Memindahkan Mayat Dari Sabah Ke Negara Brunei Darussalam
Soalan: Dengan segala hormat dan sukacita saya bagi pihak keluarga saya ingin memohon kebenaran memindahkan kubur abang saya yang jenazahnya telah dikebumikan di Pekan Keningau, Kota Kinabalu, Sabah, ke Negara Brunei Darussalam. Adapun sebab-sebab dipohonkan adalah kerana: 1. Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di sebuah perkampungan orang-orang Murut. 2. Kedudukan jenazah yang diragui tidak mengikut syarat-syarat peraturan perkuburan Islam (tidak menghadap qiblat). 3. Terletak di tepi bukit yang dikhuatiri lama-kelamaan akan terhakis tanahnya. Oleh yang demikian saya dan keluarga sangat-sangat mengharapkan agar permohonan ini dapat pihak kami terima jawapannya secepat mungkin bagi menghindari daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Kami sekeluarga sangat berbesar hati memohon bantuan yang selayaknya bagi proses pemindahan jenazah ke tanah air.
Jawapan: Zahir surat dayang tidak bermaksud meminta fatwa, tetapi memohon kebenaran memindahkan mayat orang Islam yang telah dikuburkan di Sabah ke Negara Brunei Darussalam. Sebenarnya kuasa memberi kebenaran ini bukan Jabatan Mufti Kerajaan. Tugas jabatan ini ialah memberi fatwa atau panduan hukum. Walau bagaimanapun, jabatan ini sukacita memberi sedikit panduan mengenainya.
Menggali Kubur Dan Memindahkan Mayat Memindahkan mayat orang Islam yang telah dikuburkan di Negeri Sabah, Malaysia ke Negara Brunei Darussalam melibatkan beberapa perkara. Antara lain perkara hukum dan bidang kuasa di negara-negara berkenaan: i. Hukum.
Memindahkan mayat orang Islam yang sudah dikuburkan ke tempat lain berkait dengan hukum menggali semula mayat.
Pada dasarnya tidak boleh menggali semula kubur orang Islam sebelum mayatnya hancur, sama ada untuk dipindahkan atau sebagainya kerana perbuatan seperti ini mencemar kehormatannya, kecuali dalam keadaan terpaksa. Sukat-sukat terpaksa di sini ialah apabila kehormatan jenazah tercemar jika tidak digali semula. (Mughnî al-Muhtâj: 1/496)
Antara keadaan terpaksa yang berkait dengan penggalian ialah semasa dikuburkan tidak dimandikan atau ditayamumkan, tidak dikafankan atau tidak menghadap qiblat. Manakala yang berkaitan dengan pemindahan ialah seperti dikuburkan dalam perkuburan orang kafir, dikhuatirkan ditenggelami air atau terhakis, dihinakan oleh orang-orang kafir atau oleh pembuat bid‘ah. (Mughnî al-Muhtâj: 1/496, Busyrâ al- Karîm: 2/39 dan Sabîl al-Muhtadîn: 85)
Menurut hukum syara‘ tidak berdosa memindahkan kubur-kubur jika ditakuti tercemar kehormatannya, bahkan wajib memindahkannya jika kubur-kubur itu tercemar kehormatannya. Ini adalah berdasarkan apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Para sahabat memindahkan para syuhadâ’ (orang-orang yang mati syahid) dari kubur mereka kerana menghindarkannya daripada terkena basah.
Selain itu ada juga kuburan para sahabat yang digali semula untuk dipindahkan ke tempat lain, di antaranya seperti keterangan berikut:
* Ketika mengulas pendapat Abu Abdullah az-Zubairi yang mengatakan boleh memindah mayat jika kuburannya dilalui air atau keadaan tanahnya lembap, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Pandangan az-Zubairi itu lebih ashah kerana di dalam Shahîh al-Bukhari telah tsabit daripada Jabir bin Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia mengubur bapanya dalam satu kuburan bersama lelaki lain ketika terjadi perang Uhud. Jabir berkata: “Hati saya tidak senang membiarkan dia dikubur bersama orang lain itu, maka saya keluarkan dia (mayat ayah itu) setelah berlalu enam bulan, ternyata keadaannya masih seperti ketika saya menguburnya dahulu kecuali ada kerosakan kecil pada daun telinganya, (dalam satu riwayat lain juga oleh Imam al- Bukhari disebutkan) “saya mengeluarkannya dan memindahkannya ke kuburan sendiri”. Di dalam kitab al-Ma‘ârif Ibnu Qutaibah dan lain-lain menyebutkan bahawa Thalhah bin Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga - Radhiallâhu ‘anhum) telah dikubur selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi melihat Thalhah mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah menyuruh supaya kubur itu dibongkar semula, dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah.” (Al-Majmû‘: 5/273)
Dengan yang demikian, hukum menggali kubur orang Islam dan memindahkan mayatnya adalah boleh bagi tujuan lebih menjaga kemuliaan dan kehormatannya.
ii. Bidangkuasa.
Walaupun dari segi hukum syara‘ menggali dan memindahkan mayat dibolehkan dalam beberapa keadaan seperti yang disebutkan terdahulu, akan tetapi pemindahan mayat berkenaan dari Sabah ke Brunei dijangkakan akan membabitkan peraturan dua buah negara; Malaysia dan Brunei Darussalam kemungkinan berbangkit soal kewarganegaraan mayat semasa hidupnya, kebenaran membongkar kubur, proses pemindahannya (jika dibenarkan) dan sebagainya.
Dalam perkara ini pemohon atau keluarga mayat disarankan meminta penjelasan lanjut dan berhubung kepada pihak-pihak yang berkenaan di Sabah seperti pihak Jabatan Agama, Kesihatan, Polis dan lain-lain yang berkaitan dengan perkara-perkara membongkar dan memindahkan mayat. Demikian juga pihak-pihak yang berkenaan di Negara Brunei Darussalam seperti pihak Jabatan Kesihatan, Imigresen, mungkin juga pihak polis dan sebagainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11125
