Menasabkan Anak Susuan Kepada Nenek
Soalan: Bolehkah anak yang memang asalnya Islam yang tidak diketahui bapanya (mangsa rogol) dan dia dijadikan anak angkat oleh nenek sebelah ibunya sendiri yang sebelum berumur dua tahun Hijrah telah disusukan oleh nenek berkenaan dibinkan dengan nama nenek tersebut untuk mengelakkan celaan dan penghinaan dan juga sebagai tanda asal usulnya?
Jawapan: Dalam perkara menasabkan, membinkan atau membintikan anak, agama Islam telah menetapkan beberapa kaedah mengenainya yang perlu diambil kira, kerana menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘ yang boleh mentsabitkan hukum-hakam terhadap anak kandung seperti perwarisan, nafkah, pengguguran hukum qishâsh (bapa atau ibu kandung (ushûl) tidak dikenakan qishâsh (balasan yang serupa) jika membunuh atau mencederakan anak kandungnya (furu‘), tidak dipotong tangan sama ada bapa atau ibu kandung (ushûl) mencuri harta anak kandungnya (furu‘) atau sebaliknya, dan wilâyah (penjagaan) ke atas harta atau wali dalam pernikahan, yang kesemuanya ini tidak tsabit ke atas anak susuan. (Asnâ al-Mathâlib: 3/415, al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 19/313)
Islam juga mengharamkan penasaban anak angkat atau anak luar nikah kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengan anak tersebut.
Larangan menasabkan anak kepada orang yang bukan bapanya sebenar dijelaskan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan Allah Ta‘ala juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maulâ-maulâ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disenghajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani). (Surah al-Ahzâb: 4-5)
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mengaku (mendakwa) dalam Islam orang lain sebagai bapanya dan dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada apa yang dijelaskan di atas, adalah dilarang menasabkan anak kepada orang yang bukan bapanya sebenar. Sekiranya tidak diketahui nasab atau bapanya yang sebenar, maka harus membinkan atau membintikan kepada ibunya atau saudara-saudara yang seagama seperti nama Abdullah atau Abdul Rahim atau nama-nama lain daripada al-Asmâ’ al-Husnâ yang tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasabnya.
Adapun radhâ‘ah (penyusuan) itu tidak boleh dijadikan sebab untuk membinkan atau membintikan kepada ibu susuan sekalipun ibu susuan itu nenek kepada anak susuan itu sendiri, kerana anak susuan hanya mempunyai hukum yang sama dengan anak kandung dalam beberapa perkara yang tertentu sahaja, iaitu dalam hukum pernikahan (haram bernikah dengan ibu susuan dan suaminya, ushûl iaitu ibu bapa kepada ibu dan suami ibu susuan, furu‘ iaitu anak-anak kepada ibu dan bapa susuan dan hawâsyi iaitu adik beradik kepada ibu dan bapa susuan), aurat, khalwat (tidak haram berdua-duaan tanpa mahram) dan tidak membatalkan wudhu ketika bersentuhan, tetapi tidak dalam perkara membin atau membintikan kepada ibu susuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11133
