Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat
Soalan: Dipohonkan pandangan dan ketetapan Pehin mengenai permasalahan di bawah ini:
Soalan: Saya pernah terbaca bahawa sekiranya Hari Raya (Aidil Fitri atau Aidil Adha) jatuh pada hari Jumaat, jika kita telah mengerjakan sembahyang Hari Raya maka tidak lagi wajib kita mengerjakan sembahyang Jumaat. Memadai dengan bersembahyang Zhuhur. Adakah ini benar?
Jawapan: Benar pendapat saudara di atas. Bagi orang yang telah mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya di pagi Jumaat, tidak wajib baginya untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, hanya wajib mengerjakan sembahyang Zhuhur. Tetapi sekiranya seseorang itu tidak mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya, maka wajib ke atasnya sembahyang Jumaat. Nota:
1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM.
2. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan mazhab Shafi‘e kecuali dinyatakan sebaliknya.
Jawapan:
Sembahyang fardhu Jumaat itu adalah fardhu ‘Ain ke atas orang lelaki yang mukallaf, merdeka, muqîm dan yang tiada berkeuzuran. Maka gugur tuntutan sembahyang Jumaat itu dengan sebab masyaqqah (kesukaran) dan keuzuran yang mengharuskannya meninggalkan sembahyang Jumaat tersebut.
Persoalan mengenai Hari Raya yang jatuh pada hari Jumaat seperti yang berlaku kepada Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (pada Syawal 1423H bersamaan dengan 6 Disember 2002), maka tidak gugur tuntutan sembahyang Jumaat dengan sebab telah bersembahyang Hari Raya kepada ahlul-balad (penduduk Bandar). Berlainan halnya kepada ahlul-qurâ (penduduk kampung), jika mereka (ahlul-qurâ) itu telah menunaikan sembahyang Hari Raya, maka gugurlah tuntutan mengerjakan sembahyang Jumaat itu dan harus bagi mereka (ahlul-qurâ) itu meninggalkan sembahyang Jumaat.
Adapun maksud ahlul-qurâ di sini termasuk orang desa, orang yang tinggal di pedalaman, yang tidak ada didirikan sembahyang Jumaat di kampungnya, maka ahlul-qurâ yang bersembahyang Hari Raya di bandar atau di kota itu akan pulang ke rumah di kampung masing-masing setelah selesai sembahyang Hari Raya.
Begitu juga jika kampung tempat mereka tinggal itu jauh; setelah mereka pulang atau sampai di rumah, jika mereka hendak kembali semula ke bandar atau ke kota, akan menghadapi masyaqqah (kepayahan) untuk bersembahyang Jumaat.
Walau bagaimanapun adalah harus jika ahlul-qurâ yang mengerjakan sembahyang Hari Raya itu menunggu juga di bandar untuk mengerjakan sembahyang Jumaat bersama-sama dengan penduduk bandar atau kota itu. Jika mereka mahu pulang juga ke kampungnya, juga harus, dan dalam keadaan begini gugurlah Jumaat untuk mereka itu.
Manakala bagi orang kampung atau orang yang tempat tinggal mereka mudah atau dekat dengan masjid, yakni tidak ada masyaqqah atau kesulitan bagi mereka untuk datang ke masjid setelah mereka pulang dari melakukan sembahyang Hari Raya, maka sama sekali tidaklah gugur kewajipan sembahyang Jumaat itu, kecuali jika ada sebab-sebab lain berupa uzur syara‘ yang membolehkannya untuk meninggalkan Jumaat tersebut.
Alhamdulillâh, di Negara Brunei Darussalam, khasnya di luar bandar atau di kampung-kampung, termasuk yang jauh di pedalaman pun sudah terdapat masjid untuk mendirikan sembahyang Jumaat. Jadi tidaklah berbangkit rukhshah (kelonggaran) untuk meninggalkan sembahyang Jumaat itu semata-mata kerana telah mengerjakan sembahyang Hari Raya.
Adapun dalil atau keterangan mengenai perkara ini telah dijelaskan oleh Imam asy-Syafi‘e dalam Kitab al-Umm, sebagaimana riwayat daripada ar-Rabi‘, katanya:
Ertinya: Asy-Syafi‘e telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: “Ibrahim bin Muhammad telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: “Ibrahim bin ‘Uqbah daripada ‘Umar bin Abdul Aziz telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: “Pernah berhimpun dua Hari Raya (Hari Raya dan Jumaat serentak) pada masa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda bersabda: “Sesiapa yang suka duduk daripada Ahlul-‘Âliyah maka hendaklah dia duduk tanpa sesuatu kesulitan”.
(“Duduk” maksudnya tidak berjumaat. “Ahlul-‘Âliyah” ertinya orang-orang yang tinggal di ‘Âliyah iaitu desa-desa yang jauh di luar kota Madinah)
Ar-Rabi‘ telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: “Asy-Syafi‘e telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: “Malik daripada Ibnu Syihab daripada Abu ‘Ubaid Maula ibni Azhar telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: “Aku pernah menyaksikan bersama ‘Utsman bin ‘Affan akan sembahyang Hari Raya, maka datanglah beliau lalu bersembahyang, kemudian berpaling seraya berkhutbah dengan berkata: “Sesungguhnya berhimpun bagi kamu pada hari ini dua Hari Raya, maka sesiapa yang suka di kalangan Ahlul-‘Âliyah menunggu Jumaat, hendaklah ditunggunya, dan sesiapa yang mahu pulang, bolehlah dia pulang, sesungguhnya aku telah izinkan baginya.”
Asy-Syafi‘e berkata: “Dan apabila berlaku Hari Raya Fitrah itu pada hari Jumaat, imam bersembahyang Hari Raya setelah masuk waktu sembahyang, kemudian dia mengizinkan orang yang hadir selain daripada orang kota, untuk berpaling (pulang) kepada keluarga mereka, (jika mereka mahu) dan mereka tidak perlu kembali lagi untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Maka pilihan adalah kepada mereka, sama ada terus bermuqîm melakukan Jumaat, atau balik ke desa selepas menunaikan sembahyang Hari Raya dan kembali semula ke kota untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Sekiranya mereka berupaya, mereka berjumaat. Jika mereka tidak melakukannya, maka tidaklah mengapa, insyâ’ Allah Ta‘ala.”
Berkatalah asy-Syafi‘e: “Tidak harus (dilakukan) demikian bagi seseorang daripada ahli kota, sekiranya mereka meninggalkan untuk berhimpun (mendirikan sembahyang Jumaat). Kecuali (terdapat) suatu keuzuran yang mengharuskan bagi mereka meninggalkan sembahyang Jumaat sekalipun hari itu (bertepatan dengan) Hari Raya.”
Berkatalah asy-Syafi‘e:“Begitu juga (jika berlaku) pada Hari Raya Adha.” (Kitab al-Umm: 247)
Imam ar-Ramli pula berkata:
Ertinya: Dan jika Hari Raya itu (jatuhnya) bertepatan dengan hari Jumaat, lalu hadir penduduk kampung yang sampai kepada mereka seruan untuk menunaikan sembahyang Hari Raya, maka bagi mereka itu (apabila) kembali pulang (ke kampungnya) sebelum didirikan sembahyang Jumaat, gugurlah kewajipan sembahyang Jumaat ke atas mereka, sekalipun mereka itu hampir dengan tempat didirikan sembahyang Jumaat tersebut dan mendengar seruan (azan) Jumaat. (Begitu juga gugur kewajipan Jumaat) sekalipun jika mereka sempat mengerjakan sembahyang Jumaat itu sekiranya mereka kembali ke kota. Perkara ini berdasarkan sebuah hadits: “Sesiapa yang suka hadir bersama-sama kami untuk menunaikan sembahyang Jumaat, hendaklah dia menunaikannya. Sesiapa yang ingin kembali pulang (ke kampung), maka lakukanlah”. Hadits ini diriwayatkan oleh Abu Daud. Dan berdasarkan kepada alasan, jika mereka itu ditaklîfkan (dibebankan) supaya tidak pulang atau kembali semula (ke kota), untuk menunaikan sembahyang Jumaat, nescaya ia merupakan suatu kesukaran ke atas diri mereka sedangkan sembahyang Jumaat itu gugur kewajipannya dengan adanya kesukaran.” (Nihâyah al-Muhtâj: 2/291)
Ibnu Hajar berkata di dalam kitabnya at-Tuhfah:
Ertinya: Dan sekiranya (penduduk kampung) itu hadir untuk menunaikan sembahyang Hari Raya yang bertepatan harinya dengan hari Jumaat (dan mereka) bersurai (pulang ke kampung) selepas menunaikan sembahyang Hari Raya itu sebelum lagi masuk waktu untuk menunaikan sembahyang Jumaat dan mereka tidak kembali semula ke kota untuk menunaikan sembahyang Jumaat sekalipun mereka mendengar (seruan azan Jumaat), itulah sebagai suatu keringanan ke atas mereka (tidak wajib atas mereka menunaikan sembahyang Jumaat). Akan tetapi, jika mereka tidak hadir (menunaikan sembahyang Hari Raya) lazim (mesti) bagi mereka hadir untuk menunaikan sembahyang Jumaat menurut pendapat al-awjah. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/415)
Adapun keharusan bagi orang-orang kampung (ahlul-qurâ) tidak mengerjakan sembahyang Jumaat itu, kerana jika mereka itu terus menunggu di bandar atau kota selepas mereka mengerjakan sembahyang Hari Raya sehinggalah sembahyang Jumaat, mereka sudah pasti akan terlepas keseronokan atau kegembiraan Hari Raya. Jika mereka itu kembali ke rumah-rumah mereka di kampung selepas sembahyang Hari Raya, kemudian kembali semula ke bandar atau kota untuk sembahyang Jumaat, mereka akan menghadapi masyaqqah (kepayahan atau kesusahan), sedangkan tuntutan sembahyang Jumaat itu gugur dengan sebab masyaqqah berbeza dengan penduduk bandar, masyaqqah itu tidak ada pada mereka. (Al-Bayân fi al-Madzhab al-Imam asy-Syafi‘e asy-Syeikh al-Jalîl al-Faqîh al-‘Allâmah Abi al-Hussain Yahya bin Abi al-Khair bin Salim al-‘Imrani asy-Syafi‘e al-Yamani: 2/553)
Maka berdasarkan pendapat ulama-ulama mu‘tabar daripada mazhab Syafi‘e, jika Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Adha jatuh pada hari Jumaat, tidaklah gugur tuntutan sembahyang Jumaat sekalipun telah menunaikan sembahyang Hari Raya itu secara mutlak. Kecuali bagi ahlul-qurâ yang jauh di pendalaman dan tidak ada didirikan sembahyang Jumaat di kampung mereka dan kehadiran mereka untuk hadir menunaikan sembahyang Jumaat sangat menyusahkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11057
