Pandangan Islam Terhadap ‘Corporal Punishment’
Soalan: Dalam EDUCATION REGULATIONS 2004 section 5(1) ada menyebut ‘corporal punishment’ yang berbunyi: “Corporal punishment of male pupils by a teacher or other member of staff shall be in accordance with and subject to a directive on corporal punishment issued by Ministry”. Sehubungan dengan itu, dipohonkan ketetapan Pehin Mufti mengenai dengan perkara di atas dari sudut pandangan Islam untuk dijadikan asas penggubalan garis pandu mengenai ‘corporal punishment’ itu.
Jawapan: Pengertian Punishment Punishment (hukuman) ialah penderitaan, kesakitan, denda dan sebagainya yang dikenakan atas orang yang melakukan kesalahan kerana melanggar undang-undang. Dalam bahasa Arab ia dipanggil ‘uqûbah. Corporal punishment (dalam bahasa Arab dipanggil ‘uqûbah badaniyyah) ialah hukuman yang dikenakan ke atas jasmani manusia, seperti hukuman bunuh, sebat, pukul dan penjara. (Abdul Qadir ‘Awdah, at-Tasyrî‘ al-Jinâ’i al-Islâmi: 1/633)
Pengertian Pupil Pupil mengikut tafsiran Education Order, 2003, Constitution of Brunei Darussalam: “A person of any age for whom education or training is being provided in an educational institution.” Ertinya: Seseorang, berapa pun umurnya, yang diberikan pendidikan atau latihan di sebuah institusi pendidikan. Daripada pengertian di atas, dapat difahami bahawa pupil itu adalah mana-mana orang yang mengikuti pendidikan, latihan atau kursus di mana-mana institusi pendidikan, tanpa mengira peringkat umurnya, sama ada ianya masih lagi pada peringkat umur kanak-kanak, remaja, dewasa ataupun sudah mencapai peringkat umur tua.
Ini bererti EDUCATION REGULATIONS 2004 section 5(1) mengenai corporal punishment (hukuman terhadap jasmani) boleh diaplikasi kepada semua penuntut lelaki yang belajar atau berkursus di sesebuah intitusi pendidikan, tanpa mengira berapa pun umur mereka.
Peraturan Penentuan Liabiliti Atau Tanggungjawab (مسؤولية) Dalam Perundangan Islam
Maksud liabiliti atau tanggungjawab jenayah (مسؤولية َجنائية) dalam perundangan Islam ialah seseorang itu bertanggungjawab akan akibat perbuatan yang dilarang yang dilakukannya secara sukarela, sedang dia faham akan maksud perbuatannya itu dan juga akibatnya.
Oleh itu, orang yang membuat sesuatu yang dilarang sedang dia tidak mempunyai kuasa untuk membuat pilihan seperti orang yang dipaksa, maka dia tidak dikenakan liabiliti atau tanggungjawab berupa jenayah ke atas perbuatannya. Begitu juga, orang yang membuat sesuatu yang dilarang sedang dia tidak mengetahui atau tidak faham akan maksud perbuatannya itu seperti kanak-kanak dan orang gila, maka dia tidak dikenakan liabiliti atau tanggungjawab berupa jenayah ke atas perbuatannya.
Dengan demikian, liabiliti atau tanggungjawab jenayah dalam perundangan Islam berdiri di atas tiga unsur utama, iaitu:
1. Seseorang melakukan perkara yang dilarang. 2. Pelakunya mempunyai daya pertimbangan atau kematangan (إدراك/discretion). 3. Pelakunya mempunyai daya membuat pilihan (اختيار). Apabila terdapat ketiga-tiga unsur di atas, maka seseorang itu boleh dikenakan liabiliti. Sebaliknya jika salah satu daripada unsur-unsur di atas tidak wujud, maka tidak wujud juga liabiliti yang boleh dikenakan kepada pelaku. (Abdul Qadir ‘Awdah, at-Tasyrî‘ al-Jinâ’i al- Islâmi: 1/392)
Manusia bermula dari sejak dia dilahirkan sehingga mencapai usia bâligh dan matang, melalui beberapa peringkat perkembangan yang berbeza-beza dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain. Daya pertimbangan atau kematangan pada peringkat kanak-kanak pula tidak sama dengan daya pertimbangan atau kematangan orang yang berada di peringkat umur bâligh. Di atas perkembangan inilah peraturan liabiliti atau tanggungjawab jenayah dibuat. Oleh yang demikian, liabiliti atau tanggungjawab yang dikenakan terhadap jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang adalah berbeza mengikut kesesuaian tahap perkembangan dirinya.
Terdapat tiga peringkat perkembangan yang dilalui oleh manusia bermula dari sejak dia dilahirkan sehingga mencapai usia bâligh dan matang, iaitu:
Pertama: Peringkat ketiadaan daya pertimbangan atau kematangan (انعدامَاإلدراك ).
Peringkat ini bermula dari sejak manusia itu dilahirkan sehingga dia mencapai umur tujuh tahun dinamakan sebagai kanak-kanak yang tidak mumayyiz.
Pada peringkat ini tidak ada liabiliti atau tanggungjawab yang dikenakan, sama ada berupa jenayah, pendidikan ataupun disiplin (ي تديب), akan tetapi boleh dikenakan liabiliti dari segi sivil iaitu bayaran ganti rugi (dhaman).
Oleh itu, apabila kanak-kanak pada peringkat ini melakukan sebarang kesalahan, maka dia tidak boleh dihukum dengan hukuman jenayah ataupun hukuman berupa tindakan disiplin atau tatatertib. Akan tetapi dia boleh dikenakan bayaran ganti rugi daripada hartanya jika perbuatannya itu menyebabkan kerosakan harta dan kemudharatan diri orang lain.
Kedua: Peringkat daya pertimbangan atau kematangan yang lemah (اإلدراك َالضعيف).
Peringkat ini bermula dari sejak manusia itu berumur tujuh tahun atau kanak-kanak yang mumayyiz sehingga dia mencapai umur bâligh atau 15 tahun.
Pada peringkat ini tidak ada liabiliti atau tanggungjawab jenayah yang dikenakan, akan tetapi boleh dikenakan liabiliti berupa pendidikan atau disiplin (ي تديب) dan liabiliti dari segi sivil iaitu dhaman.
Oleh itu, apabila kanak-kanak pada peringkat ini melakukan sebarang kesalahan, dia tidak boleh dihukum dengan hukuman jenayah. Akan tetapi dia boleh dikenakan hukuman berupa tindakan disiplin atau tatatertib, seperti mencela dan memukulnya, dan dia juga boleh dikenakan bayaran ganti rugi daripada hartanya jika perbuatannya menyebabkan kerosakan harta atau memudharatkan diri orang lain.
Ketiga: Peringkat Daya Pertimbangan Atau Kematangan Yang Sempurna (َ اإلدراك َالتام).
Peringkat ini bermula dari manusia itu mencapai umur bâligh atau 15 tahun menurut pendapat majoriti para fuqahâ’. Manusia pada peringkat ini boleh dikenakan liabiliti atau tanggungjawab berupa jenayah, pendidikan atau disiplin (ي تديب) dan juga liabiliti dari segi sivil iaitu dhaman. (Abdul Qadir ‘Awdah, at- Tasyrî‘ al-Jinâ’i al-Islâmi: 1/600-602)
Kuasa Guru Menghukum Anak Muridnya
Mengikut hukum syara‘ guru atau pendidik dibolehkan menjatuhkan hukuman untuk memberi pengajaran kepada anak muridnya, akan tetapi yang demikian itu hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan daripada wali atau penjaga anak tersebut. Ini adalah pendapat yang didokong oleh jumhûr fuqahâ’, termasuk para fuqahâ’ dalam mazhab asy-Syafi‘e.
Menurut setengah pendapat lain dalam mazhab asy-Syafi‘e pula, ijmâ‘ secara perbuatan (ijmâ‘ fi‘li) menunjukkan bahawa guru dibolehkan menjatuhkan hukuman kepada anak muridnya untuk memberi pengajaran walaupun tanpa mendapat keizinan daripada wali atau penjaga anak tersebut. (Al-Khatib asy-Syarbini, Mughnî al-Muhtâj: 4/193, al-Mausû‘ah al- Fiqhiyyah, Kuwait: 10/23)
Syarat-Syarat Menjatuhkan Hukuman Sebat atau Pukul Untuk Tujuan Pendidikan
Islam mengiktiraf hukuman sebat atau pukul sebagai salah satu cara untuk menghukum kerana tujuan pendidikan atau pengajaran. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Suruhlah anak-anak kamu mendirikan sembahyang apabila mereka mencapai umur tujuh tahun, pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang apabila mereka mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Namun begitu, bagi mengelak daripada terjadinya penyelewengan tujuan asal hukuman itu iaitu untuk pengajaran atau pendidikan, supaya tidak bertukar menjadi penderaan dan penyeksaan, ia dikawal dengan dikenakan beberapa syarat, antaranya:
i. Para guru atau pendidik tidak boleh mengenakan hukuman sebat atau pukul melainkan setelah cara pengajaran atau tindakan tatatertib yang lain tidak memberi kesan.
ii. Hendaklah sebatan atau pukulan yang dijatuhkan adalah sebagai tindakan tatatertib ke atas kesalahan yang telah atau sudah dilakukan, bukan ke atas kesalahan yang ditakuti (yang mungkin) akan dilakukannya.
iii. Para guru atau pendidik tidak boleh memukul ketika dia sedang marah, kerana ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada anak didiknya.
iv. Hendaklah pukulan itu tidak mendatangkan kecederaan atau kesan pada tubuh badan dan hukuman bersesuaian dengan peringkat umur orang yang dikenakan hukuman itu.
v. Jangan memukul pada tempat-tempat anggota atau bahagian kepala, muka, dada dan perut. Ini adalah berdasarkan peristiwa hukuman rejam yang dijatuhkan ke atas al-ghamidiyyah, ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memerintahkan orang ramai yang hadir untuk melontar ke arah al-ghamidiyyah, Baginda mengambil batu-batu kecil sebesar biji kacang lalu melontar ke arah al-ghamidiyyah, kemudian Baginda bersabda:
Maksudnya: Lontarlah! Dan kamu hindari bahagian muka(nya). (Hadits riwayat Abu Daud) Apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk menghindari bahagian muka sewaktu menjatuhkan hukuman rejam, di mana hukuman rejam itu boleh membawa maut, maka adalah lebih patut dan munasabah untuk menghindari bahagian muka ketika memberi hukuman yang jauh lebih ringan, iaitu hukuman pukul untuk memberi pengajaran.
Adapun larangan memukul pada bahagian dada dan perut adalah disebabkan pukulan yang terkena pada bahagian-bahagian ini boleh mendatangkan mudharat, malah kadang-kadang boleh membawa maut.
vi. Hendaklah pukulan itu bermaksud untuk memberi pengajaran dan tidak berlebih-lebihan.
vii. Had maksimum bilangan pukulan, menurut pendapat yang mu‘tamad ialah mengikut kadar keperluan, walaupun melebihi tiga kali pukulan, dengan syarat tidak mendatangkan kesakitan. Jika pukulan yang dikenakan itu tidak berkesan melainkan dengan pukulan yang menyakitkan, para pendidik atau guru tetap tidak dibenarkan memukul anak didik mereka dengan pukulan yang menyakitkan.
Menurut sesetengah ulama pula pukulan itu ialah sebanyak tiga kali.
viii. Kanak-kanak tidak boleh dipukul melainkan setelah umurnya mencapai sepuluh tahun berdasarkan hadits yang disebutkan terdahulu:
Maksudnya: Dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang apabila mereka mencapai umur sepuluh tahun.
ix. Pendidik atau guru itu sendiri yang menjalankan hukuman sebat atau pukul dan tidak menyerahkannya kepada orang lain. Ini kerana ditakuti akan menimbulkan persengketaan di antara mereka. (Abdul Qadir ‘Awdah, at-Tasyrî‘ al-Jinâ’i al-Islâmi: 1/518, Nasih ‘Ulwan, Tarbiyah al-Awlâd fi al-Islâm: 2/727-728, Hâsyiyah al-Baijuri: 1/196-197)
Liabiliti Atau Tanggungjawab Para Guru Terhadap Kesan Hukuman yang Memudharatkan
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, bahawa kuasa guru atau pendidik menjatuhkan hukuman kepada anak muridnya dikira sebagai hak bukannya sebagai suatu kewajipan. Maka, para guru mempunyai pilihan, sama ada untuk menggunakan hak tersebut ataupun tidak. (Asy-Syafi‘e, al-Umm: 6/189-190, Abdul Qadir ‘Awdah, at-Tasyrî‘ al-Jinâ’i al-Islâmi: 1/518-519)
Berdasarkan prinsip ini, jika berlaku kecacatan, kecederaan atau kemudharatan kepada murid kesan daripada hukuman yang dijatuhkan oleh guru, maka guru tersebut boleh dikenakan liabiliti atau tanggungjawab, sungguhpun hukuman tersebut tidak melampaui batas yang sepatutnya. Ini kerana hukuman tersebut disyaratkan tidak mendatangkan mudharat, sebab tujuannya ialah untuk mendidik, bukan untuk mencederakan atau membahayakan. Apabila berlaku kecacatan atau kecederaan bermakna guru yang menjatuhkan hukuman itu telah melampaui batas yang dibenarkan. (Al-Khathib asy-Syarbini, Mughnî al-Muhtâj: 4/199)
Sebagai kesimpulan, hukuman sebat atau pukul (corporal punishment) adalah salah satu jenis hukuman yang diiktiraf wujud dalam sistem pendidikan Islam. Namun begitu, ia perlu terikat kepada syarat-syarat yang telah diterangkan, supaya tidak terjadi apa yang dikatakan sebagai penderaan, penganiayaan dan kezaliman.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11169
