Merayakan Hari Halloween
Soalan: Dipohonkan pandangan dan penjelasan Pehin Mufti mengenai sambutan ‘Halloween’ oleh masyarakat Islam mengikut perspektif atau pandangan hukum syara‘.
Jawapan: Pengertian Halloween
Halloween atau dikenali juga sebagai All Hallows’ Eve atau Evening merupakan antara hari-hari perayaan orang kafir atau orang bukan Islam. Ia disambut atau dirayakan pada 31hb. Oktober setiap tahun. Antara tujuan perayaan ini dirayakan adalah untuk menandakan kedatangan roh-roh orang mati melawat semula kediaman mereka dan wujudnya kepercayaan mengenai dengan hantu, tukang sihir, syaitan dan seumpamanya berkeliaran pada hari tersebut. (The New Encyclopedia Britanicca: 5/646)
Larangan Menyerupai Orang Kafir
Orang Islam hendaklah sentiasa peka supaya tidak menyerupai perbuatan, akhlak dan budaya orang kafir atau orang bukan Islam, lebih-lebih lagi aqidah mereka boleh menyebabkan kufur dan mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam. Larangan tersebut adalah berdasarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan tentang kesan yang akan diterima oleh seseorang apabila menyerupai sesuatu kaum atau kumpulan.
Hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa menyerupai dengan (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang diserupainya itu). (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam al-Munawi dan Imam al-‘Alqami seperti yang dinyatakan dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abu Daud, yang dimaksudkan tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu kaum itu ialah berpakaian pada zahirnya dengan pakaian kaum itu (pakaian yang khusus dipakai oleh mereka) dan berkelakuan mengikut perangai atau tingkah laku kaum tersebut dalam aspek pakaian dan sebahagian perbuatan mereka. (‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abu Daud: 11/59)
Daripada penerangan tersebut, dapat difahami bahawa apabila seseorang itu tasyabbuh dengan kelakuan, akhlak atau budaya, lebih-lebih lagi aqidah orang lain, maka kesannya dia akan menjadi seperti mereka atau termasuk dalam golongan orang yang diserupainya itu.
Maka dalam hal ini, jika seorang Islam itu tasyabbuh dengan kelakuan, akhlak, budaya atau aqidah orang kafir atau orang bukan Islam, maka akibatnya dia akan menjadi seperti mereka atau termasuk dalam golongan tersebut.
Berkata ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin al-Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:
Ertinya: Kesimpulan daripada apa yang dinyatakan oleh para ulama mengenai berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir; adakalanya seseorang itu berpakaian dengan pakaian mereka (orang kafir) kerana suka atau cenderung kepada agama mereka (orang kafir) dan berniat untuk menyerupai mereka dalam simbol-simbol kekufuran, atau pergi bersama mereka (orang kafir) ke rumah-rumah ibadat mereka (orang kafir), maka menjadi kufurlah dia yang demikian itu dengan kedua perkara tersebut. Dan adakalanya dia tidak berniat sedemikian (tidak ada maksud hatinya untuk suka atau cenderung kepada agama kafir) bahkan maksud atau tujuannya hanya untuk tasyabbuh semata-mata dengan mereka sahaja pada simbol-simbol perayaan mereka atau sebagai penghubung kepada muamalat yang harus bersama mereka, maka orang tersebut berdosa. Dan adakalanya dia hanya sama dengan mereka (secara kebetulan sahaja) tanpa apa-apa maksud atau niat, maka hukumnya (adalah) makruh seperti mengikat kain dalam sembahyang. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 307)
Walau bagaimanapun, tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik tidaklah menjadi satu kesalahan sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abu Muhammad bin Abu Jamrah Nafa‘allâhu bih, beliau berkata:
Ertinya: Mengikut zahir lafaz (hadits) bahawa celaan daripada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) itu adalah dalam setiap perkara, akan tetapi yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang dimaksudkan (ialah) tasyabbuh pada pakaian, sebahagian sifat, tingkah laku (perbuatan) dan seumpamanya, bukan tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik. (Fath al-Bâri: 11/521)
Berdasarkan penerangan yang telah dijelaskan oleh para ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa hukum tasyabbuh itu adalah bergantung kepada siapa yang hendak diserupai dan tujuan atau niat apa tasyabbuh itu dilakukan.
Hukum Menyambut Hari Halloween
Islam adalah agama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang wajibََ dipelihara daripada segala perkara yang merosakkan kesucian dan kemuliannya.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Agama Islam itu mengatasi (agama lain) dan tiada (agama lain) dapat mengatasi (agama Islam). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Mengenai persoalan orang Islam menyambut hari Halloween, daripada apa yang telah diterangkan, perayaan tersebut adalah perayaan orang kafir atau orang bukan Islam yang tidak ada kena-mengena langsung dengan Islam. Yang menjadi persoalan, kenapakah sesetengah orang Islam terikut-ikut merayakan perayaan orang kafir atau orang bukan Islam sedangkan diketahui perayaan tersebut bukannya berasal daripada agama Islam? Maka tidak diragukan lagi perbuatan tersebut merupakan satu kelakuan yang hina dan berdosa serta amat ditegah dalam Islam kerana membesarkan dan mengagungkan syi‘ar-syi‘ar (simbol-simbol) perayaan orang kafir atau orang bukan Islam.
Dalam hal ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd Aziz, bekas Mufti Kerajaan Brunei, dalam fatwanya bilangan: 20/91, beliau menyatakan:
“Jika orang Islam menyerupai orang lain daripada orang Islam pada perayaan orang lain daripada orang Islam itu dan mengambil bahagian dalam perayaan orang lain daripada orang Islam itu, maka ia telah dosa dan tiada kufur, tetapi itu dosa besar kerana ia berjinak-jinak dengan perayaan itu, bagaimana kata al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ berjinak-jinak dengan duduk bersama-sama orang minum arak dan lain-lain orang daripada orang-orang fâsiq itu adalah dosa besar.”
Maka dapat disimpulkan bahawa perbuatan orang Islam menyambut atau merayakan hari Halloween itu adalah berdosa besar, kerana menyerupai perayaan orang kafir atau orang bukan Islam walaupun sekadar tujuan tasyabbuh semata-mata tanpa kecenderungan untuk mengikuti agama mereka. Tetapi jika orang Islam itu merayakan hari Halloween dengan tujuan tasyabbuh kerana menyukai agama orang kafir atau orang bukan Islam, maka tidak syak lagi tindakannya itu akan mengakibatkannya berada dalam kekufuran keluar daripada Islam.
Oleh yang demikian, selaku orang Islam, kita sepatutnya sentiasa menegakkan syi‘ar-syi‘ar Islam supaya dapat mengembangkan lagi dakwah Islam yang sedia ada, bukan mengagungkan budaya atau perayaan orang kafir atau orang bukan Islam untuk diadaptasikan dalam agama Islam.
Maka sebagai peringatan bersama, jauhkanlah diri daripada terikut-ikut perbuatan atau budaya yang boleh membawa kepada dosa dan rosak aqidah kita orang Islam. Dalam hal ini, kewaspadaan kita adalah memainkan peranan penting kerana musuh-musuh Islam sentiasa mengatur berbagai-bagai taktik untuk mengelirukan fahaman orang Islam dan akhirnya mengeluarkan mereka daripada agama Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11154
