
ix. “Maka sekarang ketahuilah olehmu dan perhatikanlah ini baik-baik, bahawa Tuhan itulah Allah, baik di langit baik di bumi yang di bawah dan kecuali Dia tiadalah lain.” (Ulangan, fasal 4, ayat 39)
Menurut kajian Syeikh Ahmad Hoosen Deedat, ayat yang menyebutkan tentang aqidah Triniti (Surat Yohanes I, fasal 5, ayat 7), telah dibuang daripada cetakan Injil R.S.V, (Revised Standard Version) yang dicetak dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1971, tetapi tujuan atau alasan mengapa ia dibuang masih kabur. Tetapi kitab Injil dalam bahasa yang lain masih ada menyebutkan ayat tersebut.
Percanggahan ayat-ayat seperti ini, jelas membuktikan kitab tersebut telah dicampuri oleh tangan manusia yang mengubah atau menambah mengikut hawa nafsu mereka. Perkara seumpama ini sememangnya telah dirakamkan dalam al-Qur’an, yang menceritakan tentang perbuatan ahli kitab yang menukar dan menambah ayat-ayat dalam kitab Taurat dan Injil. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Mâ’idah:
Tafsirnya: Mereka sentiasa mengubah kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar. Dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya. (Surah al-Mâ’idah: 13)
Dalam surah al-Baqarah:
Tafsirnya: Padahal sesungguhnya telah ada satu puak daripada mereka yang mendengar kalâm Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (perbuatan itu salah)? (Surah al-Baqarah: 75)
Dan dalam surah Âli ‘Imran:
Tafsirnya: Wahai ahli kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah (menutupi firman-firman Allah yang termaktub dalam Taurat dan Injil dengan perkataan-perkataan yang dibuat-buat mereka (ahli kitab) sendiri), dan kamu pula menyembunyikan kebenaran (kebenaran tentang kenabian Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang tersebut dalam Taurat dan Injil) padahal kamu mengetahuinya? (Surah Âli ‘Imran: 71)
Maka apa yang tercatat dalam kitab-kitab Injil, bahkan kitab Taurat dan Zabur yang ada sekarang hanyalah tulisan paderi-paderi silam, berdasarkan tafsiran dan fahaman mereka sendiri dan catatan ahli sejarah yang langsung tidak tahu akan ajaran kitab Injil yang sebenar dan tidak pernah bertemu dengan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm ataupun para sahabat Baginda.
Hukum Membaca Kitab Injil
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullâhu Ta‘âlâ daripada Jabir bin Abdullah, beliau berkata:
Maksudnya: ‘Umar bin al-Khaththab telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan sebuah kitab yang diperolehinya daripada ahli kitab. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun membacanya lalu Baginda marah. Baginda bersabda: “Adakah mereka memperbodohkan diri mereka (dengan membuat kebohongan) di dalamnya (kitab) wahai Ibnu al-Khaththab? Dan demi jiwaku yang berada di tanganNya, sesungguhnya aku telah datang kepada kamu dengan kitab itu bagai kertas putih yang suci (aku telah datang kepada kamu tanpa mengetahui sesuatupun mengenai kitab-kitab seumpama ini). Janganlah kamu bertanyakan mereka (ahli kitab) tentang suatu perkara pun, kerana (ditakuti) mereka mengkhabarkan kamu dengan kebenaran lalu kamu mendustakannya, atau (mereka mengkhabarkan kamu) dengan kebâthilan lalu kamu membenarkannya. Dan demi jiwaku yang berada di tanganNya, seandainya Musa ‘Alaihissalâm masih hidup, (sudah tentunya) dia tidak membolehkannya (bertanya kepada ahli kitab atau membaca kitab-kitab mereka) kecuali dia hanya akan mengikut aku.” (Hadits riwayat Ahmad)ََ
Hadits di atas mengandungi larangan terhadap orang Islam daripada bertanya kepada ahli kitab mengenai sesuatu pun tentang kitab suci mereka. Perkara ini jelas apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam marah setelah mengetahui buku yang dibawa ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu itu ialah buku ahli kitab. Tujuan larangan itu ialah untuk melindungi orang-orang Islam daripada kebâthilan dan penipuan ahli kitab, dan ditakuti perkara ini akan menimbulkan keraguan dan syak dalam hati orang-orang Islam.
Al-Ustaz Doktor Abdul Wahab Fayad menerangkan bahawa sebab bagi larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada perkara-perkara tersebut ialah kerana kebudayaan atau peradaban ahli kitab itu sangat dikhuatiri dan tidak boleh dipercayai kerana mereka telah mengubah kata-kata atau cerita dari tempat asalnya dan menukarnya. Mereka juga mengubah isi kandugan kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada rasul-rasul mereka. Maka menjadi kewajipan orang-orang Islam untuk berhati-hati terhadap budaya yang datang daripada mereka, agar tidak berlaku kekeliruan, kegoncangan serta kekacauan dan agar tidak menjadi samar di antara kebenaran dan kebâthilan dan keliru kerana keduanya bercampur aduk. (Ad- Dâkhil fi at-Tafsîr, Doktor Ahmad asy-Syihat Ahmad Musa, Ustaz at-Tafsîr wa ‘Ulûm al- Qur’ân, Jami‘ah al-Azhar al-Qahirah: 1/86)
Dalam hadits lain, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Para ahli kitab membaca Kitab Taurat dalam bahasa ‘Ibrani dan mentafsirkannya dalam bahasa Arab untuk orang-orang Islam. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Janganlah kamu membenarkan (kata-kata) ahli kitab dan janganlah kamu mendustakan mereka. (Sebaliknya) katakanlah oleh kamu: ((“Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Qur’an), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Ya‘kub dan anak-anaknya, dan (juga kepada) apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi ‘Isa (Injil), dan (kepada) apa yang diberikan kepada nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan di antara seseorang daripada mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nashrani – membeza-bezakannya). Dan kami semua adalah Islam (berserah diri – tunduk taat) kepada Allah semata-mata.))” (Hadits riwayat al-Bukhari)َ
Adapun dalam hadits ini menyatakan ahli kitab (Yahudi) membaca Kitab Taurat dalam bahasa ‘Ibrani dan mentafsirkannya dalam bahasa Arab, dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memerintahkan kepada orang-orang Islam untuk tidak membenarkan apa yang mereka katakan kerana ditakuti perkara itu dusta dan tidak juga menyalahkan mereka kerana ditakuti perkara itu benar. Walaupun yang dimaksudkan dalam hadits di atas ialah orang Yahudi, akan tetapi hukum mengenai perkara ini merangkumi orang Nashrani, kerana perkataan-perkataan ‘ahli kitab’ itu umum. (Fath al-Bârî bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 15/277-278)
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mensyarahkan hadits di atas telah menyatakan:
Ertinya: (Makna sabda Rasulullah itu ialah), apabila apa yang dikhabarkan kepada kamu oleh ahli kitab itu pada perkara yang muhtamal (mungkin mengandungi kebenaran ataupun dusta). Dan supaya tidak pada perkara yang benar itu kamu katakan ia dusta, atau pada perkara yang dusta itu kamu katakan ia benar, maka kamu berdosa (kerana mendustakan mereka ataupun kerana membenarkan mereka). Dan tidak ada sebarang tegahan daripada mengatakan mereka (ahli kitab) itu berdusta pada perkara yang nyata disebutkan dalam syariat kita tentang percanggahannya. Dan tidak ada (sebarang tegahan) daripada membenarkan mereka pada perkara yang dinyatakan dalam syariat kita tentang ketepatannya (kebenarannya). (Fath al-Bârî bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 9/23)
Manakala dalam sebuah hadits, daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil dan janganlah merasa berdosa (atau teragak-agak). Dan barang siapa yang mendustaiku dengan sengaja, maka dia akan menempati tempatnya di neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini pula menyatakan keharusan bagi orang Islam menceritakan tentang Bani Israil kerana mereka lebih terdahulu daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Tegahan daripada bertanya kepada mereka dan membaca kitab-kitab mereka juga telah diberi kelonggaran kerana tegahan itu berlaku sebelum tetap dan mantapnya hukum-hukum Islam dan juga dasar atau prinsipnya dan ditakuti berlakunya fitnah. Setelah kekhuatiran itu hilang, maka diberi keizinan pada perkara-perkara tersebut, umpamanya mendengarkan berita-berita yang berlaku di zaman mereka sebagai satu i‘tibar. (Fath al-Bârî bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 7/175)
Keharusan dalam menceritakan tentang Bani Israil seperti yang dinyatakan dalam hadits ini, ialah pada perkara yang tidak disebutkan dalam syariat Islam tentang kebenarannya mahupun kebohongannya. Manakala pada perkara yang jelas kebenarannya, maka ia tidak memerlukan kepada izin dan pada perkara yang nyata kebohongannya, ia tidak perlu kepada tegahan kerana telah diketahui akan kesalahan serta kebohongannya.
Maka daripada hadits-hadits dan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa apa yang dibawa oleh ahli kitab (Yahudi dan Nashrani) itu dibahagikan kepada tiga perkara:
1. Perkara yang diketahui kebenarannya dan bertepatan dengan apa yang disebutkan dalam syariat Islam dan dibolehkan umat Islam untuk menceritakannya.
2. Perkara yang diketahui kesalahannya dan bertentangan dengan apa yang disebut dalam syariat Islam. Perkara ini adalah dusta semata-mata dan tidak dibolehkan untuk menceritakannya kecuali diikuti dengan penjelasan tentang kedustaan dan kebâthilannya supaya umat Islam berwaspada terhadapnya.
3. Perkara yang tidak diketahui kebenarannya mahupun kebohongannya kerana tidak disebutkan dalam syariat Islam. Dalam perkara ini diharuskan menceritakannya kerana berkemugkinan ia benar, tetapi tidak boleh dikatakan ia sebagai satu perkara yang benar ataupun dusta kerana ditakuti hakikatnya ia adalah sebaliknya. (Ad-Dâkhil fi at-Tafsîr, Doktor Ahmad asy-Syihat Ahmad Musa, Ustaz al-Tafsîr wa ‘Ulûm al-Qur’ân, Jami‘ah al-Azhar al- Qahirah: 1/88-90)
Jelaslah di sini hukum mengenai perkara ini datang dalam berperingkat-peringkat, kerana tegahan daripada bertanya kepada ahli kitab itu ialah sebelum mantap dan kuatnya dasar Islam dan ditakuti orang-orang Islam akan terpengaruh dengannya. Kemudian umat Islam diperintahkan untuk berdiam diri pada perkara yang tidak diketahui kebenaran mahupun kebohongannya kerana ditakuti apa yang disangka benar itu adalah dusta ataupun sebaliknya.
Kemudian kelonggaran dalam menceritakan tentang ahli kitab diberikan iaitu setelah mantap dan kuatnya hukum-hukum serta dasar Islam dan tidak ditakuti lagi akan berlakunya fitnah.
Begitu juga dalam membaca kitab Injil mahupun kitab-kitab agama yang lain. Tidak ada sebarang tegahan pada syara‘ untuk membaca kitab-kitab ini, apatah lagi jika ia bertujuan untuk membuat perbandingan dan perbezaan di antara kebenaran Islam dan kesesatan ajaran Kristian. Tetapi perlu ditekankan, hendaklah orang yang ingin membaca itu mempunyai pengetahuan tentang agama Islam dan juga ilmu perbandingan agama serta memiliki kemantapan iman dan keyakinan terhadap agama Islam agar tidak terkeliru atau terpengaruh.
Bahkan mengkaji isi kandungan kitab Injil dengan tujuan untuk menunjukkan kebohongan serta kesesatannya sangat penting, khususnya bagi para pendakwah, ulama dan juga pendidik agar mereka dapat mengeluarkan hujjah dan bukti yang konkrit tentang percanggahan dan penyelewengan dalam agama Kristian, terutamanya apabila berhadapan dengan pemimpin atau pendakwah Kristian dan juga pengikutnya.
Dengan memperlihatkan kesalahan dan percanggahan yang ada pada kitab suci mereka sendiri, dan penyelewengan dan penipuan yang berlaku di dalamnya, orang-orang Kristian hanya akan dapat mengakuinya kerana dalil dan buktinya datang daripada kitab mereka sendiri. Cara atau metode seumpama ini sudah lama dipraktikkan oleh pendakwah dan ulama Islam yang terdahulu dan juga kini.
Oleh itu setiap umat Islam hendaklah berhati-hati jika ingin membaca kitab-kitab agama lain selain daripada kitab-kitab agama Islam kerana dalam kitab-kitab tersebut akan ada percanggahan dan perselisihan yang boleh membuat pembacanya keliru atau ragu dan yang lebih ditakuti, akan terikut-ikut. Oleh itu, untuk membaca kitab-kitab agama selain Islam memerlukan pengetahuan yang khusus agar dapat membezakan di antara kebenaran dan kebâthilan.
Seeloknya, sebelum membaca atau mengkaji kitab-kitab seumpama ini, dalami terlebih dahulu ajaran agama Islam. Jika tiada pengetahuan tentang Islam bererti tiada panduan bagi orang yang membaca itu. Jika tiada panduan, dikhuatiri orang Islam yang membaca itu akan mungkin saja terpesong atau terpengaruh dengan kitab-kitab tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11036
