Majlis Penyerahan Bantuan Baitul-Mal
Soalan: Apakah kesannya kepada penerima bantuan Baitul-Mal yang menerima bantuan di khalayak ramai (dalam satu majlis), bukankah ini suatu penghinaan dan kerendahan moral? Adakah cara lain yang dianjurkan oleh agama Islam untuk menutup aib para penerimanya (supaya tidak diketahui umum)?
Jawapan: Menurut kebanyakan kamus, Baitul-Mal ialah tempat atau khazanah menyimpan harta benda umat Islam. Dengan lain perkataan Baitul-Mal ialah sebuah jabatan dalam negara Islam yang menyelenggarakan urusan kewangan. Dalam pemerintahan kerajaan Islam dahulu, Baitul- Mal merupakan pejabat perbendaharaan negara atau kementerian kewangan hari ini.
Baitul-Mal secara rasmi telah ditubuhkan pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu. Dua pendapatan negara yang penting ketika itu ialah zakat dan harta yang diperolehi melalui peperangan seperti jizyah, ghanîmah dan fai’. Bagaimanapun sumber pendapatan itu tidak disimpan lama. Ia terus diagihkan kepada tentera dan orang-orang yang berhak menerimanya.
Berdasarkan penjelasan di atas, Baitul-Mal merupakan perbendaharaan negara bagi sesebuah negara Islam. Ia berfungsi bukan sahaja untuk pembangunan yang ada kaitannya dengan ibadat khusus, seperti menyediakan masjid, untuk kebajikan orang yang memerlukan, malah merangkumi segala kegiatan pembangunan negara – sama ada untuk pembentukan ekonomi, infrastruktur, pendidikan, pertahanan, perkhidmatan awam, kebudayaan dan sebagainya.
Di Negara Brunei Darussalam, Baitul-Mal adalah sebuah badan yang mengurus dan mentadbir segala sumber harta zakat dan berkewajipan pula melaksanakan agihan daripada harta-harta tersebut. Pengagihan harta-harta zakat oleh Baitul-Mal kepada golongan yang wajib menerimanya seperti orang fakir dan miskin, adalah suatu perintah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan ‘âmil-‘âmil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60)
Ini bermakna, Baitul-Mal berfungsi sebagai badan amanah ke atas harta orang-orang Islam.
Berdasarkan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai badan yang mengurus dan mentadbir segala harta zakat dan berkewajipan melaksanakan agihan daripada harta-harta zakat berkenaan, maka pada kebiasaannya Majlis Ugama Islam melalui Baitul-Mal akan mengadakan suatu majlis bagi menyampaikan dan menyerahkan bantuan sama ada berupa kewangan atau harta benda daripada harta-harta zakat kepada orang-orang yang berhak menerimanya.
Perkara sedemikian tidaklah menjadi suatu kesalahan atau ‘aib dalam agama kerana perkara zakat adalah suatu syi‘ar. Syi‘ar ertinya lambang. Syi‘ar agama Allah atau syi‘ar Islam ialah amal ibadat yang zahir dan perkara-perkara yang berhubung dengan agama, yang melambangkan agama Allah. Apa jua perintah agama yang wajib ditaati, itulah syi‘ar. Maka wajib bagi orang Islam menzahirkan perkara syi‘ar dalam agama kerana meninggalkan syi‘ar Allah itu boleh membawa kepada mempermudahkan atau menghina perkara taat kepada Allah dan perintahNya. Perkara syi‘ar ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syi‘ar-syi‘ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. (Surah al-Hajj: 32)
Menurut Imam al-Qurthubi, menzahirkan sedekah wajib (zakat) adalah lebih utama bagi mengelakkan tohmah. Begitu juga Imam ath-Thabari menyatakan bahawa menzahirkan secara terang-terangan ibadat-ibadat fardhu seperti zakat adalah afdhal. Inilah yang disepakati oleh semua orang. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 3/251-252)
Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj menjelaskan:
Ertinya: Manakala zakat, menzahirkannya adalah afdhal dengan ijmâ‘ sebagaimana disebut dalam kitab al-Majmû‘. (Tuhfah al-Muhtâj: 164-165)
Khusus bagi orang perseorangan pula, Imam al-Qurthubi menasihatkan supaya pemberi zakat itu menyerahkan harta zakatnya secara sembunyi bagi mengelak orang ramai mencelanya daripada riya’. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 3/252)
Manakala bagi sedekah sunat pula adalah sebaliknya iaitu lebih afdhal memberikannya dengan sembunyi daripada terang-terangan bagi mengelak daripada riya’. Perkara ini ada dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 271)
Jumhûr al-mufassirîn (sebahagian besar ulama tafsir) berpendapat bahawa ayat di atas adalah ayat yang berhubung dengan sedekah sunat.
Dalam pada itu, terdapat juga riwayat yang mengharuskan pemberian sedekah di khalayak ramai seperti di dalam masjid sebagaimana Abdul Rahman bin Abu Bakar berkata:
Maksudnya: Telah bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Adakah seseorang daripada kamu memberi makan seorang miskin hari ini? Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu berkata: “Aku telah masuk ke dalam masjid, lalu aku diminta oleh seseorang yang meminta-minta. Maka aku dapati sepotong roti di tangan Abdul Rahman dan aku ambil roti tersebut dan memberikannya kepada orang yang meminta-minta itu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bûd ada menyebutkan bahawa Imam asy-Suyuthi berkata: “Hadits ini menyatakan sunat (istihbâb) bersedekah di dalam masjid kepada orang yang memerlukan bantuan (fakir dan miskin).
Dalam pada itu, Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmû‘ menyatakan:
Ertinya: Tiada mengapa memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan bantuan di dalam masjid sebagaimana hadits Abdul Rahman bin Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu (hadits di atas).
Berdasarkan keterangan di atas, maka majlis yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam melalui Baitul-Mal bagi menyampaikan dan menyerahkan bantuan sama ada berupa kewangan atau harta benda daripada harta-harta zakat kepada orang-orang yang berhak menerimanya tidaklah bertentangan dengan syara‘ dan moral kemanusiaan. Ini kerana, Islam memang sangat mengambil berat terhadap orang-orang yang memerlukan bantuan seperti fakir dan miskin. Dalam al-Qur’an dengan jelas memerintahkan harta-harta zakat diagihkan kepada ashnâf-ashnâf yang ditentukan. Maka inilah kewajipan dan tanggungjawab pemerintah Islam melalui Baitul-Mal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11096
