Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Patung ‘Buddha’ Bagi Tujuan Hiasan Dalam Taman Di Kawasan Rumah

Soalan: Seorang yang bukan beragama Islam telah memohon supaya dikembalikan tiga buah patung ‘Buddha’ milik beliau yang telah ditahan oleh Unit Penapisan dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah, bagi tujuan hiasan taman di kawasan rumah beliau yang berpagar dengan tembok tinggi. Beliau juga mengakui secara bertulis kepada pihak berkenaan bahawa bahan tersebut tidak ada kaitannya dengan penyebaran keagamaan.

Sehubungan dengan itu dipohonkan sebarang ulasan dan pandangan Pehin Mufti mengenai perkara tersebut.

Jawapan: Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Ditegah (orang dzimmi) memperdengarkan kepada orang Islam mengenai perkara syirik (menduakan Allah), dan perkataan mereka terhadap ‘Uzair dan Nabi ‘Isa. (Begitu juga ditegah mereka) menzahirkan arak, khinzîr, loceng gereja dan menzahirkan perayaan mereka. (Minhâj ath-Thâlibîn: 3/300)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâh, berdasarkan apa yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas, maka adalah ditegah orang-orang dzimmi menzahirkan perkara mungkar seumpama arak, khinzîr dan membunyikan lonceng gereja. Beliau mensyarahkan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh tersebut seperti berikut:

Ertinya: (Ditegah orang dzimmi itu) menzahirkan perkara mungkar di kalangan kita (orang Islam) seumpama arak, khinzîr dan lonceng gereja. (Tuhfah al-Muhtâj: 9/301).

Adapun patung yang digunakan selain untuk tujuan permainan kanak-kanak atau selain daripada tujuan pendidikan, ia adalah termasuk perkara mungkar juga dalam pandangan Islam. Oleh itu, mana-mana patung yang dimiliki oleh orang yang bukan beragama Islam, adalah ditegah mereka itu daripada menzahirkannya kepada orang Islam.

Berhubung dengan persoalan patung-patung yang dipohonkan semula oleh pemilik berkenaan bagi hiasan taman di kawasan rumahnya dan rumah itu pula mempunyai pagar yang tinggi dan patung-patung itu tidak akan kelihatan oleh orang awam dari luar rumah, maka perbuatan sedemikian itu tidaklah termasuk dalam kategori “menzahirkan” sebagaimana yang disebut oleh ulama-ulama besar dalam mazhab asy-Syafi‘e di atas. Tambahan lagi, si pemilik telah membuat pengakuan bertulis kepada pihak berkuasa bahawa patung-patung berkenaan bukan digunakan untuk tujuan keagamaan, ia hanyalahََ semata-mata hiasan dan diletakkan di halaman atau luar rumahnya di belakang tembok tinggi yang tidak kelihatan oleh sesiapapun dari luar tembok berkenaan.

Ini bermakna patung-patung tersebut diletakkan di tempat persendirian yang tertutup daripada pandangan orang awam termasuk orang Islam. Jika demikian, maka ia tidaklah dinamakan menzahirkan.

Sebagai irsyâd, adalah perlu bagi pihak berkenaan jika mengembalikan patung-patung tersebut kepada pemiliknya, memberikan peringatan bahawa sekiranya didapati patung-patung itu dizahirkan kepada umum yang boleh nampak kepada sesiapa saja tidak terkecuali orang Islam, maka pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas mengenainya termasuk tindakan undang-undang (jika terdapat peruntukan).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11174