Membayar Fidyah Puasa Dengan Harta Pusaka
Soalan: Apakah kedudukan orang yang tidak berpuasa tanpa keuzuran syara‘, kemudian dia meninggal dunia tanpa berwasiat untuk membayar fidyah puasanya? Adakah wajib ahli warisnya membayar fidyah daripada harta pusakanya dan berdosakah warisnya jika tidak menjelaskan fidyah bagi arwahnya?
Jawapan: Qadha’ Puasa Bagi Orang Yang Meninggal Dunia
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, jika seseorang mempunyai qadha’ puasa dan tidak mengqadhanya sehinggalah dia meninggal dunia sedangkan dia berupaya untuk mengqadha’ puasa tersebut semasa hidupnya tetapi dia tidak berbuat demikian, maka harus bagi warisnya memilih sama ada hendak mengeluarkan fidyah atau mengqadha’ puasa tersebut bagi pihak si mati sebagaimana yang disebutkan dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn (2/381-382):
Ertinya: Bahawasanya tidak ditetapkan (waris) memberi makanan (membayar fidyah) ke atas qadha’ puasa orang yang meninggal dunia, bahkan harus bagi wali (waris) berpuasa bagi pihak si mati.
Fidyah Dibayar Dari Harta Pusaka
Berkata as-Sayyid al-Bakri dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn (2/381-382):
Ertinya: Jika (si mati) meninggalkan harta pusaka, maka wajib ke atas wali si mati melakukan salah satu di antara keduanya: Puasa atau memberi makanan (membayar fidyah), jika sebaliknya, maka hukumnya adalah sunat.
Oleh itu, dapatlah difahami bahawa qadha’ puasa orang yang meninggal dunia wajib dibayar daripada harta pusaka si mati oleh warisnya sama ada dengan mengeluarkan fidyah atau berpuasa bagi pihaknya. Tetapi jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka sunat hukumnya waris melakukan sedemikian.
Hak-Hak Berkaitan Harta Pusaka
Harta pusaka atau harta peninggalan orang yang meninggal dunia mempunyai tiga hak yang wajib diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta tersebut dibahagikan kepada waris-waris yang berhak menerimanya. Jika hak-hak ini tidak dijalankan dengan sempurna, maka waris haram mengambil harta pusaka berkenaan. (Mughni al-Muhtâj: 3/4-5)
Perkara tersebut ialah:
(i) Belanja menyempurnakan mayat iaitu memandikannya, mengkafankannya dan mengusungnya sehingga menanamnya. Mengkafankannya hendaklah mengikut kadar keperluan secukupnya, mengikut taraf pakaian yang biasa dipakainya semasa hidupnya atau yang biasa dipakainya semasa hari-hari perayaan. Ini adalah hak atau perbelanjaan yang pertama sekali dikeluarkan daripada harta pusaka.
(ii) Melunaskan hutang-piutangnya sama ada hutang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau kepada manusia. Iaitu dengan mendahulukan hutang yang bersangkut-paut dengan hak-hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti zakat, haji, nazar, kaffârah, fidyah puasa dan seumpamanya. Kemudian melunaskan hutang yang ada pada manusia seperti hutang mahar kepada isterinya, hutang bagi barang-barang yang dibelinya, melunasi pinjamannya, hutang bayaran sewa dan lain-lain yang wajib dibayarnya.
(iii) Selepas melunasi segala hutang-piutangnya, barulah dilaksanakan wasiatnya dengan syarat-syaratnya.
Maka berdasarkan keterangan di atas, jika ahli warisnya itu tahu dia (orang yang meninggal dunia itu) ada menanggung hutang iaitu qadha’ puasa yang belum dilakukan semasa hidupnya, maka wajiblah dibayarkan qadha’ puasa yang luput itu sama ada dengan mengeluarkan fidyah daripada harta pusakanya atau dengan melakukan puasa bagi pihak si mati sekalipun si mati tidak berwasiat. Jika waris tidak menunaikan qadha’ puasanya sedangkan si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka haram harta pusaka tersebut dibahagi-bahagikan kepada ahli waris kerana masih ada tuntutan syara‘ yang belum ditunaikan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11116
