Kedudukan Derma Atau Sedekah Yang Tertangguh
Soalan: Dipohonkan pandangan ataupun fatwa berhubung dengan derma atau sedekah insaniah seperti Mangsa Tsunami dan seumpamanya yang masih didapati tertangguh dan tidak dihantar kepada mangsa yang sangat atau masih memerlukannya, mungkin kerana kos penghantaran yang amat tinggi. Sebagai contoh, Tabung Insaniah Tsunami telah dilaksanakan dengan baiknya dan mendapat sambutan yang luar biasa daripada pihak penderma, baik yang beragama Islam dan bukan Islam. Masalah yang dihadapi sekarang ialah masih banyak derma dan sedekah berupa pakaian, makanan, peralatan dan mungkin juga perubatan yang masih banyak dan tertangguh penghantarannya.
Persoalannya ialah:
1. Bagaimanakah kedudukan pahala kebajikan bagi pihak penderma?
2. Bagaimanakah cara agar sedekah dan derma seumpama ini dapat disalurkan agar sampai ke tangan yang berhak menerimanya seperti Mangsa Tsunami dan seumpamanya? Bolehkah barangan dan peralatan sedekah atau derma itu ditukar strategi misalnya dibuat satu garage sale dengan terlebih dahulu memaklumkan kepada penderma secara umum agar mereka mengubah niat kepada faedah sahaja?
Jawapan: Derma atau sedekah insaniah yang dikhususkan kepada mangsa-mangsa tertentu seperti mangsa Tsunami, sama ada ia berupa wang, makanan, pakaian dan sebagainya adalah menjadi kewajipan pihak yang dipertanggunjawabkan ke atasnya menyempurnakannya berdasarkan niat orang yang berderma atau bersedekah, kerana ia adalah satu amanah.
Walau bagaimanapun adakalanya derma yang berbentuk pakaian, makanan, minuman dan seumpamanya menghadapi masalah seperti tergendala penghantarannya disebabkan oleh kos penghantaran yang terlalu tinggi atau lain-lain sebab sebagaimana yang disebut dalam pertanyaan.
Kedudukan Pahala Derma Barang-barang Yang Tergendala Penghantarannya
Dari sudut pahala, derma barang-barang yang tergendala penghantarannya, tidak akan menjejaskan pahala orang yang berderma, kerana dalam sebuah hadits Qudsi, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Ta‘ala berfirman:
Maksudnya: Apabila hambaKu hendak melakukan satu kejahatan maka jangan kamu (para malaikat) tulis ke atasnya (satu kejahatan) sehinggalah dia melakukannya. Jika dia telah melakukannya maka kamu tulislah ia sepertinya (iaitu satu kejahatan). Jika dia meninggalkannya (tidak jadi melakukannya) kerana Aku (Allah) maka kamu tuliskanlah baginya satu kebaikan. (Manakala) jika dia hendak melakukan satu kebaikan dan dia belum lagi melakukannya maka kamu tuliskanlah baginya satu kebaikan. Jika dia telah melakukannya maka kamu tuliskanlah baginya sepuluh kali ganda sepertinya hingga kepada tujuh ratus kali ganda. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menjual Derma Barang-barang Yang Tergendala Penghantarannya
Manakala dari sudut menyelesaikan derma barang-barang yang tergendala penghantarannya itu, apabila jalan untuk mengembalikan derma tersebut kepada pendermanya atau jalan untuk mengubah niat penderma dengan meminta izin daripada mereka terlebih dahulu adalah sukar dilakukan, maka dibolehkan derma barang-barang tersebut dijual dan hasil wang jualan tersebut disalurkan kepada mereka yang dikehendaki.
Ini adalah berdasarkan bahawa barang waqaf yang tidak dapat digunakan lagi kerana rosak atau pecah, maka barang tersebut boleh dijual sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj:
Ertinya: Dan (pendapat) yang ashah ialah harus menjual tikar masjid apabila ia buruk dan pohon kurmanya jika patah (bilamana) ia tidak layak (untuk digunakan lagi) kecuali untuk dibakar.
Menurut al-Qalyubi Rahimahullâh pendapat inilah pendapat yang mu‘tamad (menjadi pilihan). Asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh pula menyatakan bahawa menjual itu lebih utama (awlâ) daripada membakarnya supaya tidak hilang begitu sahaja (dengan sebab dibakar), atau supaya tidak menyusahkan kerana menyempitkan tempat untuk menyimpannya. Beliau seterusnya mengatakan:
Ertinya: Adapun tikar yang didermakan atau dibelikan untuk masjid adalah (harus) dijual kerana hajat. (Mughnî al-Muhtâj 2:531)
Ibnu Hajar Rahimahullâh pula menyebutkan dalam at-Tuhfah mengenai perkara ini, katanya:
Ertinya: Maka perolehan yang sedikit daripada penjualannya (perkakas) yang kembali untuk waqaf itu lebih utama daripada hilangnya (kerana dibakar), dan ia dikecualikan daripada (larangan) menjual (barang-barang) waqaf kerana ia seolah-olah sudah tidak ada, dalam pada itu hasil jualan berkenaan disalurkan bagi tujuan kemashlahatan masjid.
Jika barang waqaf yang sudah tidak dikehendaki lagi boleh dijual sebagaimana pendapat ulama yang telah dijelaskan, maka tentulah derma barang-barang yang tergendala penghantarannya kerana kosnya yang tinggi, boleh juga dijual dan hasil jualan itu hendaklah disalurkan kepada mangsa Tsunami bagi mengekalkan maksud penderma sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar Rahimahullâh bahawa penjualan barang waqaf yang rosak itu hendaklah disalurkan ke masjid (menurut niat pewaqaf).
Jika perkara tersebut tidak dilakukan, sudah tentu barang-barang berkenaan akan terbiar begitu saja kerana sukar untuk dikembalikan kepada tuannya. Akhirnya barang-barang berkenaan akan binasa begitu saja dan menjadi beban kepada pihak yang berkenaan untuk menempatkannya.
Jika dalam kedudukan barang waqaf dan barang yang didermakan kepada masjid boleh dijual kerana mashlahat atau hajat, padahal waqaf itu diurus dengan hukum yang sangat ketat, maka lebih wajar dan lebih utama derma dihukumkan begitu juga, memandangkan pengurusannya lebih mudah dan lebih longgar berbanding waqaf.
Sehubungan ini, cadangan untuk mengadakan garage sale atau jualan amal untuk menjual barang-barang sumbangan orang ramai kepada mangsa-mangsa Tsunami dan jumlah wang yang diperolehi daripda garage sale atau jualan amal ini akan diberikan kepada mangsa-mangsa Tsunami adalah lebih munasabah dan menepati mashlahat daripada membiarkannya rosak begitu sahaja. Lagipun cadangan tersebut boleh menyampaikan niat kutipan derma atau bantuan kerana matlamatnya adalah sama iaitu bagi menolong meringankan bebanan hidup mangsa-mangsa Tsunami.
Sebagai cadangan dan irsyâd jua, jika dapat diusahakan agar cadangan untuk mengadakan garage sale/jualan amal untuk menjual barang-barang sumbangan orang ramai kepada mangsa-mangsa Tsunami, dapat dimaklumkan melalui media massa seperti televisyen dan radio, akan menjadikannya lebih kemas lagi bagi tujuan berhati-hati.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11065
