Menunaikan Haji Menggunakan Wang Pinjaman
Soalan: Adakah boleh seseorang itu mengerjakan haji dengan wang pinjamannya? Maksudnya seperti ‘loan’ daripada bank yang akan dibayar pada tiap-tiap bulan mengikut tempoh yang diberikan. Adakah ia tidak dinamakan sebagai duit hutang?
Jawapan: Istithâ‘ah Sebagai Syarat Wajib Menunaikan Haji
Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya, iaitu mukallaf (bâligh dan berakal), merdeka dan ada istithâ‘ah (kemampuan). Ia berbeza dengan rukun-rukun Islam yang lainnya kerana ibadat haji ini hanya diwajibkan mengerjakannya sekali seumur hidup bagi orang yang ada istithâ‘ah sahaja. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. (Surah ‘Âli ‘Imran: 97)
Ayat al-Qur’an di atas menyatakan bahawa haji itu wajib bagi orang yang mempunyai istithâ‘ah (kemampuan) untuk mengerjakannya sahaja. Apakah yang dimaksudkan dengan istithâ‘ah itu?
Maksud istithâ‘ah ialah berkuasa atau berkemampuan. Sebagaimana yang diterangkan dalam kitab al-Majmû‘, kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib dan kitab-kitab fiqh yang lain bahawa istithâ‘ah yang menjadi syarat wajib haji termasuk umrah itu terbahagi kepada dua:
1. Istithâ‘ah mubâsyarah: Iaitu mampu mengerjakan dan melaksanakan ibadat haji dengan melakukannya sendiri.
2. Istithâ‘ah bi ghairih: Berkuasa mengerjakan haji tetapi dengan perantaraan orang lain. Misalnya orang yang wajib ke atasnya haji sebelum dia meninggal dunia, wajib dikerjakan hajinya dengan harta peninggalannya bagi pihaknya atau orang terlalu tua yang tidak berupaya mengerjakan hajinya kecuali dengan mengupah orang lain untuk mengerjakan haji bagi pihaknya.
Adapun bagi orang yang memiliki istithâ‘ah mubâsyarah atau orang yang mampu mengerjakan hajinya sendiri itu terdapat beberapa syarat:
i) Mempunyai perbelanjaan atau bekalan yang mencukupi untuk dirinya ketika dalam perjalanan pergi dan balik serta sewaktu melaksanakan fardhu haji, dan juga perbelanjaan bagi sara hidup orang yang di bawah tanggungannya atau orang yang wajib diberikan nafkah ke atasnya semasa dalam pelayarannya.
ii) Ada kenderaan untuk perjalanannya, sama ada miliknya sendiri ataupun disewa dengan kadar sewaan biasa atau sewaan semasa menurut keadaan, tempat dan waktu. Umpamanya kapal terbang, kapal laut, bas dan sebagainya.
Syarat yang kedua ini diwajibkan bagi orang-orang Islam yang tinggal sejauh dua marhalah atau lebih dari Makkah al-Mukarramah iaitu jarak perjalanan yang membolehkan diqasharkan sembahyang.
Kedua-dua syarat di atas ini ada disebutkan dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah dia syarat yang mewajibkan haji itu?”. Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iii) Hendaklah aman dan selamat dalam perjalanannya daripada bahaya, seperti binatang buas ataupun musuh. Bukan sahaja ke atas dirinya tetapi juga ke atas hartanya, kehormatannya dan juga keselamatan orang-orang yang bersamanya.
iv) Sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan atau kesukaran yang tidak dapat ditanggung menurut kebiasaannya dalam perjalanan umpamanya kerana tua atau sakit.
v) Mempunyai kesempatan dan masa bagi menunaikan fardhu haji. Maksudnya ialah seseorang itu memenuhi syarat-syarat wajib haji dan pada ketika itu mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat urusan dan melakukan perjalanan bagi menunaikan fardhu haji sebagaimana yang biasa dilakukan.
vi) Bagi perempuan yang ingin menunaikan fardhu haji hendaklah ditemani oleh suaminya atau mahramnya atau perempuan-perempuan yang dapat dipercayai, sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alihi wasallam:
Maksudnya: Janganlah seorang perempuan berpergian bagi jarak perjalanan dua hari tidak bersama suaminya atau mahramnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sekiranya salah satu daripada syarat istithâ‘ah di atas tidak dipenuhi, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya ibadat haji kerana dengan gugurnya satu syarat sahaja dia tidak dikira mempunyai istithâ‘ah itu.
Berhutang Untuk Menunaikan Fardhu Haji
Apabila seseorang itu berhutang sama ada kepada bank atau yang selainnya, ini bermakna dia dianggap sebagai orang yang belum atau tidak mempunyai istithâ‘ah. Oleh yang demikian orang yang berkeadaan seumpama ini tidaklah wajib ke atasnya untuk menunaikan ibadat haji.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata mengenai orang yang mempunyai hutang dan kewajipan ibadat haji baginya:
Ertinya: Telah berkata ulama-ulama asy-Syafi‘e: “Sekiranya orang yang memberi hutang itu setuju hutang itu dibayar kemudian sehingga (orang yang berhutang itu) pulang dari mengerjakan haji, ibadat haji itu masih tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu tanpa percanggahan pendapat.”
Kemudian beliau memberi alasan kenapa orang yang mempunyai hutang itu tidak wajib berhutang untuk pergi menunaikan haji sebagaimana katanya:
Ertinya: Apabila sudah tidak wajib (haji itu) ke atas orang yang memang sedia ada hutangnya kerana hutangnya itu, maka tidak wajib berhutang (untuk pergi haji) itu adalah lebih awlâ (utama) lagi. (Al-Majmû‘: 7/56)
Perkara berhutang untuk mengerjakan ibadat haji ini ada disebutkan dalam sebuah hadits riwayat Abdullah bin ‘Auf katanya:
Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang seorang lelaki yang belum lagi menunaikan haji: “Adakah dia perlu berhutang untuk menunaikan haji itu?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Dalam sebuah atsar yang diriwayatkan daripada Thariq, beliau berkata:
Maksudnya: Aku pernah mendengar Ibnu Abu Awfa (salah seorang sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam) ditanya berkenaan seorang lelaki yang mahu berhutang dan menunaikan haji (dengan hutangnya itu), beliau berkata: “Mohonlah rezeki kepada Allah dan jangan berhutang.” (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi)
Kedudukan Haji Orang Yang Berhutang
Sekiranya orang yang berhutang ini mengerjakan haji juga dengan duit yang dihutangnya itu, ibadat haji yang dikerjakannya itu sah sebagai haji fardhu dalam Islam. Apabila suatu hari nanti dia sudah termasuk dalam kategori orang yang berkemampuan untuk menunaikan haji, maka dia tidak lagi diwajibkan atau dituntut untuk mengerjakan haji. Ini jelas disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Adapun untuk dikira haji yang dikerjakan itu menjadi haji Islam (haji fardhu), maka syaratnya ada empat perkara iaitu Islam, berakal, merdeka dan bâligh. Jika seorang fakir berusaha dengan bersusah payah (untuk mendapatkan perbelanjaan bagi tujuan) mengerjakan haji, maka haji itu menjadi haji Islam. (Hâsyiah Ibn al-Hajr ‘ala al-Îdhâh: 95)
Beliau berkata lagi dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Maka memadailah (sah) haji seorang yang fakir (yang berusaha untuk mendapatkan perbelanjaan menunaikan haji). (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/453)
Asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj, ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi di atas berkata:
Ertinya: Dan (begitu juga memadai (sah) haji yang dilakukan oleh) setiap orang yang tidak berkemampuan apabila terkumpul (dua syarat) iaitu merdeka dan taklîf (berakal dan bâligh). (Mughnî al-Muhtâj: 2/209)
Islam melarang keras umatnya daripada berhutang jika dia tidak mampu dan tidak ada harapan untuk membayarnya kelak, walaupun bagi tujuan ibadat haji atau umrah. Ini kerana berhutang itu mengandungi risiko yang tinggi dan menyusahkan, bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat jika orang yang berhutang itu melengah-lengahkan pembayaran hutangnya itu, sehingga dia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullâhu Ta‘âlâ, ada menyebutkan tentang risiko berhutang. Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya. (Hadits riwayat Malik)
Dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung kerana hutangnya (yang belum dibayar) sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Oleh itu, bagi orang yang ingin mengerjakan haji fardhu, tidaklah perlu sampai berhutang sehingga menyusahkan dirinya. Ini bukanlah yang digalakkan oleh Islam kerana hutang itu akan menjadi bebanan dan menyusahkannya sebagaimana yang disebut oleh hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di atas. Lebih-lebih lagi jika haji yang dikerjakan itu untuk kali kedua atau seterusnya.
Maka dalam hal mengerjakan haji ini, para ulama telah menjelaskan syarat-syarat tertentu yang amat padat, kemas dan ringkas berdasarkan al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka haji tidak wajib baginya, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam.
Ini jelas menunjukkan Islam itu adalah agama rahmat dan mudah dan ia tidak menyusahkan umatnya, kerana seseorang itu tidak akan dibebani dengan sesuatu yang di luar kemampuannya, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: 286)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11149
