Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menggunakan Barang Terpakai

Soalan: Apakah hukum memakai dan menggunakan peralatan seperti microwave atau peti sejuk ataupun pakaian dan peralatan tubuh yang dibeli secara second hand (barang terpakai) yang mungkin pemilik sebelum itu adalah orang bukan Islam?

Jawapan: Pada dasarnya, penggunaan barang terpakai itu tidaklah ada masalah dari segi hukum selama mana pada benda atau zat benda itu sendiri tidak jelas halangan untuk menggunakannya seperti adanya najis yang zahir dan seumpamanya.

Menurut hukum syara‘ sesuatu itu pada asalnya adalah suci melainkan apabila diyakini ia telah terkena atau bercampur najis maka ia dihukumkan najis atau bernajis, contohnya dalam permasalahan di atas seperti microwave, peti sejuk, pakaian dan peralatan tubuh. Semua benda-benda itu adalah suci pada asalnya. Maka ia tetap dihukumkan suci melainkan ada sebab iaitu seperti kita yakin benda-benda tersebut telah terkena najis, umpamanya kita dapat tahu bahawa benda-benda seperti microwave dan peti sejuk itu ada disimpan atau pernah disimpan daging babi di dalamnya, atau masih ada darah yang melekat pada pakaian atau pada peralatan tubuh itu. Jika ini berlaku, maka ia dihukumkan tidak suci (bernajis) kerana ada keyakinan tentang kenajisannya.

Dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir ada disebutkan bahawa:

Ertinya: Sesiapa yakin dia suci (daripada hadas), dalam pada itu dia merasa syak dia berhadas, maka dia adalah (dihukumkan) suci, atau dia yakin berhadas, dalam pada itu dia merasa syak dia suci, maka dia (dihukumkan) berhadas. (As-Suyuthi, al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 38)

Dalam Fath al-Mu‘în oleh al-Âlim al-‘Allâmah asy-Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al- Malibari anak murid kepada Ibnu Hajar al-Haitami, ketika membahaskan perkara-perkara najis yang dimaafkan (ma‘fuwun ‘anhu) khasnya mengenai tempat laluan atau jalan yang bernajis, beliau ada menyebutkan kaedah:

Maksudnya: Sesuatu yang asalnya suci, lalu berat sangkaannya ia menjadi najis dengan alasan bahawa barang yang seperti itu pada biasanya najis, maka dalam perkara ini ada dua pendapat yang terkenal dengan pendapat asal dan pendapat zahir atau ghâlib. Pendapat yang lebih kuat bahawa barang tersebut adalah suci, dengan alasan mengikut asal yang diyakini, di mana hal ini lebih terpercaya daripada “kebiasaan kejadian” yang selalu berbeza sesuai dengan keadaan dan masa. Yang demikian itu seperti pakaian pembuat arak, pakaian perempuan haidh, pakaian anak-anak kecil, bejana milik pemeluk-pemeluk agama yang menggunakan barang najis, daun yang umumnya berjatuhan di tempat najis, air liur anak kecil, kain tenun jukh yang terkenal diperbuat daripada lemak babi, keju Syria yang terkenal diperbuat daripada usus besar babi. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah diberikan keju oleh penduduk Syria, lalu Baginda makan sebahagiannya, Baginda tidakpun bertanya daripada apa keju itu diperbuat. Demikianlah kaedah yang telah dikemukakan oleh guru kita dalam Syarh al-Minhâj. (Fath al-Mu‘în li syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmât ad-Dîn: 14)

Jika benda-benda atau pakaian yang terpakai itu diyakini telah terkena najis selain anjing dan babi, maka ia wajib dibersihkan dengan menghilangkan najis itu sehingga tidak ada lagi ‘ain, bau dan rasanya. Jika najis tersebut bersumber daripada anjing atau babi atau apa-apa yang dinisbahkan kepada keduanya maka ia adalah najis mughallazhah. Sekiranya didapati najis ini ada disimpan atau terkena pada benda-benda atau pakaian yang terpakai itu tanpa berlapik, maka cara menghilangkannya ialah dengan membersihkan tempat yang terkena najis itu terlebih dahulu (jika ‘ainnya masih ada), kemudian membasuhnya dengan air mutlak sebanyak tujuh kali yang salah satu daripadanya dengan air yang bercampur tanah.

Walaupun pada kebiasaannya pengguna asal (orang bukan Islam) menggunakan peralatan-peralatan itu untuk memasak atau menyimpan benda-benda najis, tetapi ini sahaja belumlah dianggap bukti atau keyakinan untuk menetapkan ia menanggung najis. Bukti dan keyakinan itu hendaklah berdasarkan penglihatan atau pengetahuannya sendiri atau perkhabaran daripada orang yang ‘âdil lagi dipercayai bahawa peralatan itu pernah terkena najis.

As-Sayyid al-‘Allâmah Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullâh ada menyebutkan:

Ertinya: Setiap benda (suci) yang tidak diyakini mengandungi najis, tetapi benda itu pada ghâlib jenisnya memang mengandungi najis, seperti pakaian anak-anak kecil, orang-orang jahil daripada kalangan tukang-tukang sembelih binatang dan penganut-penganut agama daripada kalangan orang-orang kafir yang di dalam syariat mereka menggunakan najis.

Seperti para pemakan daging khinzîr, (maka) menurut pendapat yang paling râjih/kuat darpadai dua pendapat mengenai perkara ini ialah beramal dengan hukum asal (sesuatu itu) iaitu ia (dihukumkan) suci. (Imam Ba‘alawi, Bughyah al-Mustarsyidîn: 15)

Sekalipun demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, ada baiknya peralatan atau barang-barang tersebut sebelum memakai atau menggunakannya dibersihkan terlebih dahulu termasuklah menyertunya jika diragui ia terkena atau tersentuh najis mughallazhah.

Langkah ini diambil bertolak daripada hukum menggunakan bejana dan pakaian orang bukan Islam yang digunakan oleh mereka iaitu dihukumkan makruh jika tidak diyakini kesuciannya, kerana mereka itu tidak menjaga dan menghindarkan diri dan barangan mereka daripada benda-benda najis atau terdedah kepada najis. (Lihat al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 1/317-321).

Berdasarkan penjelasan di atas, maka dasar utama dalam menilai kesucian sesuatu itu adalah tertakluk kepada hukum asal. Sesuatu yang asalnya suci tetap dihukumkan suci melainkan jika ada keyakinan ianya terkena najis dan belum dibersihkan menurut aturan syara‘. Keyakinan sedemikian tidak akan bertukar hukumnya sekadar adanya keraguan sebagaimana kaedah yang disebut oleh Imam as-Suyuthi iaitu:

Ertinya: Keyakinan itu tidak disingkirkan dengan syak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11142