Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Hukum Sembahyang Jumaat Bagi Banduan

Soalan: Bilakah waktu yang paling afdhal bagi para banduan dan orang-orang tahanan di penjara untuk mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur bagi menggantikan sembahyang fardhu Jumaat? Adakah waktu sembahyang fardhu Zhuhur itu dikerjakan sejurus saja masuk waktu ataupun setelah selesainya sembahyang fardhu Jumaat? Apakah seseorang itu dikira munâfiq kerana tidak hadir sembahyang fardhu Jumaat tiga kali berturut-turut, ataupun bagi waktu yang panjang ketika dia dalam tahanan, penjara ataupun pusat pemulihan mengikut jangka waktu hukuman atau kelamaan penahanan?

Jawapan: Hukum Banduan Sembahyang Jumaat Dalam Penjara

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh (919-1003H) dalam kitabnya al-Fatâwâ al- Kubrâ al-Fiqhiyyah sewaktu disoal mengenai: “Adakah orang-orang (banduan) mesti mendirikan sembahyang Jumaat dalam penjara?” Jawabnya secara qiyâs mereka itu mesti melakukannya apabila terdapat syarat wajib Jumaat dan syarat-syarat sahnya, dan tidak ditakuti timbul fitnah akibat mendirikan Jumaat itu dalam penjara. (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al- Fiqhiyyah: 1/259)

Imam al-Buwaithi Rahimahullâh, semasa dalam tahanan, dia pernah mandi dan memakai pakaiannya yang paling bersih, kemudian dia pergi ke pintu penjara meminta kebenaran kepada pengawal supaya dia dibenarkan pergi menunaikan sembahyang Jumaat. Akan tetapi pengawal pintu penjara melarangnya, lalu Imam al-Buwaithi Rahimahullâh pun kembali ke tempatnya sambil berkata: “Kini telah gugurlah kewajipan Jumaat ke atasku.”

Hal ini jelas membayangkan betapa Imam al-Buwaithi Rahimahullâh ini senantiasa memelihara Jumaat. Imam al-Buwaithi Rahimahullâh ialah sahabat asy-Syafi‘e yang paling agung dan oleh sebab itu, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh pernah mewakilkan al-Buwaithi Rahimahullâh mengajar di majlis pengajarannya dan dia pernah pula memberitahunya dengan berkata: “Kamu akan mati ketika ditahan dalam keadaan kamu tidak dapat mendirikan sembahyang Jumaat.” Perkara ini seakan-akan satu penjelasan bahawa jikalaulah Imam al-Buwaithi Rahimahullâh dapat mendirikan sembahyang Jumaat dalam penjara, dia sudah pasti akan mendirikannya dalam penjara.

Kewajipan Sembahyang Fardhu Jumaat Menurut kitab Minhâj ath-Thâlibîn karangan Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa syara‘ telah menentukan wajib fardhu ‘Ain sembahyang Jumaat itu ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, merdeka, lelaki, orang yang bermuqîm yang tidak sakit yakni yang tiada uzur syar‘i padanya. Tidak wajib sembahyang Jumaat itu ke atas mereka yang berkeuzuran yang diberikan kelonggaran (rukhshah) untuk meninggalkan sembahyang berjemaah. (Minhâj ath- Thâlibîn: 1/263)

Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâh ada menyebutkan dalam perkara sembahyang berjemaah bahawa pengurungan atau pemenjaraan itu adalah (dianggap) satu keuzuran jika tidak berlaku pengabaian oleh orang yang meninggalkannya.

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh pula, jika pemerintah melihat ada mashlahat menegah banduan daripada keluar penjara untuk menunaikan Jumaat, maka hendaklah ditegah mereka daripada menunaikan Jumaat dan jika sebaliknya, tidaklah perlu ditegah. (Mughnî al-Muhtâj: 1/537)

Syarat-syarat sah Jumaat itu ada lima perkara:

1. Sembahyang Jumaat didirikan dalam waktu Zhuhur dan membaca dua khutbah Jumaat dalam waktu tersebut.

2. Didirikan Jumaat itu pada bangunan yang terletak dalam negeri atau kampung tempat tinggal.

3. Tidak didahului atau tidak disertai Jumaat itu oleh Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana tidak harus berbilang (lebih daripada satu) Jumaat dalam satu tempat (bandar, pekan, qaryah atau kawasan). Kecuali jika sukar berhimpun mereka itu pada satu tempat itu, maka ketika itu harus berbilang Jumaat.

4. Dikerjakan Jumaat itu dengan berjemaah dan disyaratkan ia didirikan oleh tidak kurang daripada 40 orang termasuk imam dan disyaratkan mereka itu lelaki, berakal, bâligh, merdeka dan mastautin pada tempat Jumaat. Erti mastautin itu orang yang tetap pada tempat kediamannya, tidak berpindah darinya pada musim sejuk atau musim panas, kecuali kerana hajat berniaga dan seumpamanya.

5. Disyaratkan sembahyang itu dikerjakan selepas dibacakan dua khutbah.

Kedudukan Orang Yang Uzur Sembahyang Jumaat

Apabila seseorang itu tidak dapat mengerjakan sembahyang Jumaat kerana ada uzur, maka diwajibkan ke atasnya melakukan sembahyang Zhuhur. Orang yang uzurnya dijangka akan hilang sebelum imam memberi salam seperti hamba yang mengharap kebebasan, maka disunatkan baginya untuk melambatkan sembahyang Zhuhur sehinggalah selesai sembahyang Jumaat. Adapun orang yang uzurnya tidak akan hilang seperti perempuan, maka adalah disunatkan bagi mereka itu melakukan sembahyang Zhuhur pada awal waktu. (Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah: 1/313)

Sembahyang Pada Awal Waktu

Sembahyang pada awal waktu itu adalah lebih utama kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan kita untuk memelihara sembahyang. Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berkata: “Termasuk memelihara sembahyang ialah dengan mengerjakannya pada awal waktu, kerana jika mengakhirkannya akan mendedahkannya kepada lupa dan melewatkan waktu.” (Al-Muhadzdzab: 1/188)

Bahkan, ia juga amalan yang digemari oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Aku telah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Apakah amalan yang lebih disukai oleh Allah Ta‘ala?” Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Sembahyang pada waktunya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang Zhuhur Berjemaah Bagi Orang Yang Uzur Jumaat

Adalah sunat dan lebih digalakkan lagi supaya dilakukan sembahyang Zhuhur itu secara berjemaah kerana Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa mengikut pendapat yang ashah adalah sunat melakukan fardhu Zhuhur secara berjemaah bagi mereka yang ada uzur dan bagi mereka yang tidak wajib melakukan sembahyang fardhu Jumaat. (Minhâj ath- Thâlibîn: 1/266)

Kelebihan Sembahyang Berjemaah

Adapun keutamaan sembahyang berjemaah itu ialah pahalanya lebih besar daripada sembahyang bersendirian. Ini jelas berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih utama daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Meninggalkan Sembahyang Jumaat Tiga Kali Berturut-Turut Para ulama fiqh menyebutkan bahawa orang yang tidak sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar‘i, Allah akan menutup hatinya dan dia tergolong daripada orang-orang munâfiq. Ini jelas berdasarkan hadits daripada Abu al-Ja‘du adh-Dhamriy mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang Jumaat dengan mempermudah-mudahkannya Allah akan menutup hatinya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits daripada Usamah bin Zaid mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang Jumaat tanpa sesuatu keuzuran, dituliskan dia daripada golongan orang-orang munâfiq. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Adapun orang-orang yang ditahan dalam penjara tidaklah termasuk dalam kategori di atas kerana perbuatan mereka meninggalkan sembahyang Jumaat dianggap sebagai uzur syar‘i. Oleh yang demikian, adalah wajib bagi orang-orang Islam dalam tahanan atau penjara mengerjakan sembahyang Zhuhur bagi menggantikan sembahyang Jumaat dan disunatkan bagi mereka jika tidak ada apa-apa halangan melakukan sembahyang Zhuhur itu secara berjemaah kerana menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk memelihara sembahyang fardhu lima waktu dengan menunaikannya tepat pada waktu yang ditetapkan tanpa mencuaikannya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Peliharalah oleh kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang wusthâ (sembahyang ‘Ashar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyû‘. (Surah al-Baqarah: 238)

Demi mengambil manfaat pada hari Jumaat itu, maka sebaiknya diadakan perhimpunan dengan menunaikan sembahyang Zhuhur berjemaah kemudian dibacakan khutbah pertama dari khutbah yang dibaca di masjid-masjid sebagai irsyâd (maklumat dan panduan) kepada banduan-banduan. Pembaca khutbah berkenaan bolehlah dilantik daripada pegawai penjara yang berkebolehan.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka para banduan yang meninggalkan sembahyang Jumaat tidaklah dikira sebagai orang-orang munâfiq kerana penahanan mereka dalam penjara itu dianggap sebagai uzur syar‘i. Mereka hanya diwajibkan melakukan sembahyang Zhuhur bagi menggantikan sembahyang Jumaat dan sunat mengerjakannya pada awal waktu serta melakukan sembahyang itu dengan berjemaah.

Adapun orang yang melambat-lambatkannya tidaklah mendapat fadhilat atau kelebihan awal waktu itu sebagaimana yang telah disebut oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11044