Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pembahagian Harta Pusaka

Soalan: Saya mempunyai empat orang anak (tiga lelaki dan seorang perempuan), seorang isteri dan kedua ibu bapa. Sekiranya saya meninggal dunia, bagaimanakah cara pembahagian harta peninggalan saya kepada mereka? Saya mempunyai wang simpanan KWSP, rumah dan kereta yang masih berhutang dan sedikit tabungan. Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Harta yang ditinggalkan si mati hendaklah dibahagikan kepada ahli warisnya yang berhak mewarisi hartanya itu sebagaimana yang dinyatakan dengan terperinci dalam al-Qur’an. Dalil daripada al-Qur’an berhubung pengagihan harta pusaka amat jelas dan penjelasannya adalah secara terperinci. Pemberian harta pusaka kepada ahli waris yang berhak menerimanya telah pun ditetapkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an.

Adapun tuntutan-tuntutan yang menjadi kewajipan si mati dan tuntutan itu diambil daripada hartanya ialah seperti zakat hartanya yang belum ditunaikan sebelum dia meninggal dunia, perbelanjaan bagi pengurusan jenazahnya, hutangnya, wasiatnya yang tidak melebihi 1/3 daripada harta si mati (jika dia ada berwasiat) dan lain-lain. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan (oleh si mati), dan sesudah dibayarkan hutangnya. (Surah an-Nisâ’: 12)

Merujuk kepada pertanyaan di atas, sekiranya dia meninggal dunia dan pada ketika itu dia ada meninggalkan harta berupa rumah yang dibeli secara hutang, kereta yang juga dibeli secara hutang dan sejumlah wang yang disimpan di dalam akaun KWSP dan yang ditabung, sebelum harta itu dibahagikan hendaklah terlebih dahulu dilunaskan segala hutang piutang yang menjadi tanggungannya dan kewajipan-kewajipan yang lain jika ada. Kemudian, baki daripada hartanya yang bersih daripada hutang piutangnya dan kewajipan yang lain baharulah dibahagikan kepada ahli warisnya iaitu seorang isteri, ibu dan bapanya, tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Maka dalam permasalahan ini, pembahagiannya mengikut hukum farâ’idh adalah seperti berikut:

i. Isterinya berhak mendapat 1/8 kerana si mati ada meninggalkan anak.

ii. Kedua ibu dan bapa si mati masing-masing, mereka itu berhak mendapat 1/6 kerana si mati ada meninggalkan anak.

iii. Anak-anak si mati yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang perempuan akan menerima ‘ashabah iaitu baki daripada harta pusaka setelah si isteri dan kedua ibu bapa si mati mengambil hak mereka masing-masing. Bahagian seorang anak lelaki yang berhak diterimanya adalah menyamai dengan bahagian dua orang anak perempuan, yakni seorang anak perempuan mendapat satu bahagian, manakala anak lelaki mendapat dua bahagian.

Jadual pembahagian masalah di atas adalah seperti berikut:

Bapa Ibu Isteri

24 168

Anak lelaki 2

‘Ashabah (baki) 13

Anak lelaki 2 26 Anak lelaki 2 26

Anak perempuan 1 13

Sebagai contoh, jika si mati ada meninggalkan harta sebanyak $252,000.00, iaitu setelah ditolak apa jua tuntutan yang menjadi kewajipan si mati daripada harta pusakanya termasuk rumah atau kereta yang sudah ditebus menjadi nilai wang untuk dibahagikan kepada setiap ahli warisnya, maka jalan penyelesaiannya adalah seperti berikut:

Nilai setiap satu bahagian:

$252,000.00 = $1,500.00

Bahagian yang diperolehi oleh setiap ahli waris adalah seperti berikut:

1. Bapa 28 x $1,500.00 = $42,000.00 2. Ibu 28 x $1,500.00 = $42,000.00 3. Isteri 21 x $1,500.00 = $31,500.00 4. Anak lelaki 26 x $1,500.00 = $39,000.00 5. Anak lelaki 26 x $1,500.00 = $39,000.00 6. Anak lelaki 26 x $1,500.00 = $39,000.00 7. Anak perempuan 13 x $1,500.00 = $19,500.00 Jumlah = $252,000.00 Walau bagaimanapun ahli-ahli waris adalah disarankan untuk merujuk kepada pihak berautoriti berdasarkan perkembangan terkini mengenai kedudukan jumlah harta sebenar dan apa-apa harta yang berhak mereka terima dan mengeluarkannya sebelum pembahagian secara farâ’idh.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11181