Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Memindah Kubur Lama Bagi Kegunaan Tapak Ternakan Udang

Soalan: Dipohonkan pandangan dan ulasan Pehin Mufti untuk memindahkan dua buah kawasan perkuburan lama yang termasuk di dalam kawasan tapak bagi ternakan udang di Telisai, Tutong. Setelah disiasat didapati salah satu kubur yang dimaksudkan diyakini kawasan tanah perkuburan Islam.

Jawapan: Tanah perkuburan merupakan tempat yang mulia kerana ia adalah sebagai satu penghormatan untuk si mati. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 32/245)

Menurut hukum syara‘ kawasan yang ada kubur itu adalah hak mayat yang ditanam di situ. Kawasan tersebut tidak boleh diganggu kecuali jika terdapat keperluan atau sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘.

Harus Menggali (Membongkar) Atau Memindah Kubur

1. Apabila mayat yang dikebumikan itu tidak menghadap qiblat atau mayat dikebumikan belum dimandikan atau belum dikapankan atau menggunakan kain kapan milik orang lain tanpa izinnya atau seumpamanya, maka haruslah dibongkar semula mayat tersebut. (Al- Majmû‘: 5/266)

2. Jika mayat tersebut dikebumikan dalam kawasan tanah yang dimiliki tanpa izin pemilik tanah dan tanah tersebut dituntut oleh pemiliknya, maka tidak mengapa kubur berkenaan dibongkar dan dipindahkan ke perkuburan musabbalah (tanah perkuburan awam yang masih digunakan oleh orang-orang Islam untuk mengebumikan mayat) untuk mengembalikan hak pemilik tanah tersebut. Dalam hal ini, makruh pemilik tanah tersebut menuntut tanah perkuburan berkenaan sebelum hancur anggota mayat di dalamnya dan disunatkan baginya untuk tidak berbuat demikian sehinggalah anggota mayat tersebut hancur keseluruhannya menjadi tanah demi menjaga kehormatan mayat tersebut. (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 3/39)

3. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, bahawa kubur yang dipercayai bahawa mayat yang ditanam di dalamnya telah hancur dan menjadi tanah adalah harus dibongkar atau digali untuk digunakan semula bagi menanam mayat yang lain. Oleh itu, kubur yang dipercayai mayat yang ditanam di dalamnya telah hancur dan menjadi tanah adalah tidak boleh di‘imârahkan jika ia terletak di tanah perkuburan awam (musabbalah), untuk mengelakkannya (kubur itu) daripada kelihatan seperti kubur baru, yang boleh menyebabkan orang lain tidak bertanam mayat di dalamnya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/58)

Oleh itu, apabila diyakini bahawa keseluruhan anggota mayat tersebut telah pun hancur menjadi tanah dan tidak lagi menampakkan kesan tulang mayat yang dikebumikan di situ serta kawasan perkuburan tersebut tidak lagi digunakan untuk pengebumian mayat, maka haruslah kubur tersebut digali atau dibongkar, jika kubur tersebut berada dalam tanah mawât (yang tidak dimiliki orang), tanah persendirian yang dipinjamkan dan tanah musabbalah yang tidak digunakan lagi.

Dengan demikian, tanah tersebut dapat digunakan untuk kemudahan lain yang boleh memberi manfaat seperti membangun bangunan atau bercucuk tanam dan sebagainya dan boleh juga ditasharrufkan (diperlakukan) tanah tersebut dengan menjualnya, hibah, waqaf atau sebagainya. (Majmû‘: 5/266)

Beberapa Peristiwa Yang Berkaitan Dengan Pembongkaran Atau Pemindahan Kubur

1. Peristiwa pembongkaran kubur boleh diqiyâskan dengan peristiwa pembongkaranََ kubur lama yang terdapat di kawasan yang akan dijadikan tapak masjid Nabi. Peristiwa ini disebut dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Wahai suku Najjar, kamu sebutkanlah kepadaku beberapa harga kebun kamu ini. Mereka menjawab: “Tidak, demi Allah kami tidak meminta harganya melainkan daripada Allah”. Anas berkata: “Sepengetahuanku di dalam kawasan kebun ini terdapat pohon-pohon kurma, kubur orang-orang musyrikin dan bekas-bekas runtuhan”. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh supaya pohon-pohon itu ditebang dan kubur-kubur itu dibongkar serta bekas runtuhan itu diratakan. (Hadits riwayat Muslim) Daripada hadits tadi, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan peristiwa tersebut menunjukkan bahawa boleh membongkar kubur lama dan boleh menjual kawasan tanah yang terdapat kubur padanya serta tanah itu tetap menjadi milik persendirian yang boleh diwarisi selama ia tidak diwaqafkan. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam asy-Syarif an- Nawawi: 3/1775).

2. Terdapat juga peristiwa di mana ada kubur para sahabat yang dibongkar dan dipindahkan ke tempat lain sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Majmû‘. Berkata Imam an- Nawawi Rahimahullâh bahawa hal ini tsabit diceritakan dalam kitab Shahîh al-Bukhari dalam satu riwayat daripada Jabir bin Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia mengubur bapanya dalam satu kubur bersama lelaki lain ketika terjadi Perang Uhud. Katanya:

Ertinya: Dan dikebumikan bapaku bersama orang lain dalam satu kubur. Kemudian setelah itu, hatiku tidak senang membiarkan dia dikubur bersama orang lain, maka aku keluarkan dia (mayat bapa) setelah berlalu enam bulan, ternyata keadaannya masih seperti ketika aku menguburnya dahulu kecuali ada kerosakan kecil pada daun telinganya. Dan dalam satu riwayat lain juga oleh Imam al-Bukhari: “Saya mengeluarkannya dan memindahkannya ke kubur sendiri.” (Al-Majmû‘: 5/273)

3. Terdapat lagi satu peristiwa yang dinukilkan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ yang ada disebutkan dalam kitab al-Ma‘ârif, diceritakan oleh Ibnu Qutaibah dan lain-lain bahawa Thalhah bin Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga - Radhiallâhu ‘anhum) telah dikuburkan selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi melihat Thalhah mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah pun menyuruh supaya kubur itu dibongkar semula, dan beliau pun dikeluarkan dalam keadaan masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah. (Al-Majmû‘: 5/273)

Haram Menggali (Membongkar) Atau Memindah Kubur

1. Jika mayat dikebumikan dalam kawasan tanah musabbalah yang masih digunakan untuk menanam mayat, maka haram menggali dan memindah kubur tersebut untuk dipergunakan bagi tujuan yang lain selain daripada bertanam mayat sekalipun keseluruhan anggota mayat yang ada di dalamnya telah pun hancur menjadi tanah.

2. Jika tanah yang digunakan untuk mengebumikan mayat itu merupakan waqaf untuk dijadikan tanah perkuburan, maka tidak harus dicerobohi tanah waqaf tersebut bagi kegunaan perkara lain selain daripada mengebumikan mayat. Meskipun tanah tersebut tidak lagi digunakan untuk mengebumikan mayat pada masa akan datang dan juga mayat-mayat yang ada di dalamnya telahpun hancur menjadi tanah.

3. Jika mayat dikebumikan di tanah milik perseorangan dengan kebenaran pemilik tanah tersebut sebagai pinjaman untuk dijadikan kawasan perkuburan, maka haram ke atas pemilik tanah itu menggunakan tanah berisi mayat atau kubur itu pada apa-apa jua pergunaan seperti bertanam pokok-pokok, menggali parit, mendirikan pondok atau rumah dan sebagainya sehinggalah mayat yang dikebumikan di situ hancur keseluruhannya menjadi tanah.

4. Jika mayat dikebumikan di tanah bukan kepunyaan seseorang, maka tanah itu dinamakan tanah mawât. Apabila dikebumikan mayat di tanah tersebut seperti di hutan rimba dan di bukit yang tidak dipunyai oleh orang perseorangan atau orang tertentu, maka haram menceroboh kubur mayat itu sehinggalah mayat dalam tanah tersebut hancur keseluruhannya menjadi tanah.

Merujuk kepada tanah perkuburan lama yang termasuk dalam kawasan 459 hektar untuk tapak ternakan udang di Telisai, Tutong yang telah diwartakan pada awal tahun 2004 di bawah kawalan Jabatan Perikanan, maka hendaklah dilihat kedudukan tanah perkuburan tersebut sebelum tahun 2004, sama ada ia tanah waqaf, tanah mawât, tanah persendirian atau tanah musabbalah yang tidak lagi digunakan pada masa sekarang dan akan datang.

• Jika kubur-kubur dalam kawasan perkuburan lama tersebut di atas tanah yang diwaqafkan untuk perkuburan orang Islam, maka tidak harus digunakan tanah perkuburan lama tersebut selain untuk mengebumikan mayat sahaja walaupun mayat-mayat yang ada di dalamnya telah pun hancur menjadi tanah.

• Jika kubur-kubur tersebut dalam kawasan tanah mawat, tanah persendirian atau tanah musabbalah yang tidak lagi digunakan pada masa sekarang dan akan datang, maka haruslah digunakan tempat perkuburan lama tersebut bagi tujuan lain selain daripada tanah perkuburan dengan syarat hendaklah semua anggota mayat yang terdapat di dalamnya itu hancur keseluruhannya menjadi tanah.

Jika sudah dipastikan status tanah seperti di atas dan keadaan mayat di dalam tanah tersebut telah pun hancur maka kawasan kubur tersebut bolehlah dibongkar atau digali dan digunakan untuk tujuan yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11121