Kiraan Fidyah Kerana Melengahkan Qadha’ Puasa
Soalan: Ibu saya dilahirkan pada tahun 1934, sekarang berumur 68 tahun. Beliau telah melahirkan anak (adik saya) pada 23/3/1960 dalam bulan Ramadhan hari yang ke-4, bermakna hanya 3 hari sahaja ibu saya berpuasa dan tidak berpuasa selama 27 hari pada tahun tersebut. Ibu saya sudahpun mengqadha’ puasanya (27 hari) itu pada Julai 2002.
Masalahnya ibu saya belum lagi membayar fidyah semenjak beliau melahirkan adik saya itu. Saya difahamkan bahawaََ ibu saya wajib membayar fidyah disebabkan lambat mengqadha’ puasanya dan sepatutnya dalam kiraan tahun hijrah.
Oleh itu, dipohonkan penjelasan Pehin cara pengiraan fidyah yang yang wajib ibu saya bayar sama ada dalam kiraan cupak (beras) atau kiraan wang ringgit Brunei.
Jawapan: Sebelum membuat pengiraan berhubung dengan fidyah kerana melengahkan qadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkan itu, ada baiknya disentuh berhubung dengan beberapa permasalahan yang berkaitan dengan qadha’ puasa dan fidyahnya untuk menambah lagi ilmu pengetahuan kita dalam hal ini supaya kita lebih berwaspada dan berhati-hati.
Kewajipan Mengqadha’ Puasa
Seorang Islam yang mukallaf apabila meninggalkan puasa Ramadhan sama ada disebabkan uzur atau tidak, maka wajib mengqadha’ puasa itu sebanyak hari-hari puasa yang ditinggalkannya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Orang yang meninggalkan puasa bukan atas sebab-sebab uzur wajiblah menyegerakan qadhanya. Adapun meninggalkannya disebabkan uzur seperti sakit, haidh, nifas, terlupa berniat, pitam atau musafir, maka tidaklah wajib dia menyegerakan qadhanya itu tanpa ada khilâf (perselisihan ulama) selagi belum masuk Ramadhan yang akan datang. Namun adalah mustahahb menyegerakannya.
Wajib Fidyah Dan Digandakan Kerana Melengahkan Qadha’ Sebagai Denda
Puasa yang ditinggalkan itu jika tidak diqadha’ sehingga terluput waktunya iaitu masuk Ramadhan tahun hadapannya, maka di samping qadha, wajib juga dikeluarkan fidyah iaitu sebanyak satu mudd bagi setiap satu hari puasa yang ditinggalkan. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Jika dia mengakhirkan qadha’ (puasa Ramadhan) sehingga (masuk) Ramadhan yang baru tanpa sebarang uzur, maka dia berdosa (kerana melengahkannya). Wajib ke atasnya menunaikan (puasa) Ramadhan ketika itu dan wajib juga ke atasnya sesudah itu menyelesaikan qadha’ yang luput waktunya itu. Dan dengan masuknya Ramadhan yang baru dia hendaklah membayar satu mudd makanan sebagai ganti bagi satu hari qadha’ yang luput itu berserta qadha. (Al-Majmû‘: 6/385)
Menurut pendapat al-ashah bahawa fidyah itu akan berganda dari tahun ke tahun berikutnya jika belum lagi diqadha’ dan belum dibayar fidyahnya yang terdahulu.
Orang yang melengahkan qadha’ sedangkan dia berupaya menunaikannya, lalu dia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan qadha’ puasanya itu maka wajib dikeluarkan daripada târikahnya (harta peninggalannya) bagi setiap satu hari sebanyak dua mudd iaitu satu mudd kerana luput waktu qadha’ dan satu mudd lagi kerana melengahkan.
Kiraan Fidyah Kerana Melengahkan Qadha
Berdasarkan buku TAQWIM ISTILAH (RUKYAH) TAHUN 1 HINGGA 1500 HIJRIAH BERSAMAAN TAHUN 622 HINGGA 2077 MASIHI yang diterbitkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam bahawa tanggal 23hb. Mac, 1960M adalah bersamaan dengan 25 Ramadhan, 1379H. Walau bagaimanapun atas dasar ingatan dan keterangan ibu penanya bahawa dia tidak berpuasa sebanyak dua puluh tujuh hari pada Ramadhan tahun berkenaan, maka perkiraan yang dibuat di bawah ini adalah berdasarkan sebagaimana yang dijelaskan oleh penanya kerana mengambil jalan ihtiyâth (berhati-hati).
Oleh kerana ibu penanya tidak menyelesaikan qadha’ puasa Ramadhan 1379H (1960M) sebanyak 27 hari sehingga masuk Ramadhan tahun 1380H, maka dengan masuknya Ramadhan tahun 1380 itu wajiblah ke atasnya membayar fidyah iaitu satu mudd/cupak bersamaan dengan 567gram (566.991g) untuk setiap satu hari qadha’ yang luput itu. Jumlah fidyah yang wajib dibayar ketika itu ialah 27 mudd/cupak iaitu bersamaan dengan 15,309/15,308.757 gram (567 gram x 27). Memandangkan qadha’ tersebut tidak juga ditunaikan dan berlarutan sehingga ibu penanya selesai mengqadhanya pada Julai 2002 yang lalu setelah masuk Ramadhan 1422H. Ini bermakna 43 kali Ramadhan telah dilaluinya. Maka untuk mengetahui jumlah fidyah dalam bentuk sukatan atau timbangan adalah seperti berikut:
Jumlah qadha’ sebanyak 27 hari. 1 hari puasa ditinggalkan dikenakan 1 mudd (567 gram). 27 hari puasa ditinggalkan dikenakan 27 mudd (567 X 27 = 15,309 gram).
Jumlah tahun meninggalkan qadha’ selama 43 tahun. Maka 27 mudd (15,309 gram) x 43 tahun = 1161 mudd (658,287 gram atau 658.287 kilogram).
Dengan itu, jumlah timbangan fidyah yang perlu dibayar ialah seberat 658.287 kilogram beras.
Dari segi nilainya pula, maka harga beras seberat 658.287 kilogram itulah merupakan nilainya.
Perlu diingat bahawa di dalam mazhab asy-Syafi‘e fidyah tidak sah dikeluarkan dengan harganya atau wang. Akan tetapi sebagai irsyâd dan bukan fatwa, adalah dibolehkan bertaqlîd dengan mazhab Hanafi bagi sesiapa yang hendak membayar fidyahnya dengan harganya atau wang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11070
