Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kitab Dalâ’il Al-Khairât Dan Cara Menggunakannya

Soalan: Saya memiliki kitab Dalâ’il al-Khairât dan ingin mengetahui bagaimana cara penggunaannya. Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Nama Kitab Dan Pengarangnya

Dalâ’il al-Khairât adalah sebuah kitab himpunan selawat yang disusun oleh seorang ulama besar yang dikenali sebagai Syeikh Imam al-‘Alim al-‘Amil al-Wali al-Kabir, Quthub Zamanihi Abu Abdullah Muhammad bin Sulaiman bin Abu Bakr al-Jazuli as-Samlilali asy- Syarif al-Hasani asy-Syadzali yang dilahirkan pada tahun 807H/1404M dan meninggal dunia pada tahun 870H/1465M. Kitab ini dianggarkan berusia lebih lima ratus tahun.

Di dalam kitab Mu‘jam al-Mu’allifin (11/118), nama kitab ini ialah: Dalâ’il al-Khairât fi ash- Shalât ‘alâ Sayyid as-Sadât Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam. Tetapi pengarangnya sendiri -sebagaimana yang akan disebutkan kemudian – menamakannya dengan nama Dalâ’il al- Khairât wa Syawâriq al-Anwâr fi Dzikr ash-Shalât ‘ala an-Nabiy al-Mukhtâr (Panduan Kebajikan dan Cahaya Gemerlapan Pada Menyebut Selawat Ke Atas Nabi Pilihan).

Isi Kandungan Kitab

Kitab ini mengandungi himpunan zikir dan do‘a yang terdiri daripada ayat-ayat al-Qur’an dan selawat, kelebihan membacanya, gambar rajah makam Nabi, al-Asmâ’ al-Husnâ, nama-nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan lain-lain. Mengikut catatan sesetengah ahli sejarah, kitab ini disusun oleh pengarangnya dengan berpandukan pelbagai rujukan yang terdapat di perpustakaan al-Qirawain, Maghribi.

Setelah mengucapkan selawat dan salam, pengarang dalam muqaddimahnya antara lain berkata:

“Kemudian daripada itu, tujuan kitab ini disusun ialah untuk menyebutkan selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan keutamaannya. Kami menyebutkannya dengan membuang sanad-sanadnya bagi memudahkan para pembaca menghafaznya. Berselawat itu adalah salah satu pekerjaan utama bagi sesiapa yang ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala.

Kitab ini saya namakan dengan nama: “Kitab Dalâ’il al-Khairât wa Syawâriq al-Anwâr fî Dzikr ash-Shalât ‘ala an-Nabiy al-Mukhtâr.” (Kitab Panduan Kebajikan dan Cahaya Gemerlapan Pada Menyebut Selawat ke Atas Nabi Pilihan). Saya menyusunnya adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Ta‘ala dan kerana cintakan RasulNya yang mulia, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.” (17-18)

Tersebar Dengan Meluas

Salah satu keistimewaan kitab ini ialah ia dimiliki oleh ramai orang, terdiri daripada kalangan ulama, penuntut dan orang awam di seluruh dunia Islam.

Penerbit kitab ini, Mansyurat wa Maktabah al-Hayah, Beirut, Lubnan telah mencetaknya beberapa kali. Dalam kata pengantar penerbitnya pada cetakan tahun 1987 ada menyebutkan:

“Mana-mana kitab yang dicetak atau ditulis tidak pernah mendapat tempat sebagaimana kitab Dalâ’il al-Khairât ini dari segi penyebarannya yang sangat meluas di berbagai negeri, daerah, kampung, desa dan bandar.

Tidak ada kampung, sama ada kecil atau besar melainkan kitab ini telah menjadi tetamu istimewa yang dibaca pada waktu pagi dan petang, sama ada di masjid-masjid dan di tempat-tempat ibadat, sama ada di rumah mahupun di pondok-pondok kecil di setiap negeri Islam, sama ada negeri Arab mahupun bukan Arab, sama ada jauh mahupun dekat.

Apa tidaknya kitab ini mendapat sambutan yang sedemikian, kerana ia sebuah kitab yang mengandungi selawat ke atas Nabi Shalâtullah ‘alaihi wasallam. Sekalipun terdapat kitab-kitab lain yang mengandungi selawat ke atas Nabi, tetapi tidaklah mendapat sambutan yang meluas sepertimana kitab ini kerana ia adalah kitab himpunan selawat yang paling mudah, paling sempurna, paling senang dan paling menyeluruh (mencakupi) daripada kitab-kitab selawat yang ada. (Dalâ’il al-Khairât wa Syawâriq al-Anwâr, Muqaddimah Penerbit: 5-6).

Isi Kandungannya Yang Terkini

Kitab ini telah ditulis semula di pelbagai negeri. Penulisan semula ini pula ada yang dengan tambahan zikir dan do‘a dan ada yang kekal sebagaimana dengan nash (teks) asalnya. Naskhah penulisan semula inilah yang dipakai untuk dicetak berulang kali oleh pelbagai syarikat penerbit. Akibatnya kitab ini telah menjadi dua versi. Versi pertama hanya mengandungi nash asal saja seperti yang disusun oleh Syaikh al-Jazuli Rahimahullâh. Versi kedua pula, mengandungi tambahan pelbagai kumpulan zikir dan do‘a yang disusun oleh ulama-ulama yang berlainan.

Berkenaan versi kedua ini, kebanyakannya diterbitkan dengan meletakkan nash asal di sebelah dalam kitab, manakala kumpulan zikir dan do‘a tambahan itu pula di sebelah hujung dan sebelah tepi kitab, kecuali Qashidah al-Burdah, ia diletakkan di penghujung nash asal. Pada kebiasaannya antara kedua-dua nash asal dan tambahan ini diletakkan garis pemisah dengan nash kumpulan do‘a dan zikir tambahan ditulis miring bersama tajuk masing-masing.

Antara kumpulan do‘a dan zikir tambahan yang bukan susunan pengarang asal kitab ini ialah seperti Hizb an-Nashr, Hizb al-Barr dan Hizb Bahr disusun oleh Sidi Abu al-Hasan asy- Syadzali, al-Hizb al-A‘zham disusun oleh al-Mulla Ali bin Sultan Muhammad al-Qari al- Harawi, Qashidah al-Burdah oleh Imam al-Bushiri, al-Hizb an-Nawawi disusun oleh Imam Nawawi, al-Hizb al-Bayyumi disusun oleh Syeikh al-Bayyumi, al-Hizb ad-Daur al-A‘la disusun oleh Sayyidi Muhyiddin, Do‘a Malam Nishfu asy-Sya‘ban, Qasidah al-Munfarijah, Qasidah al-Hai’iyah, Awrad Sidi Abdul Qadir al-Kilani, Selawat Musyisyiyah dan lain-lain.

Berkenaan nash asal, ia telah disyarahkan oleh beberapa orang ulama. Salah satu syarah kitab ini ialah kitab Mathâli‘ al-Masarrât bi Jalâ’ Dalâ’il al-Khairât oleh al-Imam Muhammad al- Mahdi bin Ahmad bin Ali bin Yusuf al-Fasi. Kali terakhir buku ini dicetak pada tahun 1389H/1970M oleh Musthafa al-Babi al-Halabi, Mesir. Kitab ini mengandungi 434 halaman.

Bagi versi kedua ini, walaupun mengandungi kumpulan zikir dan do‘a tambahan, pada kulit luar dan dalamnya masih lagi tertulis namanya iaitu Kitab Dalâ’il al-Khairât. Perlu diingat, nash asal Kitab Dalâ’il al-Khairât yang disusun oleh Syeikh al-Jazuli versi pertama tidak termasuk kumpulan zikir dan do‘a tambahan sebagaimana versi kedua yang disebutkan di atas.

Berdasarkan perbandingan beberapa naskhah cetakan Kitab Dalâ’il al-Khairât, diandaikan nash akhir versi pertama ini seperti berikut:

Pengijâzahan Kitab/Ilmu

Salah satu tradisi para ulama Islam zaman dahulu ialah apabila mereka telah selesai mengarang kitab, mereka akan membacakannya kepada penuntut mereka atau penuntut yang membacakannya di hadapan mereka. Tradisi ini merupakan kaedah pengambilan ilmu yang diamalkan pada zaman awal Islam yang dikenali dengan kaedah talaqqi atau musyâfahah.

Setelah selesai membacakannya, sama ada kesemua atau sebahagian kandungannya, mereka akan memberi kebenaran/keizinan kepada para penuntut untuk mengamalkan dan mengajarkannya. Kebenaran ini lebih dikenali dengan “ijâzah”.

Kemudian, penuntut-penuntut ini pula akan melakukan hal yang sama kepada penuntut masing-masing. Tradisi ini masih berlaku di sesetengah negeri sehingga sekarang dalam mengajar kitab-kitab tertentu, termasuklah kitab Dalâ’il al-Khairât.

Antara ulama yang memiliki ijâzah dan mengamalkan amalan yang terkandung di dalam kitab Dalâ’il al-Khairât ini ialah:

- As-Sayyid Abdul Muhsin bin Muhammad Ridhwan Rahimahullâh.

- As-Sayyid Muhammad Amin bin Ahmad Rahimahullâh.

- Syeikh Muhammad bin Ibrahim Abu al-Khudhair ad-Dimyathi Rahimahullâh.

- Syeikh Muhammad Salih bin Khairullah Rahimahullâh.

- Syeikh Rafi‘uddin bin Syamsuddin Rahimahullâh.

- Quthub Wajihuddin as-Sayyid Abdul Rahman bin Ahmad Rahimahullâh.

- dan Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani Rahimahullâh.

Selain daripada mereka, pada umumnya ulama-ulama Melayu sebelum abad ke-21M yang pernah belajar di pondok-pondok, rumah-rumah guru atau di Makkah ada memiliki ijâzah kitab ini.

Manfaat Membaca Bersama Guru

Antara manfaat kaedah membaca bersama guru ini ialah untuk menyambung tradisi yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika menyampaikan ilmu kepada para sahabat. Begitu juga untuk terus menyambung tali dan kaitan ilmu daripada sumbernya kepada murid. Antara manfaat yang paling ketara di zaman setelah berlakunya pembukuan ilmu, penyalinan semula dan pencetakan kitab-kitab ilmu itu ialah untuk memastikan ketulenan nash asal.

Sedia maklum, bahawa pada lazimnya kitab asal yang dikarang oleh seseorang ulama hanya terdapat satu naskhah saja. Kemudian naskhah ini diperbanyak dengan disalin semula oleh orang lain. Ketika penyalinan semula dibuat, diandaikan akan terjadi kesilapan dan kesalahan penyalinan. Perkara ini boleh terjadi kepada penyalinan yang dilakukan oleh orang yang sama, apalagi jika penyalin terdiri daripada beberapa orang, maka diandaikan kesilapannya akan lebih banyak lagi. Seterusnya penyalin-penyalin berikut akan menyalin semula salinan kedua dan ketiga yang diandaikan mengandungi kesilapan dan kesalahan itu. Begitulah yang berlaku pada setiap generasi dan setiap negeri.

Akhirnya banyaklah naskhah yang disalin yang diandaikan berbeza antara satu dengan yang lain yang digolongkan sebagai kesilapan kerana tidak selari dengan nash yang asal. Maka untuk memastikan ketulenan atau kesamaannya atau setidak-tidaknya hampir sama dengan nash asal, maka di sinilah perlunya penguasaan terhadap nash asal oleh orang-orang yang pernah membacanya bersama guru yang pernah pula membacanya atau mengambilnya daripada bacaan gurunya sehinggalah sampai kepada guru yang membacanya bersama pengarang.

Dari itu, apa yang berlaku pada masa sekarang terhadap kitab Dalâ’il al-Khairât, ia telah dicetak di pelbagai negeri dengan berpandukan naskhah yang berbeza-beza. Jika dibandingkan antara cetakan-cetakan ini pasti akan ditemui adanya perbezaan sama ada pada kalimat atau hurufnya.

Antara bukti perbezaan ini berlaku ialah pengalaman penuntut yang pernah membaca kitab ini di hadapan guru yang pernah membacanya bersama gurunya. Apabila guru membacanya dan menemui catatan pembetulan daripada gurunya, dia akan memberitahu penuntutnya bahawa gurunya berkata; sama ada menyebutkan: “Dalam naskhah lain begini kalimat atau hurufnya”, atau “mengikut guru atau ulama lain begini kalimat atau huruf”, atau “kalimat atau huruf yang betul adalah begini”, atau menyebutkan ungkapan lain yang mengarah kepada pembetulan kalimat atau huruf yang sedang dibaca.

Jadi membacanya bersama guru akan membawa kepada pembetulan ke arah mencapai keshahîhan kandungannya berdasarkan apa yang dibacanya dan didengarnya daripada gurunya.

Contoh: Pada m.s. 116 tertulis kalimat اافحخْر tetapi dalam naskhah lain tertulis kalimat ااُوْر ن.

Selain itu, nash Dalâ’il al-Khairât, begitu juga kumpulan zikir dan do‘a tambahannya ada yang mengandungi fadhilat tertentu, tetapi fadhilat ini tidak ditulis atau tidak dicetak, jadi guru akan menyebutkan fadhilat tersebut sebagaimana yang diterimanya daripada gurunya.

Contoh: Membaca selawat yang terdapat pada awal hizb hari Selasa adalah salah satu usaha supaya dapat bermimpi melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Di sini guru akan membacakan beberapa zikir tambahan yang tidak tertulis dalam nash Kitab Dalâ’il al-Khairât.

Kaifiyyah Mengamalkannya

Nash asal Kitab Dalâ’il al-Khairât dibahagikan kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian diberikan tajuk masing-masing. Tajuk-tajuk berkenaan antara lain: Do‘a permulaan Dalâ’il al-Khairât, hizb pertama: Hari Isnin, hizb kedua: Hari Selasa, hizb ketiga: Hari Rabu, hizb keempat: Hari Khamis, hizb kelima: Hari Jumaat, hizb keenam: Hari Sabtu, hizb ketujuh: Hari Ahad.

Tajuk-tajuk ini memberi isyarat ia dibaca mengikut urutan hari selama seminggu. Pada hari berkenaan ia dibaca dari awal tajuk sehingga tajuk berikutnya. Tetapi mengikut sesetengah maklumat orang yang pernah membacanya dengan guru, ada kalanya bacaannya bermula sebelum tajuk berkenaan dan berakhir selepas masuk tajuk berikut, misalnya: hizb hari Khamis berakhir pada m.s.139 tetapi hizb hari Jumaat bermula pada m.s. 137.

Berikut adalah keterangan sesetengah kaifiyyah mengamalkan isi kandungan Kitab Dalâ’il al- Khairât:

1. Bacaan dimulai pada hari Isnin, iaitu:

• Membaca istighfâr, membaca selawat dan surah al-Fâtihah, ayat al-Kursi, dan al- Asmâ’ al-Husnâ.

• Membaca lafaz niat membaca selawat.

• Membaca awal selawat pada m.s. 14, kemudian pertengahan m.s.17 dan m.s. 19 dan membaca nama-nama Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada m.s. 36 sehingga m.s. 47. Bacaan ini bersambung terus sehingga m.s.75. Bacaan pada hari ini dinamakan hizb hari Isnin.

2. Kemudian pada besok harinya, iaitu pada hari Selasa, bacaan disambung semula bermula dari ms. 74 di bawah tajuk “hizb kedua: Hari Selasa”. Begitulah sambungan bacaan seterusnya setiap hari sehingga sampai kepada “hizb hari Isnin”.

3. Apabila hendak membacanya semula, maka bacaan dimulai dan disambung semula sebagaimana kaifiyyah yang dilakukan pada mula-mula membacanya dahulu pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan seterusnya. Begitulah dilakukan sepanjang minggu, bulan dan tahun.

4. Pembacaan seperti ini biasanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk satu-satu hizb. Oleh kerana setiap hari ada hizb selawat tertentu, jadi sistem membacanya ialah bersambung setiap hari selama satu minggu yang bermula pada hari Isnin dan berakhir pada Isnin berikutnya.

Keterangan kaifiyyah sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah berpandukan kepada bacaan sesetengah guru dan berdasarkan kepada sesetengah cetakan Kitab Dalâ’il al-Khairât.

Membacanya Secara Berguru

Oleh sebab kandungan kitab ini hanya zikir dan do‘a-do‘a yang sesetengahnya mengandungi iqtibâs daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadits, maka tidak mengapa membacanya tanpa berguru. Tetapi bagi sesiapa yang ingin mengetahui lebih jelas lagi dan terperinci tentang cara menggunakan Kitab Dalâ’il al-Khairât atau berhasrat mengamalkannya, eloklah berguru kepada ahlinya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11076