Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Lafaz Yang Tidak Bermaksud Zhihâr

Soalan: Seorang suami mengatakan kepada isterinya: “Awak ni sama dengan ibu awak”. Tujuan ayat ini adalah untuk menyatakan bahawa perbuatan yang sering dilakukan si isteri, seperti sering mengomel sama dengan ibu isteri tersebut.

Apakah pandangan dan ulasan Pehin Mufti mengenainya?

Jawapan: Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, zhihâr adalah perkataan bahasa Arab berasal daripada kalimat zhahr. Dari segi bahasa, ertinya punggung atau bahagian belakang, kerana punggung adalah tempat tunggangan. Kaum perempuan diserupakan dengan punggung atau bahagian belakang, sebab dia menjadi tunggangan kepada suami. (Mughnî al-Muhtâj: 3/448).

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya al-Majmû‘ bahawa punggung isteri yang menjadi tunggangan suami itu adalah sebagai kinâyah (sindiran) kepada jimâ‘ suami isteri. (Al-Majmû‘: 18/430)

Manakala dari segi syara‘ pula, zhihâr bererti ucapan atau lafaz seorang suami yang menyamakan isterinya dengan ibunya atau mahramnya (dalam hal hubungan suami isteri). Yang dimaksudkan dengan mahram itu ialah perempuan-perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya. (Mughnî al-Muhtâj: 3/448)

Sebagai contoh berlakunya hukum zhihâr (haram melakukan hubungan suami isteri) ini seperti suami berkata kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti punggung ibuku”. Maka yang demikian itu, terjadilah zhihâr.

Jika suami berkata kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti belakang bapaku”, maka yang demikian tidak akan terjadi zhihâr kerana lelaki bukan tempat untuk istimtâ‘ (berseronok-seronok). (Al-Muhadzdzab: 4/410)

Dalil yang menerangkan tentang zhihâr itu sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Orang-orang yang zhihârkan isterinya daripada kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah) kerana isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. (Surah al-Mujâdalah: 2)

Hukum Zhihâr

Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa haram hukumnya menzhihâr isteri. Manakala orang-orang yang melakukannya (suami) adalah berdosa besar sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pemgampun. (Surah al-Mujâdalah: 2)

Rukun Zhihar

Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh di dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, zhihâr mempunyai empat rukun:

Rukun yang pertama: Orang yang menzhihâr (suami).

Syarat bagi suami yang menyamakan atau menyerupakan itu hendaklah suami yang mukallaf iaitu bâligh dan berakal, merdeka atau hamba, Muslim dan sukarela bukannya dipaksa. Suami tersebut mempunyai kuasa menthalaq isterinya yang dizhihâr itu. Ini bermakna zhihâr itu tidak akan timbul daripada pihak isteri kerana isteri tidak ada kuasa untuk menjatuhkan thalaq terhadap suaminya.

Rukun yang kedua: Orang yang dizhihâr (isteri).

Syarat isteri yang dizhihâr itu hendaklah isteri tersebut masih sah di bawah kuasa suaminya, termasuk isteri yang sedang menjalani ‘iddah setelah dicerai dengan thalaq raj‘i sama ada thalaq satu atau dua, kerana suami masih mempunyai kuasa menceraikannya dalam ‘iddah berkenaan.

Rukun yang ketiga: Orang yang disamakan atau diserupakan dengannya.

Syarat orang yang disamakan dengan isterinya itu ialah orang yang haram bernikah dengan suami untuk selama-lamanya dengan sebab nasab, susuan atau berambil-ambilan melalui pernikahan (mushâharah) seperti menantu dengan mertua. Rukun yang keempat: Shîghah (lafaz atau ucapan).

Lafaz yang diucapkan itu membawa maksud atau niat kepada zhihâr iaitu mengharamkan jimâ‘ suami isteri disamakan seperti haramnya jimâ‘ suami dengan mahramnya.

Lafaz Zhihâr

Zhihâr yang dilafazkan atau diucapkan oleh suami itu boleh terjadi sama ada dengan menggunakan lafaz sharîh (terang) atau lafaz kinâyah (sindiran).

i. Lafaz sharîh itu ialah perkataan atau lafaz yang jelasََ dan terang memberi makna zhihâr seperti suami berkata kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti belakang atau punggung ibuku”, atau “engkau seperti bahagian belakang ibuku.”

ii. Lafaz kinâyah itu ialah perkataan atau lafaz yang memberi maksud zhihâr dengan cara sindiran, namun terselit dalam hatinya ketika mengucapkan sindiran itu niat untuk zhihâr (mengharamkan perhubungannya dengan isterinya).

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika ucapan atau lafaz penyerupaan itu secara umum (muthlaq) tanpa menyebut mana-mana bahagian tubuh badan, ia di kira sebagai lafaz kinâyah. Jika tidak disertai niat menzhihâr isterinya, seperti kata suami kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti ibuku” atau “engkau macam ibuku”, maka tidaklah ia menjadi zhihâr. Jika dia niatkan zhihâr maka jadilah ia zhihâr. (Kitab al-Majmû‘: 18/438)

Anggota-Anggota Yang Termasuk Anggota Zhihâr

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘, jika suami berkata kepada isterinya: “Tubuhmu, zatmu, atau dirimu bagiku seperti punggung ibuku”, semua lafaz atau ucapan yang demikian itu adalah dikira zhihâr. Begitu juga, jika dikatakannya: “Engkau bagiku seperti badan ibuku” atau “tubuh ibuku,” kerana apabila disebut badan atau tubuh itu termasuklah juga bahagian belakang.

Menyerupakan isteri dengan bahagian anggota lain selain bahagian belakang ibu atau mahramnya, memerlukan pemerhatian. Jika anggota-anggota seperti tangan, kaki, dada, perut, faraj dan rambut atau seumpamanya itu tidak disebut untuk tujuan kemuliaan, maka penyerupaan dengan mana-mana daripada anggota ini adalah zhihâr menurut pendapat al-azhhar yang juga merupakan qaul jadîd Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh. (Al-Majmû‘: 18/437)

Kalau menzhihâr isteri dengan menyebut sebahagian daripada anggota isteri seperti kepala, tangan, faraj, rambut atau kaki disamakan dengan belakang ibu, maka ia adalah zhihâr.

Demikian juga, jika suami menyerupakan sebahagian anggota isterinya dengan sebahagian anggota ibu atau mahramnya seperti katanya: “Kepalamu bagiku seperti tangan ibuku”, ucapan ini adalah zhihâr.

Kalau yang disamakan itu setengah badan atau sesuku badan seperti kata suami: “Setengah badanmu atau sesuku badanmu bagiku seperti belakang ibuku”, adalah juga dikira menzhihâr. (Al-Majmû‘: 18/438)

Menurut asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, jika anggota yang disamakan atau diserupakan itu, biasanya disebut bagi tujuan kemuliaan, seperti katanya: “Engkau bagiku seperti mata ibuku”. Jika yang dimaksudkan dengan ucapan itu adalah kemuliaan isteri seperti kemuliaan ibunya, maka ia bukanlah zhihâr. Tetapi jika diniatkan zhihâr, maka ia adalah zhihâr. (Mughnî al-Muhtâj: 3/449-450)

Demikian juga jika suami berkata kepada isterinya: “Engkau seperti ibuku”, atau “engkau seperti jiwa ibuku”, atau “engkau seperti wajah ibuku”, maka ucapan-ucapan tersebut tidak akan menjadi zhihâr jika tidak ada niat untuk menzhihâr kerana ucapan-ucapan tersebut digunakan bagi tujuan kemuliaan. (Mughnî al-Muhtâj: 3/450)

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, jika suami mengatakan kepada isterinya: “Awak ni sama dengan ibu awak”, dan suami itu tidak ada niat apa-apa selain hanya ingin menyamakan perbuatan atau sikap isterinya dengan perbuatan atau sikap ibunya, maka suami tidak dikira menzhihâr isterinya kecualilah jika suami berkenaan berniat untuk menzhihâr. Ini kerana dalam rukun zhihâr, shîghah (ucapan) daripada lafaz kinâyah yang diucapkan, hendaklah mempunyai maksud atau niat kepada zhihâr iaitu mengharamkan jimâ‘ suami isteri.

Dengan yang demikian, maka suami tidaklah dikenakan kaffârah zhihâr jika dia tidak ada niat untuk menzhihâr isterinya dan hanyalah semata-mata untuk menyamakan perangai isteri dengan ibunya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11087