Pahala Bacaan Al-Qur’an Yang Dihadiahkan Kepada Si Mati
Soalan: Dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenai pendapat yang mengatakan bahawa tahlîl, bacaan Yâsîn, al-Qur’an dan do‘a selamat yang dikirimkan kepada si mati adalah tidak sampai pahalanya kepada si mati. Bagaimanakah pula dengan amalan anak yang membaca al-Qur’an untuk ibu bapanya?
Jawapan: Pada dasarnya, apa yang kita amalkan seperti membaca al-Qur’an, zikir, tahlîl (ucapan ََ حالح َإَلٰه إَاله َهللا), selawat, do‘a dan bersedekah adalah antara amalan yang disyariatkan dan dianjurkan dalam Islam. Manakala mengenai perkara menghadiahkan pahala amalan tersebut kepada si mati, terdapat perbincangan ulama mengenainya.
Do‘a Dan Sedekah Untuk Si Mati
Asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh menerangkan:
Ertinya: Kemudian beliau (Imam an-Nawawi Rahimahullâh) menyentuh mengenai perkara yang memberi manfaat kepada si mati, maka kata beliau (Imam an-Nawawi Rahimahullâh): “(Dan bermanfaat bagi si mati sedekah) bagi pihaknya, waqaf, membangun masjid, menggali telaga dan seumpamanya. Begitu juga (do‘a) untuknya daripada (waris atau orang lain) sebagaimana memberi manfaat kepadanya apa yang telah dilakukannya daripada (amalan-amalan) tersebut ketika hidupnya. (Mughnî al-Muhtâj:4/110)
Ini adalah berdasarkan ayat al-Qur’an, hadits-hadits shahîh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ijmâ‘ seperti berikut:
(i) Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo‘a dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.” (Surah al-Hasyr: 10)
(ii) Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila mati seorang insan, terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu ilmu yang dimanfaatkan atau sedekah jâriah (yang berterusan) atau anak salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat ad-Darimi)
(iii) Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa seorang lelaki yang telah kematian ibunya bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Adakah bermanfaat jika aku bersedekah bagi pihaknya? Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya”. Maka lelaki itu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai sebuah kebun berbuah, dan aku bersaksi dengan tuan, sesungguhnya aku telah menyedekahkannya bagi pihak ibuku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
(iv) Berdasarkan ijmâ‘, sepertimana kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Sesungguhnya pahala sedekah sampai kepada si mati dan bermanfaat baginya tanpa perselisihan di kalangan orang Islam. Dan inilah yang betul. Adapun yang dikhabarkan oleh Qadhi Abu al-Hasan al-Mawardi al-Bashri al-Faqîh asy- Syafi‘e dalam kitabnya al-Hâwî, daripada sebahagian ahli Kalâm yang berpendapat bahawa si mati tidak menerima pahala sesudah matinya, maka itu adalah mazhab yang bâhtil secara pasti dan jelas salahnya, berlawanan dengan nash-nahs Kitâbullâh, sunnah dan ijmâ‘. Maka, pendapat itu tidak layak untuk diperhatikan. (Muqaddimah Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 358)
Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa memohon rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk orang yang telah meninggal dunia melalui sedekah dan do‘a orang yang masih hidup adalah memberi manfaat kepada orang yang meninggal dunia.
Hadiah Pahala Bacaan Al-Qur’an Kepada Si Mati
Terdapat dua pendapat dalam Mazhab Syafi‘e mengenai pahala bacaan al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati, iaitu:
(i) Sampai kepada si mati pahala bacaan al-Qur’an.
(ii) Tidak sampai kepada si mati pahala bacaan al-Qur’an.
Menurut asy-Syeikh Sulaiman bin ‘Umar bin Muhammad al-Bujairimi asy-Syafi‘e Rahimahullâh, pendapat yang mengatakan tidak sampai pahala bacaan, walaupun masyhûr tetapi ia adalah dha‘îf. Pendapat yang mu‘tamad adalah sampai pahala bacaan kepada si mati. Kata beliau:
Ertinya: Dan kata beliau (Imam an-Nawawi Rahimahullâh): “Tidak sampai pahala bacaan kepada si mati, adalah pendapat yang dha‘îf”. Dan kata beliau: “Sebahagian sahabat kita berkata, sampai (pahala bacaan kepada si mati), adalah pendapat yang mu‘tamad (dipegang).” (Hâsyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhâj: 3/286)
Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh:
Ertinya: Dan atas pendapat itulah orang ramai mengamalkannya (menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada orang-orang yang telah meninggal dunia). (Kemudian beliau menyebutkan hadits riwayat Ahmad daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu yang maksudnya): Perkara yang dilihat baik oleh orang-orang Islam maka adalah ia baik di sisi Allah.
Beliau juga menyebutkan pendapat Imam as-Subki Rahimahullâh, menurut hukum yang diistinbâth daripada hadits tersebut, adalah sebahagian al-Qur’an yang dibaca apabila diniatkan untuk memberi manfaat kepada si mati dan meringankan seksanya, maka ia boleh memberi manfaat kepada si mati. (Mughnî al-Muhtâj: 4/111)
Asy-Syeikh Sulaiman bin ‘Umar bin Muhammad al-Bujairimi asy-Syafi‘e Rahimahullâh juga menyebutkan pendapat Imam Muhammad ar-Ramli Rahimahullâh, adalah sampai pahala bacaan kepada si mati apabila terdapat salah satu daripada tiga perkara iaitu membaca di sisi kuburnya, berdo‘a untuk si mati selepas bacaan, dan niat menyampaikan pahala bacaan kepada si mati. (Hâsyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhâj: 3/286)
Oleh itu, Ibnu ash-Shalah Rahimahullâh mengatakan bahawa untuk sampai pahala bacaan, hendaklah berd‘a dengan membaca:
Ertinya: Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacakan untuk si polan. (Mughnî al-Muhtâj: 4/111)
Adapun pendapat yang mengatakan tidak sampai kepada si mati pahala bacaan al-Qur’an yang dihadiahkan oleh orang yang masih hidup dengan dalil:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. (Surah an-Najm: 39)
Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, ayat tersebut adalah ayat ‘âm (umum) yang dikhususkan oleh ayat berikut:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga). (Surah ath-Thûr: 21)
Ada pendapat mengatakan bahawa hukum pada ayat 39, surah an-Najm itu adalah hukum yang telah dimansûkhkan (dibatalkan) oleh ayat 21, surah ath-Thûr di atas. (Mughnî al- Muhtâj: 4/110)
Demikian juga menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma bahawa setelah ayat 39, surah an- Najm diturunkan, maka diturunkan pula ayat 21, surah ath-Thûr. Oleh itu, anak-anak dimasukkan ke syurga dengan kebaikan (amal) bapa-bapa mereka. (Jâmi‘ al-Bayân ‘an Ta’wîl ây al-Qur’ân: 27/98)
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh pula ada menceritakan dalam kitabnya at-Tadzkirah bahawa asy-Syeikh al-Faqîh al-Qâdhi al-Imam Mufti al-Anam Abdul Aziz bin Abdul Salam Rahimahullâh telah menfatwakan bahawa tidak sampai pahala apa yang dibacakan untuk orang mati dan dalilnya adalah ayat 39, surah an-Najm. Apabila al-Imam Abdul Aziz bin Abdul Salam Rahimahullâh telah wafat, sebilangan sahabatnya yang sering duduk bersamanya menjumpainya di dalam mimpi dan beliau ditanyakan mengenai hal itu:
Ertinya: Sesungguhnya tuan telah mengatakan: “Adalah tidak sampai kepada si mati pahala apa yang dibacakan dan dihadiahkan kepadanya, jadi bagaimana (tuan dapati) perkara itu?” Beliau menjawab: “Sesungguhnya saya telah mengatakan sedemikian (ketika hidup) di dunia. Sekarang, saya menariknya kembali setelah saya melihat kemuliaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam perkara itu dan sesungguhnya sampai pahala bacaan itu kepada si mati.” (At-Tadzkirah fi Ahwâl al-Mautâ wa Umûr al-Âkhirah: 74)
Berdasarkan huraian di atas, adalah bermanfaat do‘a dan sedekah bagi si mati sebagaimana dalil-dalil yang telah dikemukakan, dan adalah sampai pahala bacaan al-Qur’an kepadanya sebagaimana menurut pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11162
