Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Isteri Menyakiti Hati Suami

Soalan: Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenai perkara-perkara berikut:

1. Apakah hukumnya bagi isteri yang sering menyakiti hati dan tidak bersyukur dengan apa jua pemberian suaminya?

2. Apakah hukumnya bagi isteri yang sering menimbulkan pertengkaran dengan suaminya sehingga sanggup memfitnah dengan membuat surat layang yang memburuk-burukkan suaminya.

Jawapan: Pernikahan merupakan satu ikatan suci yang menghalalkan hubungan antara suami dan isteri dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Setiap suami dan isteri mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing yang wajib dijalankan dengan sempurna. Setiap perkahwinan yang didirikan memiliki nilai-nilai pergaulan yang baik dan berfungsi untuk meninggalkan segala macam perbuatan maksiat dan mungkar. Setiap pasangan hendaklah bersedia dengan tanggungjawab yang akan dipikul setelah memasuki alam perkahwinan dengan memperbaiki segala perangai dan kelakuan supaya menjadi lebih baik apabila hidup berpasangan.

Tafsirnya: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘), dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). (Surah al-Baqarah: 228)

Islam telah menggariskan hak dan kewajipan suami yang wajib dijalankan ke atas isterinya dan begitu juga isteri, wajiblah juga menjalankan hak dan tanggungjawabnya terhadap suaminya. Antara tanggungjawab tersebut ialah isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan kehendak hukum syara‘.

Sebagaimana yang dimaklumi, suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintah suaminya itu. (Kitab az-Zawâjir: 413)

Perintah untuk mentaati suami selain disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al- Qur’an, diperjelaskan juga dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Daripada hadits di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya (iaitu dari segi ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya) sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja dan tidak pada yang lainnya. (Kitab Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jâmi‘ at-Tirmidzi: 4/253)

Isteri Menyakiti Hati Suami

Menyakiti hati orang lain sangatlah dilarang, bahkan hukumnya berdosa. Umpamanya, seseorang yang menyakiti hati jirannya, seorang anak yang menyakiti hati ibu atau bapanya dan sebagainya. Maka dalam hal ini, termasuklah juga isteri yang menyakiti hati dan menghina suaminya dengan menggunakan ucapan atau percakapan yang kasar. (Raudhah ath- Thâlibîn: 6/347)

Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Jangan seorang isteri menyakiti suaminya (di dunia), maka berkatalah isterinya daripada kalangan bidadari: “Janganlah kamu menyakitinya (suami), nanti kamu dikutuk Allah! Sesungguhnya dia (suami) itu di sampingmu (isteri) adalah sebagai tetamu sahaja, yang tidak lama lagi akan berpisah denganmu dan kembali kepada kami.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, seorang isteri tidak dikatakan nusyûz (mengingkari perintah suami) jika dia menghina dan mengata-ngata suaminya, akan tetapi mendapat dosa atas perbuatannya menghina dan menyakiti hati suaminya itu. Suami berhak mendidik dan menasihati isterinya itu dengan baik dan lemah-lembut supaya dia tidak lagi berkelakuan sedemikian kerana ditakuti akan terjadi nusyûz disebabkan kelakuannya itu. Mengata-ngata dan menghina suami merupakan salah satu tanda yang boleh menyebabkan terjadinya nusyûz bagi isteri jika tidak dinasihati dan diberi tunjuk ajar kerana ditakuti ia akan mengakibatkan isteri mengabaikan perintah untuk mentaati suaminya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 6/347)

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, suami hendaklah menasihati isterinya jika isteri menggunakan kata-kata yang kesat yang menyakiti hati suami. Iaitu dengan mengingatkan isteri tentang hukuman yang akan diterimanya kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan nusyûz. Hukuman bagi perempuan yang nusyûz ialah pengasingan tempat tidur, pukulan (yang tidak mencederakan), pengguguran nafkah dan hilang bahagian giliran (bagi suami yang berkahwin lebih daripada seorang) dan di akhirat kelak akan dimasukkan ke dalam neraka. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/314)

Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyûz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya) kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (Surah an-Nisâ’: 34)

Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa jika suami bimbang isterinya akan berlaku nusyûz, maka suami hendaklah memberi tunjuk ajar kepada isterinya dengan baik dan menyedarkan akan kesalahannya itu. Iaitu bermula dengan memberi nasihat dan jika masih tidak didengar, hendaklah suami memisahkan diri dari isterinya di tempat tidur dan jika masih tidak berkesan juga, hendaklah suami memukulnya dengan kadar pukulan yang ringan iaitu yang tidak meninggalkan kesan sehinggalah dia (isteri) mentaati semula suaminya. Isteri yang taat bukanlah semata-mata tunduk kepada suaminya, tetapi taat di sini bererti isteri yang tahu akan hak dan kewajipannya terhadap suaminya dan dapat menjaga rumahtangganya dengan baik.

Bersyukur Terhadap Pemberian Suami Dalam hidup berumahtangga, suami atau isteri perlu tahu kemampuan masing-masing dalam menjalani amanah yang dipertanggungjawabkan supaya tidak wujud masalah, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan soal kewangan. Isteri perlu bijak mengatur belanja sesuai dengan pendapatan suami dan janganlah mengharapkan sesuatu yang di luar daripada kemampuan suami kerana ia boleh menimbulkan pergaduhan atau perselisihan sehingga menyebabkan hilangnya rasa hormat terhadap suami dengan menghina dan mengata-ngata akan kekurangan dan keburukannya. Sikap seperti ini sangat dilarang dan wajiblah dijauhi kerana ia boleh menyebabkan isteri menjadi nusyûz apabila dia ingkar akan perintah suaminya dengan meninggalkan segala tanggungjawab yang wajib dilakukannya terhadap suaminya.

Isteri yang baik akan sentiasa merasa cukup dan bersyukur di atas pemberian suami dengan tidak ada rasa menyesal dan benci terhadap apa yang dimiliki dan apa-apa yang diberikan kepadanya.

Tafsirnya: Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya! Jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah berat.” (Surah Ibrahim: 7)

Merujuk kepada soalan di atas, isteri yang sering menyakiti hati suami, tidak bersyukur dengan apa jua pemberian suami dan sering suka membawa bergaduh suami sehingga sanggup melakukan fitnah dengan membuat surat layang mengatakan perkara yang tidak baik terhadap suaminya adalah berdosa atas dosa. Yakni, melakukan dosa yang berbagai-bagai. Isteri yang seumpama ini tidak syak lagi ialah isteri yang ‘jahat’. Ini kerana membuat fitnah itu lebih berat hukumannya sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada perbunuhan. (Surah al-Baqarah: 191)

Isteri, bahkan sesiapapun sepatutnya hendaklah menutup keaiban saudaranya (jika ada) kerana menutup keaiban itu mempunyai nilai moral dalam Islam. Ini amatlah dituntut sebagaimana dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Dan sesiapa menutupi rahsia keaiban seorang Muslim, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menutupi keaibannya di dunia dan akhirat. (Hadits riwayat Muslim)

Daripada hadits di atas, dapat difahami bahawa setiap orang Islam hendaklah menutup rahsia atau keaiban saudaranya daripada diketahui oleh orang lain kerana mengheboh-hebohkan atau menyebarkan hal orang bererti mengumpat dan juga ditakuti rahsia atau keaiban yang disebarkan itu semata-mata berupa fitnah atau tuduhan yang tidak berasas.

Dalam konteks ini, suami perlu menegur, menasihati dan mendidik isteri dengan baik supaya bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan mentaati perintah suami dalam perkara yang ma‘rûf iaitu perkara-perkara yang dituntut dalam Islam, kerana ganjaran yang akan diterima oleh isteri jika suaminya redha terhadapnya amatlah besar sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ummi Salamah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Setiap perempuan yang mati dan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga. (Hadits riwayatََ at-Tirmidzi )

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lagi:

Maksudnya: Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan juga taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana yang engkau sukai.” (Hadits riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, isteri perlu faham bahawa salah satu kriteria yang wajib dilaksanakan bagi membolehkannya masuk syurga dengan mudah ialah dengan mentaati suami. Maka, isteri wajib menjaga hati dan perasaan suami supaya segala apa yang dilakukannya mendapat keredhaan suami dan ini juga akan mendatangkan keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Bagi suami pula, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik dan menasihati isteri dengan baik jika isterinya berkelakuan tidak baik supaya dia sedar bahawa perbuatannya itu menyalahi ajaran Islam dan boleh menyebabkan dia terhindar daripada merasa ni‘mat di akhirat kelak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11051