Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Membawa Masuk Anjing Ke Dalam Kabin Penumpang

Soalan: Mengikut Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa dan Komuniti Eropah Bersatu dalam pengendalian perkhidmatan pengangkutan udara, syarikat penerbangan disarankan untuk menerima anjing jurupandu bagi orang buta sebagai bagasi. Malahan ada di antara syarikat-syarikat penerbangan membenarkan binatang tersebut masuk ke dalam kabin penumpang.

Syarikat Penerbangan Diraja Brunei sedang meneliti dan memperbaharui Syarat-syarat Am Penerimaan Penumpang dan Bagasi, yang berkait rapat dengan penerimaan anjing sebagai jurupandu orang buta. Buat masa ini Syarikat Penerbangan Diraja Brunei menghendaki anjing yang dibawa hendaklah melalui perkhidmatan kargo.

Oleh yang demikian, pihak kami ingin mengetahui jika ada undang-undang atau fatwa yang membolehkan syarikat menolak atau tidak memberi kebenaran kepada penumpang membawa anjing berkenaan ke dalam kabin bersandarkan undang-undang agama Islam di Negara Brunei Darussalam bagi membantu pihak syarikat memperbaharui syarat-syarat am itu nanti.

Jawapan: Sesebuah negara Islam dikehendaki menetapkan peraturan-peraturannya bersesuaian dengan prinsip Islam. Antara prinsip Islam itu ialah mengutamakan mashlahat umum lebih daripada mashlahat khas sepertimana pendapat Imam ‘Izzuddin as-Sulami Rahimahullâh, seorang tokoh fiqh besar madzhab asy-Syafi‘e, dalam kitabnya Qawâ‘id al-Ahkâm fî Mashâlih al- Anâm:

Ertinya: Sesungguhnya perhatian syara‘ terhadap segenap kemashlahatan am adalah melebihi atau lebih banyak daripada perhatiannya terhadap segenap kemashlahatan khas. (Qawâ‘id al-Ahkâm fî Mashâlih al-Anâm: 2/75)

Prinsip mendahulukan dan mengutamakan kemashlahatan orang awam berbanding kemashlahatan individu ini juga disebutkan sebagai salah satu daripada kaedah fiqhiyyah oleh Imam asy-Syathibi Rahimahullâh, seorang ahli ushul fiqh dan ulama terkemuka madzhab Maliki, dalam kitabnya al-Muwâfaqât:

Ertinya: Mendahulukan kemashlahatan am daripada kemashlahatan khas. (Al-Muwâfaqât: 3/92)

Jika mashlahat itu diiringi atau disertai dengan sesuatu yang membawa kerosakan dan kesusahan, Islam menyarankan agar terlebih dahulu menghindari sesuatu yang boleh membawa kepada kerosakan tersebut daripada yang mendatangkan sebarang kemanfaatan. Terdapat kaedah yang menyatakan tentang perkara ini dalam kitab Syarh al-Qawâ‘id al- Fiqhiyyah:

Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan-kerosakan itu lebih utama daripada membawa (apa jua) kemashlahatan. (Syarh al-Qawâ‘id al-Fiqhiyyah: 205)

Adapun saranan membenarkan anjing sebagai jurupandu bagi orang buta masuk ke dalam kabin penumpang, hendaklah terlebih dahulu dilihat daripada berbagai aspek dengan tidak hanya melihat kepada kepentingan dan mashlahat individu semata-mata, bahkan sangat perlu difikirkan akan kesan dan akibatnya kepada orang lain.

Manfaat Kepada Orang Buta

Sememangnya tidak dapat dinafikan anjing boleh memberi kemudahan kepada orang buta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat sebagai jurupandunya.

Persoalannya, adakah anjing tersebut diperlukan ketika orang buta itu berada di dalam kabin penumpang, sedangkan pramugara atau pramugari sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan untuk membantu para penumpang terutama penumpang yang kurang upaya seperti orang buta. Tambahan pula, penumpang kapal terbang biasanya hanya duduk di tempat duduknya di sepanjang masa penerbangan sehinggalah kapal terbang sampai ke destinasinya.

Secara logiknya, adalah tidak perlu dan tidak sesuai anjing tersebut dimasukkan ke dalam kabin penumpang dalam apa pun jua keadaan, sekalipun seperti ia ditempatkan dalam kabin secara berasingan atau bersendirian. Memadailah setakat ia dibawa melalui perkhidmatan kargo.

Kenajisan Anjing

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, anjing termasuk dalam kategori najis mughallazhah. Seluruh anggotanya adalah najis termasuk apa sahaja yang berasal daripadanya seperti bulunya yang basah, air liur, peluh dan air kencing. Jika terkena pada mana-mana bahagian badan, pakaian, barang atau tempat, ia akan menyebabkan bahagian-bahagian tersebut bernajis dan perlu disucikan menurut cara yang ditentukan oleh hukum syara‘.

Menghindari diri daripada terkena najis adalah perkara yang dituntut. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri enggan memasuki rumah yang terdapat anjing di dalamnya.

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah datang ke sebuah rumah daripada kalangan orang-orang Anshar sedangkan rumah-rumah mereka yang lain tidak didatanginya. Ini menimbulkan keresahan di kalangan mereka, lalu mereka bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah! Tuan telah datang ke rumah si polan dan tidak datang ke rumah kami?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya dalam rumah kamu itu ada anjing”. Mereka berkata: “Sesungguhnya dalam rumah mereka itu ada kucing hutan”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Kucing hutan itu adalah binatang liar (bukanlah najis).” (Hadits riwayat al-Hakim)

Hadits yang menunjukkan bahawa kucing hutan atau sinnaur itu bukan najis dan tidak mengapa berada dalam rumah, ialah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, katanya:

Maksudnya: Sesungguhnya disediakan untuknya (Abu Qatadah) air untuk berwudhu, lalu seekor kucing hutan menjilatnya (air tersebut), lalu beliau pun mula berwudhu. Maka mereka berkata: “Wahai Abu Qatadah sesungguhnya air tersebut telah dijilat oleh seekor kucing hutan”. Lalu beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kucing hutan itu adalah tergolong daripada penghuni rumah dan sesungguhnya ia daripada golongan binatang jantan dan betina yang (pada kebiasaannya) mengelilingi kamu.” (Hadits riwayat Ahmad)

Tidak syak lagi, adanya anjing di dalam kabin penumpang akan menimbulkan berbagai-bagai masalah, seperti antaranya: persekitaran kabin pesawat tentulah tidak boleh dijamin akan terselamat daripada kemungkinan akan dicemari najis anjing sama ada jilatannya, tahi atau kencingnya.

Mesti diambil kira juga keadaan orang-orang Islam Brunei khasnya, bahawa mereka itu boleh dikatakan adalah rata-rata tidak menyenangi anjing kerana geli (jijik) atau takut digigit atau dijilat oleh anjing, atau malah setakat ‘tasagir’ (tersentuh) badan anjing pun mereka tidak mahu. Jadi cuba bayangkan jika ada anjing bersama-sama mereka di dalam kabin pesawat?

Dari sudut ini sahaja, syara‘ dengan nyata adalah mengutamakan mashlahat orang ramai (umum) daripada mashlahat peribadi atau persendirian (khas) itu.

Selain itu, adanya anjing di dalam kabin akan menyebabkan malaikat rahmat tidak memasuki kabin itu dan ini bermakna kita adalah menolak rahmat yang dibawa oleh malaikat, sebagaimana hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memberitahu:

Maksudnya: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan juga tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya rupa patung-patungan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh sebagaimana yang beliau petik daripada kata-kata para ulama, adapun keengganan malaikat masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing adalah kerana anjing itu baunya busuk dan malaikat benci kepada bau yang busuk dan juga kerana sebahagian daripada anjing-anjing itu dinamakan syaitan, sedang malaikat menjadi seteru syaitan. (Shahîh Muslim: 9/5742)

Keselamatan Penumpang

Anjing adalah sejenis binatang liar yang boleh dijinakkan. Namun ia hanya akan jinak kepada tuannya sahaja, bukan kepada orang lain. Bukan tidak pernah berlaku seekor gajah yang jinak telah bertindak liar sampai membunuh tuannya sendiri, demikian juga dengan binatang-binatang lain termasuk anjing.

Oleh sebab itu, jika anjing dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kabin penumpang, anjing tersebut boleh sahaja bertindak liar dengan menyerang atau menggigit penumpang lain. Dengan risiko demikian, kehadiran anjing tidak diragukan lagi, boleh mengancam keselamatan para penumpang lain.

Islam amat menjaga kemashlahatan umum dan sekali-kali tidak membenarkan mendedahkan diri dan juga orang lain kepada sebarang ancaman keselamatan. Perkara ini ada dinyatakan dalam hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiada mudharat dan tiada memudharatkan. (Hadits riwayat Ibnu Majah, ad-Daraquthni dan Malik)

Penyakit Berjangkit Anjing juga boleh membawa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan manusia seperti Rabies atau penyakit Anjing Gila.

Kesimpulan

Berdasarkan faktor-faktor yang disebutkan di atas, maka adalah selamat dan menepati syara‘ anjing itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam kabin penumpang. Memadailah sahaja ia dibawa melalui perkhidmatan kargo dengan menempatkannya di tempat khas, dan tempat itu pula selepas digunakan hendaklah dibersihkan atau disucikan menurut syara‘ bagi menjaga kemashlahatan penumpang-penumpang lain.

Jika larangan membawa masuk anjing atau binatang-binatang peliharaan di pasar-pasar raya atau restoran-restoran boleh dipatuhi dan tidak mendatangkan masalah kepada mana-mana pihak, maka mengapakah persoalan membawa masuk anjing ke dalam kabin pesawat pula yang timbul? Sepatutnya inilah yang lebih-lebih lagi dihalangi, kerana perkara itu sudah nyata boleh membawa kepada berbagai masalah yang membabitkan kepentingan atau mashlahat umum.

Oleh yang demikian adalah wajar bagi pihak Syarikat Penerbangan Diraja Brunei untuk melihat saranan Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa dan Komuniti Eropah Bersatu itu berdasarkan faktor-faktor agama, keselamatan dan keselesaan para penumpang sebagaimana yang telah dijelaskan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11108